OLEH WAN NORASYIKIN WAN ISMAIL

MUKA SURAT 1.

SYAIR Negeri Patani ialah sebuah karya historiografi Melayu tradisional yang kurang mendapat perhatian daripada pengkaji untuk mengkajinya. Manuskrip Syair Negeri Patani ini tidak kurang pentingnya jika dibandingkan dengan hikayat-hikayat lain yang mempunyai unsur sejarah. Syair ini mengisahkan sejarah yang berlaku di dalam negeri Patani yang terletak di utara semenanjung Malaysia. Melalui Syair Negeri Patani terdapat penceritaan tentang asal usul negeri Patani bermula daripada pembukaan negeri Patani sehinggalah ke era kejatuhan negeri Patani yang disampaikan dalam bentuk syair yang amat menarik. Di dalam syair tersebut terdapat beberapa ungkapan yang menggunakan kosa kata dialek Kelantan-Patani yang boleh dikaji. Oleh itu pemahaman tentang kosa kata dialek adalah signifikan dalam memahami kandungan Syair Negeri Patani.

Manuskrip MS 182 Syair Negeri Patani (SNP) merupakan koleksi simpanan Pusat Rujukan Persuratan Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Manuskrip ini diserahkan kepada DBP untuk dipulihara dan digunakan oleh penyelidik untuk tujuan penyelidikan. Manuskrip ini mempunyai 44 halaman berukuran 16x22sm. Cara penulisannya dua kolum dalam setiap halaman, 21 baris bagi setiap kolum dan dua perkataan bagi setiap baris. Di bahagian akhir manuskrip ini dinyatakan nama pengarangnya, iaitu Wan Ismail di Padang, Patani. Diceritakan juga tarikh syair ini di karang, iaitu pada hari Selasa di akhir bulan Syawal bertarikh 1351 Masihi.

Muka surat 6.

Syair ini ditulis di atas kertas tebal berwarna kekuningan dan pengarang menggunakan dakwat hitam dan dakwat merah untuk judul, frasa dan kata nama khas. Misalnya, nama-nama raja seperti Raja Wangsa, Raya Antera, Raja Muzaffar, Raja Mansur, dan ratu-ratu yang memerintah Patani antaranya Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Ungu, dan Ratu Kuning. Nama-nama orang yang dianggap penting dalam sejarah Patani juga ditulis dengan warna merah contohnya Syeikh Safiyy al-Din. Begitu juga dengan nama-nama tempat seperti Kampung Pasai, Kota Mahligai dan negara China. Namun begitu, pengarang atau penyalin SNP tidak menulis dengan dakwat warna merah nama-nama seperti Inggeris, Portugis, Jepun, Belanda dan Jawa yang turut berdagang dengan Kerajaan Patani pada waktu itu.

Dalam Syair Negeri Patani ini, syair ditulis ditulis dengan menggunakan bahasa Melayu klasik pada zamannya. Namun begitu terdapat juga kata-kata dialek Kelantan-Patani yang dirakamkan di dalam syair ini. Misalnya perkataan seperti   kabu=kekabu, kelik=balik/pulang, murih=marah, kecing=kencing, gati=ganti, senyu=senyum, royat=cerita. Selain itu terdapat juga perkataan yang seakan-akan dialek Terengganu yang terdapat dalam syair ini contohnya perkataan seperti hutang=hutan, masing=masin, bersaling=bersalin, kebung=kebun, hudang=udang, tak moh=tak mahu. Terdapat juga kosa kata dialek Kelantan yang masih digunakan sehingga kini antaranya perkataan pegawa, temenu, berkena, tohok, bedil, cuah, rukah dan tarah pala.

Tulisan dalam manuskrip ini agak terang dan manuskrip berada dalam keadaan kurang memuaskan. Beberapa halaman manuskrip telah rosak digigit serangga dan hal ini menyebabkan beberapa perkataan sudah tidak boleh dibaca lagi. Gaya penulisan syair ini agak sukar untuk membacanya kerana pada muka surat pertama pengarang/penyalin menulis gaya bentuk syair, iaitu dua rangkap bermula dari kanan ke kiri. Namun begitu gaya penulisannya berubah dari muka surat kedua hingga ketiga, iaitu syair ini perlu dibaca dari atas ke bawah. Begitulah juga dengan beberapa muka surat lain di dalam syair ini. Susunannya juga tidak teratur dan tersusun mengikut muka surat asalnya. Keadaan ini menyukarkan pembaca untuk membaca dan memahaminya kerana plot-plot ceritanya berubah-ubah. Hal ini demikian, kemungkinan penyalin manuskrip ini pada waktu itu tidak memahami konsep penulisan dalam bentuk syair dan kaedah penyusunan muka surat yang baik.

Muka surat 5.

Syair negeri Patani merupakan hasil karya sastera sejarah yang menceritakan tentang negara Kota Patani, iaitu sebuah negeri Melayu yang kini menjadi sebahagian dari wilayah Siam. Syair ini dimulakan dengan pemerintahan Raja Wangsa di Kota Mahligai. Oleh sebab negeri Kota Mahligai kurang subur, raja dan seluruh rakyat jelata telah mencari kawasan penempatan yang baru, iaitu Patani. Ternyata kawasan baru ini mempunyai tanah yang subur dan senang rakyatnya mencari makan sama ada bekerja sebagai petani ataupun nelayan. Setelah kemangkatannya baginda digantikan oleh puteranya bernama Antera. Raja Antera telah mengidap sejenis penyakit kulit, iaitu merekah tubuh atau penyakit kusta. Semakin hari penyakitnya semakin teruk. Puas baginda berubat tetapi tidak juga sembuh.

Baginda lalu menyuruh hambanya untuk memukul canang ke seluruh negeri mencari siapa yang sanggup untuk mengubatnya. Sehinggalah hamba tersebut bertemu dengan orang Pasai yang tinggal di Kampung Pasai bernama Syeikh Safiyy al-Din. Beliau telah berjanji untuk mengubatinya dengan syarat baginda mahu memeluk agama Islam. Setelah beberapa kali memungkiri janjinya, akhirnya penyakit baginda berulang lagi. Akhirnya baginda menunaikan janjinya hendak memeluk Agama Islam dan penyakitnya pun sembuh seperti sedia kala. Putera Antera memakai gelaran Sultan Ismail Syah. Menurut syair ini, baginda diislamkan oleh seorang Syeikh dari Kampung Pasai bernama Syeikh Safiyy al-Din dan kemudiannya digelar Datuk Seri Raja Fakih.

Seterusnya, Patani diperintah oleh beberapa orang raja antaranya Raja Muzafar, Raja Mansur dan Raja Bahadur. Berlaku konflik perebutan kuasa dalam istana Patani menyebabkan semua pewaris raja dari kaum lelaki di bunuh. Kemudian Negeri Patani diperintah pula oleh raja perempuan yang dipanggil ratu antaranya Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning. Patani mencapai zaman kegemilangannya di bawah pemerintahan keempat-empat orang ratu ini. Kemerosotan Patani mula berlaku apabila kemangkatan Raja Kuning yang tidak meninggalkan seorang waris bagi meneruskan era pemerintahannya. Kemudian Raja Muhammad dari Kelantan mengambil alih tampuk pemerintahan Negeri Patani. Kesempatan ini diambil oleh Siam untuk menyerang Patani. Siam telah beberapa kali cuba menyerang Patani sebelum ini tetapi gagal untuk menawan Patani. Oleh sebab sistem pertahanan dan pemerintahan Raja Muhammad yang lemah akhirnya, negeri Patani jatuh ke tangan Siam pada tahun November 1786. Sehingga kini negeri Patani masih lagi menjadi jajahan takluk Siam.

Sesungguhnya, manuskrip lama tersimpan khazanah bangsa yang tidak ternilai harganya. Didalamnya terakam kisah-kisah sejarah yang mencerminkan budaya dan masyarakat pada zaman itu yang telah pun mempunyai tamadun dan mencapai zaman kegemilangannya. Manuskrip-manuskrip tersebut bukan sekadar untuk dipertontonkan tetapi untuk digali ilmunya. Begitu juga dengan manuskrip Syair Negeri Patani. Seharusnya, para penyelidik dan generasi muda pada hari ini berusaha untuk membongkar segala ilmu yang telah tersimpan begitu lama bagi menyerlahkan kehebatan warisan keintelektualan Melayu demi kepentingan warisan negara.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042106
    Visit Today : 1421
    This Month : 24705
    Total Visit : 1042106
    Hits Today : 8917
    Total Hits : 4279460
    Who's Online : 12
  • Kategori