OLEH SITI SUHANA MOHD AMIR

Kain batik sutera.

KEINDAHAN dan kehalusan kain sutera memang diakui telah melatari keperluan kehidupan manusia zaman-berzaman. Kain sutera memberi nilai sosial dan dapat mempengaruhi gaya hidup si pemakainya. Kewujudan sutera yang berabad-abad lamanya telah berkembang ke seluruh dunia. Malah perdagangan sutera ini telah mula wujud di China dan India sehingga wujudnya istilah “Laluan Sutera” atau “Jalan Sutera”. Istilah Laluan Sutera dinamakan bersempena perdagangan sutera yang meluas di China sehingga mewujudkan laluan perdagangan awal yang merangkaikan benua yang luas. Laluan perdagangan ini (bukan sahaja kain sutera malah barang dagangan lain seperti rempah, kesturi, wangian, permata, barang kaca dan lain-lain) menghubungkan rantau Asia Timur, Asia Selatan dan Asia Barat dengan rantau Mediterranean, Afrika Utara, Afrika Timur Laut dan Eropah. Malah, bukan sahaja aktiviti perdagangan, Laluan Sutera ini menjadi pemangkin kegiatan pertukaran kebudayaan, teknologi dan sebagainya selama 300 dekad.

Dalam serangkap lirik lagu Pandang-pandang Jeling-Jeling nyanyian Dato’ Sri Siti Nurhaliza dan Datuk S M Salim (Ciptaan S Atan/ S M Salim) turut menyebut tentang perbandingan antara sutera dan belacu bagi memaknakan nilai sedar diri di mata orang lain. Belacu (kain mentah, kain putih) diibaratkan keadaan diri yang masih mentah dan tidak layak untuk digandingkan dengan sutera yang diibaratkan sebagai orang terhormat, berpangkat atau berilmu tinggi. Lirik tersebut dapat dilihat seperti yang berikut:

Kereta kuda pedati lembu
Singgah mari di tepi kuala
Tuan sutera saya belacu
Manakan boleh berganding sama

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, sutera ialah sejenis benang yang lembut dan halus yang didapati daripada sejenis ulat dan kain atau cita yang dibuat daripada benang sutera. Ulat sutera yang dimaksudkan itu ialah sejenis ulat rama-rama Bombyx mori yang mengeluarkan benang sutera. Malah pembuatan sutera juga dapat dihasilkan secara kimia dan dipanggil sutera buatan seperti rayon dan sutera imitasi (Indonesia). Terdapat juga peribahasa berkaitan sutera yang pemaknaannya sesuai dengan sifat sutera yang cantik lagi halus (beruntung), iaitu ‘seperti sutera dalam lukisan” (sesuatu yang baik beroleh tempat yang baik pula) dan ‘jual sutera beli mastuli’ (dapat ganti yang lebih berharga lagi).

Pemaparan jenis kain sutera secara umum dan hasil pengeluaran sutera dari negara tertentu seperti China dan India memperlihatkan pelbagai istilah dan jenis kain sutera, sama ada halus, tebal, berkilat, berbenang emas dan bergaris-garis. Pemaparan istilah sutera dapat dilihat melalui carian di laman sesawang Pusat Rakaman Persuratan Melayu (PRPM) seperti dalam jadual tersebut.

Istilah Maksud
baldu sejenis kain yang dibuat daripada sutera, kapas, nilon dan sebagainya (berbulu-bulu halus pada sebelah luarnya dan berkilat-kilat)
belabas sastera lama, sejenis kain sutera berbenang emas
beroci sejenis kain sutera halus (dari Baroch, Gujarat)
besuta sastera lama, sejenis kain sutera halus
broked sejenis kain sutera bertenun benang emas atau benang perak
cindai I sejenis kain sutera berbunga-bunga (warnanya menyerupai warna ular sawa)
istibrak arkaik, sejenis kain sutera
jose (Cina) sejenis sutera
kain (cita) paris sejenis kain cita separuh sutera
kain antelas, atlas II sejenis sutera India yang berkilat (satin)
kain celar, celari sejenis kain (sarung) sutera yang bersulam benang emas di tepinya
kain dibaja sejenis kain sutera yang halus
kain madukara sejenis kain sutera yang disulam dengan benang emas
kain randi sejenis kain sutera yang bergaris-garis
kain sutera cengkurai sejenis kain cindai
kain taf sejenis kain sutera
kain tegarun sejenis kain sutera yang disulam dengan benang emas
kala IV sastera lama, sejenis sutera
krep sejenis kain nipis daripada sutera, kapas atau benang bulu yang permukaannya berkedut-kedut
kuntuan (Cina) sejenis kain sutera
lokcuan sejenis sutera dari negeri China
mastuli sejenis kain sutera yang kasar dan kuat
pangsi II (Cina) sejenis kain sutera hitam
satin sejenis kain sutera, antelas
seti arkaik, sejenis kain sutera
shot silk (kain) sutera siang malam
sundusi, sundusin arkaik, sastera lama, kain sutera yang berpakankan benang emas
sutera santung (syantung) sejenis sutera buatan China (kain sutera yang tebal permukaannya tidak rata atau berkedut-kedut)
teluki I sejenis kain sutera

Berikutnya, fungsi, kepentingan dan kegunaan sutera sebagai alat perhiasan, sepersalinan pakaian, majlis kebesaran, perhiasan tempat beradu atau petiduran dan sebagainya masih lagi relevan dan diperlukan dalam adat budaya Melayu bagi kelangsungan warisan negara bangsa. Pemaparan istilah yang berkaitan seperti dalam jadual tersebut.

Istilah Maksud
cindai I bengkung (ikat pinggang, sabuk) daripada kain cindai (sutera)
gebar gandan kain selimut daripada sutera dan lain-lain
jersi baju berlengan yang dibuat daripada benang bulu, sutera, nilon dan sebagainya
kain caul selendang sutera atau sejenis kain halus (asalnya dari sebuah bandar di pantai barat India)
kain lajak sejenis kain yang ditenun daripada benang atau sutera
kain perai kain sutera hitam yang ditenun berbunga-bunga
kain tajung arkaik, sejenis kain sarung sutera
limar (Jawa) sejenis kain sutera (untuk bengkung dan lain-lain)
organza sejenis fabrik nipis, jarang dan keras yang diperbuat daripada benang kapas, sutera, rayon dan sebagainya
sabuk ikat pinggang yang dibuat daripada kain (sutera dan lain-lain), bengkung
selampai kain sutera yang diselendangkan di leher atau di bahu ketika membawa alat-alat kerajaan
seluar (celana) lambuk sejenis seluar yang longgar dibuat daripada sutera; seluar Acheh; lambuk III
stoking sejenis pakaian yang dibuat daripada benang sutera (kapas, bulu dan lain-lain) untuk membalut kaki, kaus kaki
sutera dewangga kain sutera yang bercorak indah
sutera kembang sutera yang bersulam
tali leher jalur kain sutera, linen dan sebagainya yang dipakai di bawah kolar kemeja dan tergantung di dada
tekat bersuji sulaman dengan benang sutera
tengkolok sejenis kain penutup kepala, bulang hulu, destar, setangan kepala, tanjak; sejenis kain penutup kepala atau selubung (daripada sutera dan lain-lain) yang dipakai oleh wanita
tetampan II selampai daripada kain sutera kuning (biasanya disangkutkan di bahu ketika menghadap raja atau untuk menudung barang-barang yang dipersembahkan kepada raja)
tirai kain sutera dan lain-lain yang berumbai-umbai tepinya untuk perhiasan langit-langit di tempat tidur dan lain-lain
tuli-tuli sejenis tali (daripada benang sutera, emas, perak, rotan dan lain-lain) untuk melekatkan sarung keris pada tali pinggang
ula-ula, ular-ular arkaik, sastera lama, secarik sutera (kertas dan lain-lain) yang panjang
voil sejenis kain yang halus, nipis dan agak jarang yang diperbuat daripada kapas, sutera dan sebagainya

Kemudiannya, pemaparan proses awal penghasilan awal benang sutera secara umum yang berkaitan dengan tumbuhan, penternakan ulat sutera, proses penghasilan sutera dan lain-lain dapat dilihat dalam jadual seperti jadual tersebut.

Istilah Maksud
barang tenun barang-barang yang dibuat daripada benang dan lain-lain (kain, kapas, sutera dan lain-lain)
benang sutera benang lembut lagi halus yang diperoleh daripada sejenis ulat
besaran (Jawa) sejenis tumbuhan (pokok yang daunnya dibuat ubat atau untuk makanan ulat sutera; Morus alba); bebesaran
cual II sutera yang belum selesai dipintal (pada pangkat pertamanya)
gentian asli tumbuhan (seperti kapas) atau haiwan (seperti sutera), lazimnya dibuat tenunan
induk sutera sarang ulat sutera
irasan seni batik kain yang dijadikan dasar tekatan atau sulaman (kain baldu untuk tekatan manakala kain kapas, kasa, sutera untuk sulaman)
kertau, mulberi; Morus alba nama sejenis pokok yang daunnya dijadikan makanan ulat sutera
kokun kelongsong daripada bebenang seperti sutera yang melindungi larva rama-rama atau larva sesetengah serangga
lajak benang (sutera) sejenis kain yang ditenun daripada benang atau sutera
sericulturis pemelihara ulat sutera
serigrafi seni, teknik atau proses mencetak corak yang melibatkan cat atau dakwat yang disaring ke atas kertas atau tekstil melalui saring yang dibuat daripada sutera
serikultur penternakan ulat sutera untuk menghasilkan sutera mentah

Ulat sutera.

Dalam rakaman PRPM juga turut menemukan leksikal dan bahasa sukuan yang menyebut tentang sutera dan pemakaian dalam adat tertentu mengikut suku kaum atau etnik masing-masing. Bahasa sukuan untuk Melanau Mukah menyebut sutera sebagai suterak, iaitu sejenis benang yang lembut dan halus yang didapati daripada ulat, dan kain atau cita yang dibuat daripada benang sutera; satin, iaitu sejenis kain sutera, antelas; peresak kina, iaitu sapu tangan sutera, sapu tangan yang berjalur-jalur atau bertapak-tapak; dan selipeang kain seterak berubai kunieng, iaitu selempang kain sutera berambu kuning. Bahasa sukuan Melanau Dalat pula menyebut sutera sebagai suterak, lokcuan; dan limar, kuntuan yang merujuk pada kain sutera. Bahasa sukuan Tetaw menyebut juga suterak, lokcuan, limar dan bahasa sukuan Kedayan menyebut sutaak, sutrak untuk sutera dan banang sutaak yang merujuk pada benang sutera. Bahasa sukuan Suluk, Sabah pula menyebut sabit yang merujuk pada kain ikat di pinggang diperbuat daripada sutera kuning dan dihiasi labuci, sebahagian pakaian penari lelaki.

Kepompong sutera.

Pemaparan istilah dan konsep berkenaan sutera banyak memberi kepelbagaian makna dan fungsi tertentu dalam pemakaian dan kegunaan kain sutera. Keindahan dan kehalusan kain sutera tetap dipelihara dan diberi tempat istimewa buat penggemarnya. Sesungguhnya, jenis, cara penghasilan, kegunaan dan keperluan kain sutera dalam kehidupan dapat memberi nilai estetika sepanjang zaman dan saling melengkapi budaya Melayu bertamadun. Manusia dan keindahan tidak dapat dipisahkan!

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034986
    Visit Today : 1202
    This Month : 17585
    Total Visit : 1034986
    Hits Today : 6067
    Total Hits : 4244401
    Who's Online : 3
  • Kategori