OLEH JAYMANI SEVANATHAN

PERIBAHASA Melayu boleh dianggap sebagai bahasa kiasan yang membawa makna tersirat, kerana masyarakat mahu menyampaikan sesuatu makna secara analogi atau perbandingan. Ia juga boleh dianggap sebagai akal budi Melayu. Masyarakat Melayu banyak menggunakan unsur alam sekeliling dengan segala kemampuan imaginasi mereka, lalu mengaitkannya dengan aspek kehidupan. Unsur ikan juga digunakan dalam peribahasa Melayu untuk menyampaikan makna yang tersirat di sebaliknya. Menurut Kamus Dewan (2004), ikan ialah haiwan berdarah sejuk yang hidup di dalam air serta bernafas melalui insang dan mempunyai sirip untuk berenang.

Ikan dipilih sebagai unsur alam dalam peribahasa kerana pekerjaan orang pada zaman dahulu kebanyakannya adalah sebagai petani dan nelayan. Sebagai petani, mereka akan bertemu dengan ikan di sawah ketika menanam padi. Pada masa yang sama, mereka juga kerap menangkap ikan di sungai dan tasik. Mereka sangat mahir dengan pengetahuan ikan, sehingga boleh membezakan jenis ikan dan tahu akan kaedah yang sesuai untuk menangkap ikan. Di samping itu, peribahasa tentang ikan menceritakan bahawa kehidupan masa lalu orang Melayu sememangnya dekat dengan muara sungai.

Peribahasa yang berkaitan dengan ikan disenaraikan dalam jadual di bawah:

 

Bilangan Peribahasa dan Takrifan Contoh Ayat
1 Seperti ikan pulang ke lubuk.

Takrifan

Setelah pulang ke tempat asal tidak mahu ke mana-mana lagi.

Selepas merantau ke Cape Town selama 12 tahun, Ismail pulang ke Klang dan berhasrat untuk tidak merantau lagi sehingga nafas terakhirnya seperti ikan pulang ke lubuk.
2 Lain lubuk, lain ikannya.

Takrifan

Adat resam sesebuah negeri atau negara berlainan di antara satu dengan yang lain.

Adalah sesuatu yang tidak adil sekiranya kita membandingkan adat dan budaya rakyat Malaysia dengan negara luar kerana lain lubuk, lain ikannya.
3 Ikan digulai sudah melompat, ikan di kuali habis melompat.

Takrifan

Menerima nasib malang.

Setelah kematian kedua ibu bapanya, hidup Mira bagai ikan digulai sudah melompat, ikan di kuali habis melompat kerana kehilangan tempat bergantung.
4 Nak menangguk ikan, tertangguk batang.

Takrifan

Hendak mendapat keuntungan tetapi mendapat kerugian.

Alif membuka sebuah syarikat penerbitan dengan hasrat mendapat keuntungan yang lumayan dan dapat melunaskan hutang lamanya tetapi syarikat tersebut hanya memberinya kerugian seperti nak menangguk ikan, tertangguk batang.
5 Ikan di dalam lautan yang besar sekalipun termasuk juga ke dalam pukat.

Takrifan

Sepandai-pandai seseorang, ada kalanya dia melakukan kesalahan juga.

 

Tiada manusia yang terlepas daripada membuat kesalahan walau setinggi mana tahap pendidikannya kerana ikan di dalam lautan yang besar sekalipun termasuk juga ke dalam pukat.
6 Memancing ikan di dalam belanga.

Takrifan

Mencari keuntungan dalam lingkungan kaum keluarga atau kawan-kawan sendiri.

Emma berjaya menjual hampir kesemua buku baharunya dan mendapat keuntungan yang berlimpah kerana taktiknya yang bagai memancing ikan di dalam belanga.
7 Ikan tergantung, kucing tunggu.

Takrifan

Berharap untuk mendapat sesuatu yang diingini.

 

Setiap kali menghantar cerpen untuk sayembara, Luqman sentiasa berharap agar dapat memenanginya seperti ikan tergantung, kucing tunggu.
8 Belut pulang ke lumpur, ikan pulang ke lubuk.

Takrifan

Orang yang merantau pulang ke tempat asalnya.

Fadzil pulang ke Malaysia selepas menetap di Perancis sejak kecil seperti belut pulang ke lumpur, ikan pulang ke lubuk.
9 Asam di darat, ikan di laut, di dalam belanga bertemu.

Takrifan

Kalau sudah jodoh orang perempuan atau lelaki akan bertemu juga akhirnya.

 

“Jangan bersedih Hilmi, jikalau memang Nana jodoh kau, kau pasti akan berkahwin dengannya nanti kerana asam di darat, ikan di laut, di dalam belanga bertemu”, pujuk Amirul.
10 Kecil ikan besar umpan.

Takrifan

Modal yang besar, mendapat hasil yang kecil.

Walaupun melabur wang yang banyak untuk restorannya, Raju berasa kecewa kerana pulangannya sangat sedikit seperti kecil ikan besar umpan.

Kesimpulannya, unsur ikan digunakan dalam peribahasa Melayu sebagai sumber pembentukan sahsiah manusia yang boleh dijadikan panduan, ajaran dan pembimbing dalam meneruskan kehidupan. Mesej yang terkandung dalam peribahasa Melayu sememangnya bernada sindiran kerana ia merupakan adab masyarakat Melayu dahulu yang suka berlapik dalam menegur sebarang tindakan dan supaya tidak menyinggung perasaan orang lain. Pemikiran beraras tinggi harus digunakan bagi mengetahui makna, mesej dan pengajaran yang terkandung dalam setiap peribahasa.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044679
    Visit Today : 1099
    This Month : 27277
    Total Visit : 1044678
    Hits Today : 4072
    Total Hits : 4289046
    Who's Online : 14
  • Kategori