Datuk Dr. Zurinah Hassan

ZURINAH HASSAN dilahirkan pada 13 Jun 1949 di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah. Beliau dibesarkan di Tikam Batu, Kedah, dan mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tikam Batu (1956-1960) dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Sungai Layar, iaitu melalui Special Malay Class (1961-1963). Zurinah Hassan meneruskan pelajaran peringkat menegah di Sekolah Convent Sungai Petani (1964-1966) dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah (1967-1970). Pada tahun 1971, Zurinah Hassan melanjutkan pelajaran ke Universiti Pulau Pinang (sekarang Universiti Sains Malaysia) dalam jurusan Ilmu Kemanusiaan dan mendapat Ijazah Sarjana Muda Sastera pada tahun 1974. Setelah bersara secara pilihan daripada perkhidmatan kerajaan,beliau melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana di Universiti Putra Malaysia pada tahun 1998-2001. Seterusnya, beliau menyambung pelajaran ke peringkat kedoktoran di Akademi Pengajian Melayu,Universiti Malaya pada tahun 2003 dan berjaya memperoleh Ijazah Doktor Falsafah pada tahun 2008.

Zurinah Hassan pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan, Kementerian Penerangan Malaysia. Di jabatan ini, Zurinah Hassan memikul tugas sebagai penyunting buku-buku penerbitan kerajaan dan majalah Sinar Zaman. Selain itu, Zurinah Hassan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Pengurusan Maklumat, Kementerian Penerangan Malaysia. Beliau juga pernah menjadi Karyawan Tamu di institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1997/1998. Pada tahun 2011, Zurinah Hassan dilantik sebagai Pakar Perunding dan Felow Penyelidik di Akademi pengajian Melayu, Universiti Malaya sehingga menamatkan perkhidmatannya pada bulan Oktober 2015.

Zurinah Hassan mula menceburi bidang penulisan pada tahun 1963, iaitu sejak zaman persekolahannya. Penulisan yang bermula pada dekad 1960-an ini merupakan usaha gigih beliau yang berterusan sehingga kini. Dalam karya kreatifnya, dijalin pula kajian-kajian akademik dan muzik, yang penting dalam pertumbuhannya sebagai seorang penyair. Di samping itu, bidang akademik ini juga membantu memperluas dunia pengalamannya yang turut menyumbang kebaharuan, kerencaman dan warna asli kepada penulisannya.

Kerjaya Zurinah Hassan sebagai penyair ditandai oleh penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award, 2004), Anugerah Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara-negara ASEAN,2013), dan anugerah Puisi Putera, 1984 (Hadiah Utama). Hingga kini, Zurinah Hassan telah menghasilkan enam kumpulan puisi. Beberapa buah puisinya telah memenangi Hadiah Sastera Perdana Malaysia, Hadiah Sastera dan sebagainya. Kejayaan dan sumbangan diiktiraf oleh beberapa orang pengkritik dan sarjana kesusasteraan terkemuka. Antaranya termasuklah Usman Awang, Shahnon Ahmad, Muhammad Haji Salleh, Ahmad Khamal Abdullah dan Anuar Rethwan. Mereka bukan sahaja meletakkan Zurinah Hassan sebagai penyair wanita yang penting tetapi juga membariskannya antara penyair utama Malaysia. Usman Awang menganggap Zurinah Hassan sebagai penyair wanita berbakat besar yang menulis selepas Anis Sabirin. Hal ini dipersetujui oleh Shahnon Ahmad yang mengulas buku pertama Zurinah Hassan, Sesayup Jalan, “Zurinah Hassan adalah penyair wanita yang besar bakatnya. Nada Zurinah Hassan dan irama puisi-puisi Zurinah amat lembut dan manis terutama puisi-puisi sepinya” (SHanon Ahmad, 1993. Sastera sebagai Seismograf kehidupan. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka, hlm. 226).

Seterusnya dalam penilaian A. Rahman Napiah (Mana Sikana), Zurinah Hassan diakui sebagai salah seorang daripada empat orang tokoh puisi Malaysia yang terbesar sumbangannya selain Muhammad Haji Salleh, Kemala, dan Baha Zain (Mana Sikana. “penyair-penyair Terkemuka Malaysia: Analisis Puitika Tekstual” dlm. Perisa:Jurnal Puisi Melayu, Bil. 3:56,1995).

Pengiktirafan ini disambut oleh Lim Swee Tin sewaktu menilai Nota Waktu, puisi-puisi ini”…. keseluruhannya mampu membuktikan ketokohan Zurinah Hassan sebagai penyair Melayu terbaik setakat ini”(Dewan sastera, Bil. 12, 17-20,2004).

Muhammad Haji Salleh pula berpendapat bahawa Zurinah Hassan mencipta suatu gaya penulisan yang cukup unik di Malaysia (“Bahawa Aku Pernah Hidup: Zurinah Hassan sebagai Pentafsir Waktu dan Peristiwa”. Kertas kerja dalam Seminar Kefahaman Budaya ke VIII: Zurinah Hassan, Sirih Pulang ke Gagang, di Universiti Sains Malaysia. Pulau Pinang pada 18 Disember 2004 anjuran bersama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Utara dan Bahagian Hal Ehwal dan Pembangunan Pelajar Universiti Sains Malaysia). Seterusnya, dalam buku An Anthology of Contemporary Malaysian Literature (1988:362), Muhammad Haji Salleh menulis, “Penyair wanita yang benar-benar menyuarakan peribadinya sangatlah langka. Puisinya tidak saja memperlihatkan bahawa beliau ialah wanita yang berbeza daripada wanita lain tetapi yang juga menemukan puisi sebagai ruang peluang untuk memberikan suara kepada hati nuraninya tanpa sopan santun lama sastera”.

Sementara itu, Zurinah Hassan juga hampir bersendirian, dengan penuh ghairah telah memberikan ruang khusus kepada genre lama seperti gurindam, pantun, syair dan seloka serta berusaha memberikan suara unik lagi merdu kepada bentuk-bentuk lisan yang pernah menjadi lagu bangsa Melayu sepanjang zaman.

 

Majlis Penganugerahan Sastera Negara Ke-13

Genre Pilihan

Zurinah Hassan menulis puisi, cerpen, novel dan karya ilmiah – suatu julat penulisan yang cukup rencam. Beliau turut menghasilkan sebuah memoir yang menurunkan sudut pandangan, khususnya tentang pelbagai sudut dan pengal;aman hidup. Di samping itu, pembaca diberikan juga gambaran proses kreatifnya. Dalam karya-karya ini kita dapat pula mengesan falsafah sasteranya. Namun begitu, sangat jelas bahawa kekuatan dan pencapaian sastera beliau terletak ada genre puisi.

Salmi Manja dan beberapa penulis wanita lain mendahului Zurinah Hassan sebagai penyair – mereka berjuang terus dalam dunia sastera yang dikuasai lelaki dan telah membawa beberapa pembaharuan. Namun begitu, akhirnya nilai dan kehendak masyarakat lebih banyak menuntut dan wanita sering menyerah supaya dapat menhadu manusia yang halus, dengan suara yang lemah lembut serta bahasa rentak yang gemalai. Dalam hal ini, Zurinah Hassan mungkin didahului Anis Sabirin, “yang juga lebih berminat untuk melukiskan wajah wanita yang merenung dan berfikir, dan tidak saja yang merasa cinta atau sengsara”.

Permulaan penulisan Zurinah Hassan berlaku agak awal, iaitu semasa beliau berusia belasan tahun di sekolah menengah. Sebagai penuntut di Universiti Sains Malaysia pula beliau suda pun mempunyai sebuah manuskrip untuk diterbitkan. Karya ini juga merupakan karya kreatif pertama penerbit universiti itu. Dalam buku pertamanya, Sesayup Jalan, telah terbayang peribadi dan gaya bahasanya. Terbayang sudah suatu pendekatan dan cara menyusun fikiran yang unik.

 

Tema dan Persoalan yang Lebar

Tema yang dipilh oleh Zurinah Hassan dikutip daripada kehiduan hariannya. Namun begitu, beliau cuba melebarkan sempadan dunia sasteranya dengan melihat kembali sejarah masa lampau bangsa Melayu dalam hikayat-hikayat terkenal untuk diolah semula dalam bentuk puisi bagi tujuan “melhat kembali diri sendiri”. Dengan pendekatan beginilah berbagai-bagai persoalan silam dan semasa dijadikan pengalaman mutakhir pembacanya.

Jalan yang dilalui Zurinah Hassan cukup panjang dan tidak pula mudah, dan sekiranya karyanya ialah bukti nyata kembarnya, maka beliau adalah antara penulis yang pernah meneroka dunia baharu sastera. Hal ini diperikan dalam memoirnya yang melukis zamannya sebagai pelajar, hadis dan ibu, serta perenung masyarakat Malaysia

Baginya, sajak-sajak awal yang diciptakan antara tahun 1973 hingga tarikh penerbitannya pada tahun 1977, melakar “gambar kehidupan yang melalui sehingga kini”, dan “puisiku adalah pentafsiranku terhadap kehidupan”. Ada sajaknya yang memaparkan keluhan bahawa proses penulisan tidak semudah yang dibayangkan oleh pembaca yang melihat dari luar. Seorang penyair harus bersandar pada alam persekitaran dan alam raya sebagai dasar penulisannya. Suasana hati yang tercipta sebagai interaksi atau kesan daripadanya,seperti yang dilakar dalam “alangkah Sukar Menulis Puisi Ini” (1977:38) yang juga memberikan bayangan pada proses kreatifnya. “Akulah pentafsir yang selalu mencari/lautan yang membikin aku rindu/senja yang membikin aku bertanya”.

Penyair menganggap dirinya sedang melalui jalan “kebenaran” atau kenyataan, dan apabila beliau menyerah kepada situasi dan nasib, maka ada keindahan yang dapat diraih daripadanya.

Dalam perjalanan kehidupan dilihat sebagai berarak di depannya. “waktu melintas dan menghilang di depannya”, sementara itu usia yang melunturkan jasad, perasaan dan peristiwa. Konflik mungkin muncul, ditangani dan mungkin diselesaikan. Beliau menangisi situasi manusia semakin keras dan kehilangan kelembutan yang berzaman-zaman dijadikan teras kehidupan manusia. Ramli isin pula berpendapat bahawa Zurinah Hassan “dirangsang dan diilhami oleh pelbagai fenomena dan dilema kehidupan manusia serta segala rupa bentuk flora dan fauna yang melingkarinya”. Menurut beliau lagi terdapat tiga aspek utama yang sentiasa Melingkari kehidupan manusia individu mahupun masyarakat, iaitu pemikiran yang berhubungan dengan sosioekonomi, pemikiran yang berhubung dengan sosiopolitik dan pemikiran yang berhubungan dengan sosiobudaya (2004:15). Aspek inilah juga ruang kehidupan Zurinah Hassan.

Muhammad haji salleh pula mengesan bahawa dalam perkembangan kepengarangannya, Zurinah Hassan melalui beberapa tahap penting diri serta pemikirannya. Sementara itu, perkembangan ini telah dijelmakan dalam tiga sfera perasaan dan pemikiran dalam puisinya, iaitu:

  1. Sfera diri dalam dan wanita.
  2. Sfera perkahwinan dan keluarga.
  3. Sfera kemasyarakatan.

1. Sfera Diri Dalam dan Wanita

Hampir semua penyair mencipta daripada sumber terdalam dirinya, yang ditemui bergenang seperti sebuah tasik yang menerima air dari banyak anak sungai- inilah juga sumber perasaan dan kesan pengalaman serta makna kehidupan yang akan disimpulkannya.

Bibit-bibit kepenyairan Zurinah Hassan muncul awal, daripada gelisah gasid yang sedang membesar di sekolah. Beliau tekun mendengar suara dan bahasa kegelisahan ini. Di dalamnya ditemui kecewa, gembira dan derita. Beliau belajar memerhati dan melukis dunianya. Apa-apa yang dilihat mengesani perasannya dan akhirnya membina suatu sudut pandangan yang asli lagi menarik.

Dunia Zurinah Hassan cukup dinamik – penyair mengalir bersama-sama peristiwanya, sering dilanda dan dikesan oleh dunia itu.daripadanya dilihat pula wajah dan persoalan diri yang berbagai-bagai-bagai seperti yang terlihat dalam bait-bait serta naratif Zurinah Hassan yang dilukis selama lima dekad. Wajahnya rencam dan pelbagai, soalannya juga tidak kurang jumlahnya

Shahnon Ahmad dalam kajiannya melihat peranan alam dalam puisi Zurinah Hassan. Seperti dalam struktur dan estetika sebuah pantun dan sastera lisan Melayu, alam ialah pembayang dan latar, ibarat atau lambang kepada kehidupan manusia. Malah, Zurinah Hassan sendiri mengiakan pendapat ini dalam memoirnya. Alam memekarkan perasaan dan fikiran penyair dan membuatnya berkembang.

 

2. Sfera Perkahwinan dan Keluarga

Kita telah menyaksikan penyair sebagai wanita muda yang sangat sedar diri, yang sudah mula berdepan dengan masyarakatnya. Keluarganya menggariskan beberapa norma secara jelas atau tersirat; dan sebagai seorang anak perempuan dalam keluarga itu beliau pun mengikut kebiasaannya. Namun begitu, dalam dirinya selalu timbul pertanyaan yang sering tidak terjawab. Pertamanya, tentang diri dan kebebasan seorang wanita. Masalah ini berlanjutan. Sewaktu sudah dewasa dan bercinta, beliau berdiri di depan cermin dan menilai dirinya. Apabila beliau mempunyai suami dan keluarganya sendiri, berbagai-bagai persoalan lain pula yang dihadapinya. Salah satunya ialah berhubung dengan perasaan antara suami dengan isteri dan perbezaan gender antara mereka. Zurinah Hassan berkata (2000:70):

‘Saya juga mencari makna baru dari hubungan suami isteri. Pemikiran yang melintas tidak jauh berbeza dari pengertian yang dahulu bahawa manusia itu tetap individu yang terpisah … tetapi memiliki kelainan … namun saya berpendapat bahawa kita tidak perlu pasti dengan perasaan.’

Beliau beberapa kali berdepan dengan ketidakpastian, tetapi arif bahawa kepastian itu ialah sebuah impian yang indah.

 

3. Sfera Kemasyarakatan

Zurinah Hassan menulis dengan dengung falsafah sastera ASAS 50 yang masih nyaring di telinganya. Sastera bagi mereka ialah alat paling sesuai untuk menyedarkan masyarakat (yang pada tahun-tahun sebelum 1957 masih terjajah dan kerdil keadaan ekonominya). Pengarang ditugaskan untuk mengajak masyarakatnya berubah, menyatakan pendirian dan bekerja untuk masa depan bersama. Oleh yang demikian, bukan Zurinah Hassan sahaja yang ditawan oleh falsafah sastera ini, malah hampir semua penyair dan novelis Melayu pada waktu itu mendapat ilham daripada perjuangan ASAS 50, dan menulis di lebuh raya keterlibatan – membaurkan diri dengan masalah mereka dan bergerak membela hak dan kepentingan masyarakat mereka.

Sementara itu, selama 50 tahun Zurinah Hassan terus menerus menyaksikan betapa masyarakatnya jauh daripada sempurna. Selain masalah gender yang belum selesai, kemiskinan, ketidakadilan dan kelalaian manusia dan pemerintah wujud di mana-mana. Beliau cepat kelar daripada masalah peribadinya dan menulis untuk mereka yang mendapati dirinya sebagai mangsa zaman. Selain bersimpati terhadap mereka, beliau juga inginkan perubahan cara berfikir dan berbuat yang lebih menjanjikan perubahan, terutama antara orang kampungnya.

Suara Yang Berkata

Suara tulen seorang penyair dibangunkan melalui cubaan dan proses pematangan selama berpuluh-puluh tahun. Dalam jangka waktu yang panjang itu, suara ini dicuba, diulang, dihaluskan dan dipadankan dengan peribadi penyairnya. Seperti penyair lain, Zurinah Hassan juga bergelut lama untuk menemukan suatu suara yang sesuai bagi wataknya, nilai-nilai, peribadi dan juga masyarakat semasanya. Ada gerak fikir yang seperti berhujah di depan pembacanya. Hak berkata-kata seorang wanita Melayu digunakan tidak dengan kasar, tetapi dengan keperluan untuk mengucapkan kenyataan. Dalam beberapa buah sajaknya, Zurinah Hassan berkata-kata sebagai wanita yang sedar diri, perenung kehidupan yang berfikir dan bukan sebagai “ isteri penggoda dan kekasih yang memberi berahi”. Puisi begini dapat dinamakan sebagai puisi pernyataan atau penghujahan. Yang dibina itu dipilih daripada suara hariannya yang bergerak agak perlahan, dan diperlahankan pula oleh gerak fikiran serta metaforanya. Namun begitu, suaranya ialah suara seorang wanita yang tidak berdendang tetapi suara seorang wanita yang berkata-kata. Secara relatif rentaknya lebih langsung dan inilah bibit-bibit suara Zurinah Hassan sendiri. Apabila beliau akhirnya menemukan suatu suara yang serentak dengan zamannya, yang berkisah tanpa berkhutbah dan bercerita tanpa berdakwah. Pembacanya dihadiahkan metafora dan bandingan, sederet babak cerita dan akhirnya dibelokkan kepada kesimpulannya yang berwawasan atau dapat mengutip makna daripada berbagai-bagai-bagai pengalaman atau situasi. Ternyata inilah cara abad ke-21. Pembacanya pula dilihat sebagai manusia yang perasa kadang-kadang sangat perasa. Hanya gayanya sedikit menyembunyikan keprihatinan dan perasaan simpati dalam dirinya supaya puisinya lebih dapat diterima pada zaman ini.

Bahasa sebagai Pembawa Makna

Semua penyair harus memahami watak bahasanya, menangani kata-katanya atau melenturkan ertinya agar dapat membawa makna khusus yang ingin disampaikan. Dalam bahasa itu ada usia dan zaman. Zurinah Hassan memetik daripada bahasa Melayu abad ke-20 dan ke-21 yang baik dan bersih. Penyair ini juga menuntut bahawa bahasanya mengangkut beban gagasan bersama-sama perasaan yang tidak berlebihan, dan akhirnya berkata-kata dengan tenang serta sederhana, menurut Zurinah Hassan, bahasa yang baik ialah bahasa yang mudah difahami khalayak, sesuai dengan suasana hati dan makna yang ingin disampaikan, dan akhirnya boleh membantu karyanya menjadi sebuah sajak yang baik.

Puisi dan cara berfikir seorang penyair menganugerahkan metafora, dan Zurinah Hassan mengambilnya daripada kenyataan dan ladang puisinya. Metafora mengindahkan, mempertajam perbandingan dan mengajak kita dengan cara yang lebih santun ke lorong kesimpulan. Perbandingan dan citra ini diadun dalam diksi yang sesuai, dan sebagai akibatnya kita menyaksikan bahawa baris-barisnya yang tersusun baik,dengan kata-kata terpilih dan mudah disimpan dalam ingatan.

Zurinah Hassan ialah penyair abad ke-20 dan ke21. Beliau mempersoalkan masalah dan dilema zamannya yang kita hadapi bersama. Namun begitu, beliau tidak membuang sejarah seperti yang telah kita perhatikan kerana pada pandangannya, sejarah menyimpan banyak makna yang sangat relevan untuk masa kini. Tegas beliau, “bagi puisi makna lebih penting”. Dalam sebuah sajak yang akan melalui zaman dan ribuan pembaca, teras makna yang kuat akan bertahan lama. Di sana juga akan dapat dibaca sudut pandangan penyair sebagai saksi, terhadap apa-apa yang sedang berlaku pada alam, manusia dan zamannya. Kata E.L.Doctorow:

The writer isn’t made in a vacuum. Writer Are witnesses. The Reason we need writers is because we need witnesses to this terrifying century.

Zurinah Hassan ialah saksi dengan mata dan akal yang selalu melihat dan menilai. Sastera ialah alatan untuk penilaian ini, suatu bahagian penting daripada dirinya dan budaya Malaysia.

Kajian dan Memoir

Selain mencipta sajak yang bermutu tinggi, Zurinah Hassan juga menghasilkan karya yang bersifat akademik. Karya akademiknya, Unsur Alam dalam Puisi Melayu Moden (2010), pada asalnya ialah tesis PhD beliau yang merupakan satu kajian mendalam tentang penggunaan unsur-unsur alam dalam puisi Melayu moden. Ketelitian dan keterperincian dalam analisis dan penghujahan merupakan trademark beliau, dan ciri-ciri ini terdapat juga dalam memoirnya, Memoir Zurinah Hassan Menjejak Puisi (2003).

Keseluruhan memoir ini merupakan cerita yang menghuraikan pertumbuhan dan perkembangan dirinya sebagai seorang penyair. Daripada memoir ini, kita diberitahu tentang pendiriannya bahawa penyair yang berwibawa tidak boleh membataskan ciptaannya kepada “soal cinta dan peribadi yang remeh-temeh”. Selain itu, penyair tidaklah seharusnya bergantung pada bakat semata-mata. Penyair harus mempunyai kesungguhan dan kerajinan, bertindak balas dengan persekitaran, serta ilmu pengetahuan kerana semuanya ini boleh mempertajam fikiran dan mewujudkan idea. Jelaslah idea menjadi pokok pangkal ciptaannya. Menurutnya lagi, penyair yang hanya bergantung pada bakat tanpa idea dan mesej yang hendak disampaikan hanya menghasilkan kata-kata yang kosong.

Memoir ini menggambarkan Zurinah Hassan sebagai seorang penyair yang tinggi etikanya. Kritikan pedas terhadap ciptaannya disambut dengan rasa insaf bahawa tidak ada manusia yang sempurna, dan ini membuatkan beliau terus mencipta dan mempertingkatkan ciptaannya. Jika beliau mendapat idea orang lain dalam bentuk bertulis atau dalam ceramah, atau dalam perbualan, atau juga menggunakan ungkapan yang bersumberkan daripada orang lain, beliau akan menyatakan sumber tersebut. Kehalusan budi pekertinya ini selaras dengan bakat ilmu pengetahuan yang ada padanya sebagai Sasterawan Negara.

Dalam perkembangan kesusasteraan tanah air, Zurinah Hassan lebih dikenali sebagai seorang tokoh penyair besar. Beliau merupakan seorang penyair yang amat berjaya dalam penciptaan dan penulisan serta pendeklamasian sajak. Sehingga kini, beliau telah berjaya menulis sembilan buah buku kumpulan puisi;sebahagiannya telah diterjemahkan ke dalam bahasa utama dunia. Beliau juga dianggap sebagai tokoh pemuisi yang tersohor, dijemput membuat persembahan deklamasi sajak hampir di seluruh negara dan di luar negara. Banyak anugerah dan penghargaan yang telah diterima. Bakat alam yang dimilikinya amat besar, tidak terhad dalam bidang penghasilan puisi, tetapi juga dalam bidang penulisan kreatif yang lain, terutamanya penulisan cerpen. Dalam bidang penulisan ini, beliau berjaya menerbitkan dua buah kumpulan cerpen yang masing-masing diberikan judul Meneruskan Perjalanan (1987) dan Menjelang Pemilihan (2004). Kedua-duanya ialah terbitan Dewan Bahasa dan pustaka, Kuala Lumpur. Dalamnya terkumpul 27 cerpen.

 

Cerpen

Cerpen-cerpen terhasil daripada bakat penciptaannya yang ternyata agak asli. Padanya terdapat usaha pengarang untuk menemukan gaya tersendiri dengan lebih banyak membuat percubaan dan melakukan penerokaan, terutamanya dalam bidang teknik penulisan. Watak-watak ceritanya terdiri daripada pelbagai golongan manusia, malah ada golongan manusia yang dijelmakan kembali daripada karya Melayu lama. Struktur plotnya diperbaharui sama sekali; tidak lagi mengekalkan bahagian-bahagian yang mengutamakan wujudnya permulaan, pertengahan dan pengakhiran yang berasaskan suatu bentuk konflik tertentu, yang disediakan secara khusus oleh pengarang. Sebaliknya, aksi dan plot cerita lahir sendiri melalui dialog dan aksi watak; dan semuanya tidak berakhir dengan suatu bentuk pengakhiran yang muktamad seperti yang dikehendaki pengarang, seperti yang biasa ditemui dalam kebanyakan cerpen Melayu. Pemilihan latar cerita turut dipelbagaikan yang merangkumi bukan sahaja latar kehidupan bandar, tetapi juga latar kehidupan desa, malah latar kehidupan yang direka cipta kembal daripada apa-apa yang tergambar dalam karya-karya tradisional.

Namun yang paling menonjol ialah pemakaian bahasa. Aspek utama yang sangat diberikan perhatian ialah pemilihan kata; pemilihan yang dibuat bersesuaian dengan persoalan dan nada cerita yang diungkapkan. Pemilihan kata itu pula terdiri daripada kata yang biasa, yang ditemui dalam kehidupan dan pengalaman; paling penting juga seperti yang terlihat dalam kebanyakan cerpen Zurinah Hassan, setiap satunya memberikan kesan tertentu yang terasa indah dan tepat.

Dalam aspek kedua, pembentukan ayat turut diberikan perhatian, iaitu pembentukan ayat yang pendek tetapi bersesuaian dan memberikan kesan tertentu dalam usaha pengarang menggambarkan sifat, aksi dan dialog sesuatu watak serta bentuk persoalan yang hendak disampaikan.

Perkara terakhir dalam aspek pembentukan bahasa yang ditekankan ialah nada. Zurinah Hassan memberatkan persoalan ini dalam setiap penghasilan cerpennya; nada tertentu yang hendak ditimbulkan memang terlihat pada cara beliau yang amat berhati-hati dalam memilih dan menentukan pembentukan ayat dalam setiap karyanya. Hal ini juga dapat dikesan daripada cara beliau memilih, memberikan sifat dan nama pada setiap watak dalam ceritanya. Setiap satunya amat diberikan perhatian sehingga turut membentuk keistimewaan khusus pada setiap cerpen ciptaan beliau.

 

Persoalan Cerita

Keistimewaan yang agak menonjol pada kebanyakan cerpen Zurinah Hassan terletak pada bentuk persoalan atau bahan cerita; terdiri daripada persoalan terpilih yang penting, besar dan menarik. Cerpen beliau mempersoalkan kehidupan dan kekeluargaan, kemajuan dan pembangunan, dan kelangsungan bangsanya sendiri, bangsa Melayu. Dalam persoalan tentang kehidupan dan kekeluargaan, Zurinah Hassan memberikan perhatian khusus pada permasalahan tanggungjawab isteri dan ibu, remaja dan percintaan, serta pendidikan anak-anak. Yang menariknya di sini ialah kejayaan pengarang memanfaatkan hampir keseluruhan pengalamannya sendiri sebagai seorang isteri, seorang ibu, seorang mahasiswa, malah seorang pengkaji sastera peringkat PhD. Hal ini banyak ditimbulkan dalam cerpennya yang terkumpul dalam Meneruskan Perjalanan (1987).

Persoalan tentang kemajuan dan pembangunan bangsa Melayu pula menyentuh permasalahan berkaitan dengan pendidikan, perekonomian, perumahan dan pemilikan tanah. Hal ini dikaitkan pula dengan soal politik dan kepimpinan Melayu. Pengarang lebih banyak melihat kegagalan kedua-dua persoalan tersebut dalam fungsi membina dan memajukan kehidupan bangsa Melayu di negara sendiri. Lebih jauh daripada itu, Zurinah Hassan juga melihat bangsa Melayu di negara sendiri. Lebih jauh daripada itu, Zurinah Hassan juga melihat bangsa Melayu menjadi semakin miskin, khususnya dalam permasalahan pemilikan tanah yang diakibatkan oleh bukan sahaja kelemahan pemimpin tetapi juga sikap bangsa Melayu sendiri. Persoalan ini menjadi keluhan para pengarang yang terakam dalam kumpulan cerpen Menjelang Pemilihan (2004). Semua ini dikaitkan pula dengan persoalan kelangsungan bangsa Melayu; di sini terlihat adanya rasa kebimbangan dalam jiwa pengarang yang mahu diungkapkan dalam cerpen untuk dikongsi bersama-sama dengan pembaca atau bangsanya sendiri. Kesemuanya disampaikan secara jujur dan berkesan dalam kumpulan cerpennya yang kedua itu.

Teknik Pengolahan

Dalam setiap ciptaan cerpennya, Zurinah Hassan amat memberikan perhatian terhadap kejayaan atau keberkesanan teknik pengolahannya; setiap unsur yang membina karya dipeliharanya dengan baik dan cermat. Dalam pembinaan plot, unsur kesatuan amat ditekankan. Bagi mencapai tujuan tersebut, beliau menentukan jumlah yang tidak terlalu banyak; hanya peristiwa yang berkaitan dan berfungsi dipilih. Susunan peristiwa itu pula dibentuk dalam suatu struktur yang boleh menggerakkan cerita atau aksi, memperkenalkan watak dan sifat khususnya, di samping dapat melahirkan suasana latar yang bersesuaian. Hal ini paling jelas dapat dilihat dalam cerpennya yang berjudul “Pulangnya Pemuja Ombak” yang memenangi hadiah pertama Peraduan Hadiah Cerpen Berunsur Islam Jabatan perdana menteri (bahagian Hal Ehwal Islam) pada tahun 1984. Peristiwa yang ditimbulkan tidak melebihi lima peristiwa utama; watak utamanya terdiri daripada dua watak sahaja. Dialog dan gerak watak menerbitkan peristiwa terpenting; dalam penceritaan begini, gambaran latar dan persoalan cerita timbul tanpa sedar, iaitu tanpa diperjelas secara langsung oleh pengarang. Setiap unsur yang digambarkan pengarang dengan sendiri berfungsi untuk melahirkan penceritaan dan persoalan secara kesan atau secara dramatis. Hal ini pastilah dapat ditimbulkan apabila jumlah unsur penceritaan tidak begitu banyak atau tidak mengelirukan, melainkan setiap satunya memberikan fungsi sepenuhnya.

Watak-watak pula terdiri daripada manusia biasa yang dapat ditemui dalam kehidupan biasa yang wujud melalui pengalaman pembaca. Walau bagaimanapun, Zurinah Hassan sesekali ingin melahirkan suatu kelainan tetapi tetap berfungsi dan tidak menjejaskan kekreatifan daya cipta cerpennya. Bagi tujuan tersebut,beliau menghidupkan semula watak dalam karya termasyhur Melayu seperti novel Ranjau Sepanjang Jalan, cerita jenaka, atau lipur lara. Semua ini ditimbulkan untuk memberikan corak rupa pencerita yang bersifat satira; dan ini berupa satu usaha mencari kelainan dan keberkesanan. Keadaan ini umpamanya dapat dilihat pada cerpen “Bendang Lahuma”, “Wira” atau “Si Kunani”.

Seterusnya yang terakhir dapat dikihat pada kekuatan cerpen Zurinah Hassan ialah gaya bahasanya. Beliau sentiasa memilih corak gaya bahasa yang mudah tetapi indah dan berkesan. Kata-kata yang dipilih dapat berfungsi untuk menjelaskan secara dramatik perjalanan atau urutan cerita, pergerakan watak dan aksinya, bentuk latar dan pewarnaan suasana; semuanya bersatu untuk melahirkan persoalan utama atau tema secara indah dan berkesan. Ayat yang terbentuk kebanyakannya pendek tetapi tetap berfungsi; hanya perkataan dan susunan ayat terpenting dibentuk dalam corak gaya bahasa yang kadangkala mengandungi unsur-unsur puitis yang indah.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036073
    Visit Today : 851
    This Month : 18672
    Total Visit : 1036073
    Hits Today : 3164
    Total Hits : 4249254
    Who's Online : 9
  • Kategori