OLEH WAN NORASIKIN WAN ISMAIL 

EMAS sememangnya menjadi idaman setiap manusia. Kekayaan seseorang individu seringkali diukur dengan jumlah emas yang dimilikinya. Malahan orang-orang kaya mempunyai berpeti-peti simpanan emas di rumahnya yang melambangkan kekayaan dan status. Logam ini mempunyai daya tarikan yang tersendiri tidak kira apa jua bangsa di dunia ini. Kegilaan terhadap emas ini menyebabkan beberapa kuasa besar di Eropah seperti Portugis, Belanda dan Inggeris belayar ke seluruh dunia untuk mendapatkan emas. Mereka menjajah dan menakluk sesebuah negara bagi mendapatkan logam yang berharga ini untuk di bawa pulang ke negara asal mereka. Portugis menakluk Melaka kerana mengetahui Tanah Melayu mempunyai hasil emas yang banyak sehinggakan pedagang-pedagang mengelarkannya semenanjung emas.

Menurut Wan Fuad Wan Hassan dalam bukunya Emas Ratu Segala Logam emas atau nama saintifiknya ialah aurum dengan simbol kimianya Au berasal daripada perkataan Yunani. Perkataan emas merujuk kepada warna kuning membara pada waktu senja atau kuning keemasan. Dalam kepercayaan agama dan adat istiadat, emas dianggap sesuatu yang istimewa. Simbol emas banyak terdapat pada batu berhala dan piramid yang melambangkan peranan istimewa logam ini. Sebagai simbol budaya dan tamadun tinggi, harta benda sesebuah kerajaan ditekap dengan emas bagi menunjukkan kekuasaan kerajaan tersebut.

Tamadun Melayu Srivijaya dan Majapahit telah menggunakan emas sebagai mata wang untuk perdagangan maritim. Negeri-negeri semenanjung tanah Melayu dikatakan pernah menghantar bunga emas kepada siam sebagai ufti dan tanda persahabatan. Dalam Hikayat Hang Tuah ada menyebut bahawa Sultan Melaka telah menghadiahkan saudagar dari Benua Keling dengan pelbagai hadiah antaranya keris berhulu emas 40 bilah, lembing dan tombak bersampak emas 40 bilah setiap satu dan pedang berikat emas 20 bilah. Emas dianggap sebagai simbol kekayaan, kekuasaan sesebuah kerajaan kerana kerajaan yang mempunyai emas akan dianggap peradaban yang hebat.

Ternyata emas memainkan peranan penting bagi masyarakat Melayu pada masa itu sehinggakan dirakam dalam peribahasa Melayu yang menjadikankan emas sebagai perlambangan. Misalnya, peribahasa masa itu ibarat emas, bermaksud kepentingan menghargai masa yang diibaratkan seperti emas, iaitu sesuatu yang amat bernilai dan entiti penting dalam kehidupan. Selain itu, terdapat sejumlah kosa kata yang ditemui dalam dalam teks-teks Melayu klasik merujuk kepada sukatan (metrologi) dan timbangan emas. Berdasarkan sejumlah sistem sukatan dan timbangan emas yang ditemui jelas menggambarkan bahawa orang Melayu suatu masa dahulu telah mempunyai tamadun dan peradabannya yang tersendiri.

Berikut merupakan sejumlah kosa kata berkaitan dengan sukatan dan timbangan emas yang pernah digunakan oleh orang Melayu:

Sukatan/Timbangan   Makna
Bahara/bahar = ukuran berat yang tidak tetap bergantung pada barang yang ditimbang/timbangan seberat 10 kati
Bungkal = bersamaan dengan 16 mayam atau 53.9 gram
Bungal = ukuran berat emas yang besarnya 16 mayam
Busak = 5 busak (1/2) mayam = 1.69 gram
Jampal = sukatan berat emas (bungkal), nilai wang (rial)
Kentar (arab) = ukuran berat untuk menimbang emas.
Kupang = ukuran berat emas (sama dengan kira-kira 161 tahil):0.64 gram.
Mayam = 12 saga (ukuran berat untuk emas bungkal)
Matu = ukuran berat untuk menentukan ketulenan emas
Rial (Kelantan) = ukuran berat yang besarnya tahil (kira-kira 20 gram): emas tiga rial.
Tahil = 16 mayam
Amas/ se amas = 2.551 gram
Miskal = ukuran berat yang bersamaan dengan 4.2 gram (untuk emas atau perak).
Saga = sejenis buah yang berbiji kecil berwarna merah khas untuk sukatan berat emas
Sateng (minangkabau) = unit berat am emas
Tengkam (arab) = ukuran berat 6 kupang atau 14.18 gram
Kundi = biji saga yang digunakan untuk menimbang emas (beratnya 241 mas), kenderi.
Suku emas = wang emas yang digunakan juga sebagai ukuran berat emas;
Saga kenderi = ukuran berat bagi menentukan berat emas: 12 saga kenderi sama dengan 1 mayam.
Karat = ukuran untuk menentukan ketulenan emas (emas tulen ialah 24 karat)

Sumber: Pusat Rujukan Persuratan Melayu DBP

 

Ilmu sukatan dan timbangan yang digunakan pada zaman dahulu kini dikenali sebagai metrologi. Metrologi atau juga dikenali sebagai sains sukatan ialah salah satu sains yang berhubung kait dengan aktiviti ketetapan dalam pengukuran atau sukatan dan timbangan.

Bahara/bahar dan bungkal/bungal

Dalam teks-teks Melayu lama terdapat pelbagai istilah yang digunakan untuk ukuran berat dan sukatan yang berkaitan dengan emas antaranya bahara/bahar dan bungkal/bungal. Satu bahara bersamaan dengan 16 tahil dan 1 bungkal bersamaan dengan 16 mayam manakala 12 bungkal bersamaan dengan satu kati.

Dalam Hikayat Seri Rama menyebut:

Maka maharaja Rawana pun memberi hadiah akan maharaja Balikasya beberapa puluh bahara emas dan beberapa puluh tabak ratna manikam yang tiada terhargakan dan beberapa pakaian yang indah-indah dan seribu perempuan manusyia yang pilihan dengan pakaian dan perhiasannya, semuhanya keemasan juga pakaiannya.

Perkataan bahara juga terdapat dalam Hikayat Sulalatus Salatin (1996 ) seperti petikan berikut:

Maka tersebutlah perkataan ada seorang Keling diam di Melaka, jadi Syahbandar, Raja Mendaliar namanya, terlalu kaya; pada zaman itu tiadalah ada taranya dalam Melaka itu. Sekali persetua, Raja Mendaliar duduk mengadap Bendahara Seri Maharaja, maka kata Bendahara, “Hai Raja Mendaliar, hendaklah tuan hamba berkata benar, berapa ada emas tuan hamba?” Maka kata Raja Mendaliar, “Tunku, emas sahaya tidak banyak, ada lima bahara.”Maka kata Bendahara Seri Maharaja, “Lebih hanya sebahara emas kita daripada emas Raja Mendaliar.”

Perkataan bungkal yang dikaitkan dengan ukuran emas juga di temui dalam pantun berikut:

            Emas bermutu emas berbungkal,

                        Puteri Ledang empunya jambatan;

            Sudah kau tahu kain nan sejengkal,

Betapa gerangan kau duga lautan?

Se rial, sa amas

Sa amas merupakan unit sa yang merujuk kepada bilangan satu. Dalam sukatan emas di Kelantan sa amas merujuk kepada sukatan 2.551 gram. Pengiraan emas dalam timbangan se rial masih digunakan secara meluas dalam urusan jual beli emas di Kelantan dan masih lagi digunakan sehingga ke hari ini. Contohnya, serial emas bersamaan dengan 2.70 gram. Jika pembeli hendak membeli barang kemas yang berharga 400 rial berat, maka jumlah tersebut akan dibahagikan dengan 2.70 gram. Barulah pembeli akan mendapat harga sebenarnya yang perlu dibayar mengikut perkiraan unit matriks. Di Kelantan juga, perkataan samas/samah merujuk kepada mata wang syiling berjumlah 50 sen.

Selain itu, di negeri Kedah sukatan emasnya agak berbeza sedikit dengan Kelantan. Menurut Ibrahim, dalam Kitab Salasilah Negeri Kedah, ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah II, telah ada aktiviti menempa wang emas dan timah. Emas yang ditempa itu mengikut ukuran unit berat satu kupang dan juga satu emas, iaitu piawai yang lazim digunakan pada waktu itu. Justeru itu, wang emas ditempa jenis se kupang (satu) dan se mas (satu emasyang disebut juga se jampal (satu jampal). Menurutnya lagi, terdapat keterangan dalam kitab tersebut berkaitan ketetapan oleh Duli Yang Maha Mulia tentang perbelanjaan mencetak wang seperti yang berikut:

“Maka akan perbelanjaan tera: dua belas tera satu pitis, se puluh tera dua belas pitis setengah, jadi sekupang. Enam ratus tera empat kupang, jadi sejampal. Dua jampal setera seribu dua ratus tera seriyal.

Bagi mengelakkan kekeliruan istilah mas atau emas, kupang dan se jampal telah diubah supaya dapat dibezakan dengan unit berat timbangan ataupun mata wang. Bagi negeri Terengganu, emas dua kupang bersamaan dengan 1.28 gram.

Saga, saga kendiri, kundi

Bagi mengira berat timbangan emas, beberapa alat dan bahan digunakan antaranya ialah saga dan saga kendiri. Saga ialah sejenis buah yang berbiji kecil yang berwarna merah (Adenanthera pavonina). Buah ini akan diletakkan di atas alat timbangan yang dipanggil dacing. Bagi mengimbangkan berat emas beberapa biji buah saga diletakkan di dalam piring dacing bagi mengimbangkannya dengan berat emas yang ditimbang. Timbangan satu saga atau saga kendiri bersamaan dengan 12 mayam dan digunakan untuk menyukat berat emas. Kundi ialah sejenis biji saga yang digunakan utk menimbang emas (beratnya 241 mas), kenderi. Perkataan saga kundi dirakamkan sebagai pembayang pantun Melayu seperti yang berikut:

            Yang kurik itu kundi,

Yang merah itu saga;

           Yang baik itu budi,

Yang indah itu bahasa.

Pembayang pantun tersebut menerangkan tentang jenis-jenis biji saga. Yang kurik itu kundi merujuk kepada biji saga yang mempunyai bintik atau tompok hitam di atasnya. Manakala yang merah itu saga ialah biji saga yang keseluruhan bijinya berwarna merah. Kedua-dua biji saga ini digunakan untuk sukatan emas.

Menurut Abdul Razak Abdul Karim dalam makalahnya yang bertajuk Manuskrip Surat-surat Francis Light: Suatu Analisis Aspek Kosa Kata beliau berpendapat dari segi etimologi, kata saga digunakan oleh masyarakat India Purba untuk menyukat timbangan berat dengan berdasarkan berat sebutir kacang yang dinamakan Abrus precatorius. Satu mas beratnya bersamaan dengan lapan biji saga.

Ibrahim Bakar dalam artikelnya yang berjudul Weight System Ever Used In Kedah menyatakan bahawa orang-orang India juga didapati telah menggunakan biji saga Abrus ini sebagai unit asas timbangan mereka sejak awal tahun Masihi lagi. Di tempat mereka saga jenis ini dinamakan raktika atau ratti. Masyarakat India Selatan telah menggunakan piawai 20 saga/ratti sebagai unit utama skala beratnya. Manakala negeri-negeri di sebelah timur India menggunakan piawai 32 saga/ratti sebagai unit utama. Pedagang-pedagang India yang datang berdagang ke alam Melayu membawa bersama-sama mereka budaya dan agama. Selain itu mereka juga turut mempraktikkan amalan pengukuran berat yang dipercayai mula meresap ke dalam kehidupan masyarakat tanah besar Asia Tenggara. Kedua-dua piawai tersebut didapati pernah diamalkan di sekitar tanah besar Asia Tenggara suatu masa dahulu.

Kupang dan busak

Kupang merupakan salah satu unit timbangan bagi menyukat berat emas (sekupang kira-kira 1/16 tahil). Di negeri Johor, nilai mata wang emas di gelar kupang, iaitu mengandungi emas seberat 10 grains (0.65 gram). Begitu juga dengan Terengganu, wang emas dan kupangnya berbentuk segi lapan. Sakiinah Mahamad Hakimi dan Zainal Abidin Sanusi dalam kajian beliau yang bertajuk Menjejaki Sejarah Penggunaan Mata Wang Dinar Emas dan Dirham Perak Semasa Zaman Kesultanan Melayu menyatakan bahawa pada kurun ke-19, kadar timbangan emas seperti berikut:

4 Kupang = 1 Mas

7 Kupang = 1 Yen Perdagangan Jepun

8 Kupang @ 2 Mas = 1 Dolar Sepanyol

Busak ialah sejenis alat untuk mengukur timbangan emas. Ukuran bagi satu busak bersamaan dengan 0.337 gram dan lima busak ialah ½ mayam atau pun 1.69 gram. Dalam undang-undang adat Minangkabau orang yang mencuri akan dikenakan hukuman denda dengan membayar kadar sukatan emas sebagai denda bergantung kepada barang yang dicuri. Contohnya, orang yang mencuri kerbau dikenakan denda seperti berikut:

Adapun curi, ertinya mengambil harta orang di luar simpanan dengan tidak sepengetahuan orang yang empunya. Hukumnya sama seperti maling, tetapi dendanya setahil dua emas. Jika yang dicuri itu kerbau, dendanya sepuluh emas, tengah tiga (2 ½), lima kupang lima busak, sekupang sepiak, empat kendi.

Kadar denda yang dikenakan kepada mereka yang mencuri menggunakan timbangan emas adalah bertujuan untuk menjadi pengajaran kepada mereka yang mencuri supaya tidak melakukan kejahatan. Hal ini kerana denda yang dikenakan adalah mahal kerana dinilai dengan emas sebagai ganti ke ke atas barang yang dicuri.

Kati dan Pikul

Kati ialah ukuran berat yang bersamaan dengan 16 tahil. Berat sekati bersamaan dengan 617.5 gram. Ukuran berat dalam sekati adalah bersamaan 11/3 1b (Wilkinson:1955). Ukuran ini biasanya digunakan untuk bahan-bahan kering untuk memudahkan urusan timbangan dan pembungkusan. Misalnya, minyak masak, ikan, tepung, gula, rempah dan lain-lain lagi. Emas juga tidak terkecuali ditimbang menggunakan sukatan ini. Dalam Hikayat Hang Tuah (1995) ada menyebut perkataan kati seperti berikut:

Maka bendahara pun bertaruhkan anak raja itu kepada saudagar; saudagar itu pun memberi hadiah akan bendahara kira-kira dua puluh kati emas dan akan Bentara Tun Tuah diberinya hemat sepuluh kati emas, dan segala pegawai dan petuanan itu pun sekalian menghantarkan hadiah akan saudagar itu.

Dalam petikan tersebut diceritakan tentang Bendahara Melaka telah menyerahkan adinda Sultan Melaka kepada seorang saudagar dari India. Saudagar tersebut membawa balik adinda Sultan Melaka untuk dirajakan di Benua Keling. Sebagai balasannya saudagar itu telah memberikan bendahara hadiah berupa 20 kati emas dan Bentara Tun Tuah 10 kati emas. Semua hadiah itu dihantarkan oleh pegawai saudagar tersebut kepada bendahara dan Tun Tuah.

Selain itu, dalam Hikayat Sulalatus Salatin (1996) juga turut mencatatkan perkataan kati seperti teks berikut:

Maka oleh Raja Mendaliar dipimpinnya tangan Kitul, dibawanya pada tempat yang sunyi. Maka kata Raja Mendaliar, “Hei Kitul, apa jua ada khabar tuan hamba dengar?” Maka kata Kitul, “Malam tadi Nina Sura Dewana datang kepada Datuk Bendahara, persembah sepuluh kati emas, hendak menyuruh bunuh tuan hamba; akan sekarang Datuk Bendahara telah sebicaralah dengan Nina Sura Dewana, tuan hamba hendak dikerjakannya.”

Berdasarkan teks tersebut diceritakan bahawa Si Kitul, iaitu ahli keluarga kepada Nina Sura Dewana telah berhutang kepada Raja Mendaliar sebanyak sekati emas. Beliau telah berkunjung ke rumah Raja Mendaliar dan menyampaikan cerita palsu. Beliau telah memfitnah Nina Sura Dewana dengan mengatakan bahawa Nina Sura Dewana telah memberikan sejumlah sepuluh kati emas kepada bendahara dan berpakat untuk membunuh Raja Mendaliar.

Pikul pula merujuk kepada berat timbangan yang bersamaan dengan 100 kati ataupun lebih kurang 60 kilogram. Pikul ialah sejumlah berat yang mampu ditanggung oleh purata seseorang manusia. Dalam Hikayat Hang Tuah (1997) juga menyebut:

Maka baginda pun mengeluarkan emas dan perak pula berpuluh-puluh pikul diberi baginda akan Laksamana dan Maharaja Setia akan membeli bedil itu.

Berdasarkan petikan di atas Baginda Sultan Melaka telah mengeluarkan emas dan perak berpuluh-puluh pikul dan diberikan kepada Laksamana Hang Tuah dan Maharaja Setia untuk membeli bedil bagi keperluan kerajaan Melaka untuk melawan musuh. Perkataan pikul juga ada disebut oleh Hikayat Abdulah Munsyi yang ditulis oleh Hamzah Hamdani (2007) seperti berikut:

Ibuku tinggal serumah dengan nenekku kerana pada masa itu bapaku pergi belayar dan berniaga ke Siak dan Pekan Baru. Perniagaan maju sehingga berpikul-pikul emas di bawa dari Siak ke Melaka dalam setahun.

Petikan tersebut menggambarkan tentang keuntungan yang diperoleh oleh bapa Abdulah Munsyi yang berniaga ke Siak dan Pekan Baru. Beliau menyatakan bahawa perniagaan bapanya sangat maju sehinggakan setiap tahun bapanya membawa berpikul-pikul emas pulang ke Melaka.

 

Kesimpulan

Pada masa dahulu orang Melayu mempunyai banyak kosa kata yang berkaitan dengan sukatan dan timbangan emas yang tercatat dalam teks-teks Melayu lama. Namun begitu, kosa kata ini sudah tidak digunakan lagi. Kebanyakan masyarakat pada hari ini tidak mengetahui bahawa orang Melayu suatu masa dahulu pernah mempunyai sistem sukatan dan timbangannya yang tersendiri. Bagi bangsa yang terjajah seperti orang Melayu, mereka menganggap bangsanya tidak pernah mempunyai unit-unit sukatan sehinggalah diperkenalkan oleh penjajah.

Selepas negara mencapai kemerdekaan, sistem sukatan dan ukuran tradisional sedikit demi sedikit ditukarkan kepada sistem sukatan barat. Pada tahun 1971, sistem sukatan dan timbangan (Akta 40) diperkenalkan bagi mengawal selia timbang dan sukat serta peralatan yang digunakan. Kemudian Akta timbang sukat 1972 (Akta 71) diperkenalkan bagi menggantikan Akta 40 (1971). Lama-kelamaan generasi muda pada hari ini telah menerima sepenuhnya sistem matriks yang diperkenalkan oleh barat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034789
    Visit Today : 1005
    This Month : 17388
    Total Visit : 1034789
    Hits Today : 4908
    Total Hits : 4243242
    Who's Online : 11
  • Kategori