OLEH NAZARIYAH BINTI SANI

BICARA Khas Sastera bersama-sama novelis terkemuka tanah air, Puan Nisah Haron yang bertajuk “Hak Cipta Karya” telah dirasmikan oleh Puan Roziah bt Md. Yunus, Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Tengah (DBP Wilayah Tengah).

Program bicara santai ini merupakan anjuran Persatuan Kebajikan Penulis Muda Selangor (KEMUDI) dengan kerjasama DBP Wilayah Tengah danPerpustakaan Tun Sri Lanang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM). Bicara ini telah diadakan pada 11 Mac 2020, bertempat di Bilik Sanggar Ilmu, Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM.

Ucapan aluan oleh En. Zainal bin Jais, Pengerusi KEMUDI.

Majlis dimulakan dengan ucapan alu-aluan oleh Pengerusi KEMUDI, En. Zainal bin Jais. Dalam ucapannya, beliau mengucapkan syabas dan tahniah kepada penganjur atas inisiatif melaksanakan bual bicara berkaitan harta intelek yang memberi manfaat kepada khalayak sastera dan bahasa.

Khalayak pelbagai latar belakang yang hadir dalam bicara tersebut.

Bual bicara yang dirasmikan oleh Puan Roziah bt Md. Yunus ini dihadiri oleh pelbagai lapisan khalayak pencinta bahasa. Menurut Ahmad Shafiee bin Mohd Apendai, Biro Pembangunan Latihan Penulis Muda KEMUDI, Pengarah Projek yang juga pelajar Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM, Jurusan Persuratan Melayu, Bicara Khas Sastera ini diadakan bertujuan memberikan pendedahan kepada masyarakat terhadap kepentingan sastera dan seni tanah air. Selain itu, masyarakat diharapkan dapat menambah ilmu pengetahuan serta mengasah kemahiran peminat sastera dalam menghargai karya orang lain.

Nisah Haron ketika menyampaikan bicara yang bertajuk “Hak Cipta Karya”.

Sepanjang bual bicara ini berlangsung, novelis Nisah Haron telah berkongsi fakta dan data tentang harta intelek iaitu pentingnya khalayak pengguna dan pencinta bahasa beretika, bersikap santun dan menghargai hak cipta karya orang lain. Sebagai contoh, khalayak diingatkan agar menghormati hasil penulisan orang lain seperti buku ilmiah, kajian ilmiah dan novel.

Khalayak turut diingatkan agar buku tulisan, terbitan penulis lain tidak dibuat fotokopi dengan sewenang-wenang. Hal ini demikian untuk menjaga keharmonian bersama di samping semua itu merupakan harta intelek yang perlu dihargai oleh setiap pemilik hak cipta. Hak cipta bagi Nisah ialah menghormati intelektual orang lain.

Bicara yang berkonsepkan lisan ilmiah namun santai ini membincangkan isu secara fokus dan tuntas terutama yang berkaitan dengan ilmu harta intelek. Sebagai contoh, para peserta diberi pendedahan tentang garis panduan mendapatkan hak cipta karya masing-masing berasaskan beberapa perkara seperti yang berikut:

  1. 1. Karya itu mestilah karya yang asli, idea sendiri.
  2. 2. Bahan itu mestilah bahan yang baharu dan belum pernah digunakan dalam apa sahaja media.
  3. 3. Jenis karya itu ialah karya yang layak dilindungi.
  4. 4. Pengkarya itu boleh dikenal pasti bukan ghost writer.

Antara peserta yang hadir dalam majlis tersebut.

Majlis ilmu ini dimeriahkan dengan penglibatan dan juga kehadiran peserta dari KEMUDI, DBP, UKM, Institut Pendidikan Guru Kampus Pendidikan Islam (IPG KPI) dan orang awam yang mencintai bahasa dan sastera.

Garapan idea Nisah dalam bual bicara harta intelek yang menghimpunkan pencinta sastera dan pencinta bahasa dalam sebuah medan ilmu merupakan satu inisiatif yang baik kerana dapat berkongsi maklumat tentang bagaimanakah cara untuk mengelakkan perbuatan plagiat.

Khalayak diingatkan tentang keperluan menyatakan sumber rujukan dalam penulisan dan bijak membuat parafrasa sekiranya tidak mahu dianggap telah memplagiat karya orang lain.

Nisah membahaskan, seseorang itu dianggap telah memplagiat sesuatu karya/penulisan orang lain apabila didapati telah mencuri ekspresi orang lain dalam karya mereka dan menggunakannya dalam karya sendiri. Hal ini dikira telah melakukan rompakan persuratan. Lebih buruk lagi apabila mengisytiharkan dan menyatakan ekspresi itu baharu tetapi sebenarnya telah mengambil milik orang lain secara sedar. Perbuatan tidak bermoral ini perlu dihindari.

Perbuatan mengakui karya orang lain sebagai hak dan idea diri sendiri juga memburukkan dunia sastera dan penulisan tanah air. Kajian mendapati terdapat segelintir penulis yang sekadar menyalin idea orang lain tanpa memberi kod dan mengubah perkataan. Perbuatan ini tidak beretika dan perlu dijauhi.

Aspek perundangan yang sedia ada dan telah lama wujud turut digali dan dibincangkan untuk pengadunan ke arah ilmu peristilahan harta intelek yang lebih berketerampilan. Sebagai contoh, Nisah mengutarakan Hak Moral: Seksyen 25 – iaitu hak untuk dikenal sebagai pengarang, hak integriti pengarang. Sekiranya berlaku Pelanggaran Hak cipta pula, bolehlah merujuk Seksyen 13 dalam akta Hak Cipta.

Medium percambahan ilmu yang dibawa KEMUDI dan UKM ini juga mampu membangkitkan dan mengetengahkan enam komponen harta intelek untuk panduan bersama iaitu:

  1. 1. trademark seperti apple
  2. 2. patent
  3. 3. industrial design
  4. 4. copyright
  5. 5. geographical indication
  6. 6. layout design

Khalayak sastera digalakkan meneroka dan menggiatkan pemikiran tentang ilmu harta intelek terutamanya pada masa kini dan akan datang. Percambahan ilmu ini sejajar dalam usaha menggerakkan aspek perkembangan ilmu harta intelek itu sendiri ke arah penstandardan serta kearifan tempatan dan kesantunan akal budi Melayu dalam berkarya.

Khalayak pelbagai latar belakang yang hadir dalam bicara tersebut.

Kerancakan usaha oleh para sarjana menghasilkan penulisan ilmiah mahupun kreatif telah membuka lebih banyak peluang dan ruang untuk khalayak memplagiat.   Bagaimanakah kita sebagai penulis dapat membuktikan karya kita itu telah diplagiat?

Hal ini dapat dibuktikan sekiranya terdapat persamaan dari sudut idea, lenggok bahasa, pengambilan terus diksi tanpa dirujuk. Kaitan idea, tema dengan karya orang lain perlu diteliti. Idea boleh sama namun persembahan perlu berbeza-beza. Perkara atau isu yang penting telah ditiru menunjukkan tahap plagiat yang dilakukan. Kadangkala ada pelanggaran secara tidak langsung berlaku dalam dunia penulisan.

Usaha para sarjana mengumpul hasil penulisan, kajian ilmiah yang bermutu dan analitis dalam bidang sastera dan bahasa amat dihargai. Hal ini sekali gus dapat mewujudkan satu repositori dan wadah yang bersistematik dan mantap, bebas plagiat terutamanya yang berkaitan dengan penulisan ilmiah yang dapat diakses dan dicapai oleh semua masyarakat yang berbeza-beza latar belakang. Usaha ini perlu diteruskan. Syabas dan tahniah KEMUDI dan Perpustakaan Tun Sri Lanang, UKM.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    127838
    Melawat Hari Ini : 66
    Jumlah Pelawat : 127838
    Hits Hari Ini : 127
    Jumlah Hits : 229463
    Siapa atas talian : 1
  • Kategori