OLEH SITI SUHANA MOHD AMIR

BUDAYA minum kopi di restoran atau kafe kopi berjenama barat mahupun Korea semakin meningkat di Malaysia. Minuman kopi bukan sekadar dapat mengurangkan rasa mengantuk, malah memberi ruang dan peluang dalam mempopularkannya dengan keperluan dan status gaya hidup masyarakat kini. Kebanjiran pemilik kafe bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan dan banyak mengetengahkan konsep dan hiasan kafe dan pelbagai aneka hidangan berserta minuman kopi sebagai jualan utama bagi menarik lebih ramai peminat kopi. Pemilik kafe juga berusaha meletakkan hiasan kafe secara minimalis, hiasan desa, moden, urban, atau mengadakan mini konsert bagi memberikan keselesaan kepada pelanggan. Mereka juga menawarkan aneka kopi moden dan berjenama, set sarapan pagi dan minum petang, hidangan pastri, kek dan roti bagi menarik lebih ramai pelanggan.

Kopi hijau turut mendapat tempat dalam kalangan peminat kopi.

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, kopi ialah sejenis tumbuhan (pokok dan bijinya yang digoreng dan dijadikan serbuk untuk dibuat minuman), kahwa, Coffea spp.; atau air kopi, dibancuh menggunakan kopi halus, gula dan air. Mengikut Ensiklopedia pula, kopi ialah sejenis minuman yang dibuat daripada biji kopi yang dipanggang dan dikisar. Kopi juga merupakan minuman panas yang disukai hampir di seluruh dunia. Kopi ialah tumbuhan keluarga jenis Rubiaceae dan Genus dan dipercayai berasal dari Ethiopia dan kemudiannya tersebar ke Mesir, Yemen, Eropah dan Amerika Syarikat. Sehingga kini, negara Korea Selatan sedang rancak menjadikan minuman kopi berjenama sebagai gaya hidup terkini dan popular akibat pengaruh budaya dari Amerika Syarikat. Disebabkan pengaruh besar dunia kopi, Pertubuhan Kopi Antarabangsa telah memilih 1 Oktober setiap tahun sebagai Hari Kopi Sedunia.

Antara bandar utama yang menjadi pusat perdagangan penting dan pelabuhan pengeksport kopi utama dunia ialah bandar Maracaibo di Venezuela, Santa Ana di El Salvador, Santiago De Cuba di Cuba, Malabo di Afrika Barat, Recife di Brazil, dan Luwu di Sulawesi Selatan. Malah, pemilik kafe banyak mendapatkan bekalan kopi dari kilang dan ladang yang terbaik di Brazil, Sumatera, Columbia, Costa Rica, Kenya, Gatemala dan Ethiopa. Malah, Brazil, Vietnam, Indonesia, Columbia dan India menjadi pengeluar dan pengeksport kopi utama dunia. Di Malaysia pula, kopi merupakan komoditi kedua terbesar yang diperdagangkan di dunia selepas petroleum. Malaysia juga banyak mengimport kopi terutamanya dari Indonesia.

Berdasarkan pemerhatian daripada laman sesawang Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM), berikut merupakan pemaparan istilah berkaitan kopi mengikut istilah sumber dan istilah sasaran khususnya dalam bidang Pentadbiran Perniagaan, Sosiologi dan Pertanian seperti dalam jadual tersebut.

Istilah Sumber Istilah Sasaran
Bidang Pentadbiran Perniagaan
aiskrim kopi (coffee ice cream) aiskrim berperasa kopi
kapucino (capuccino) kopi espreso dari Itali yang mengandungi krim dan beberapa jenis herba
koleh kopi (coffee mug) cawan besar yang bertangkai untuk membancuh kopi
kopi demitasse (demitasse coffee) kopi yang mempunyai rasa pahit
kopi Diable kopi yang diperasakan dengan herba dan likuor dan dihias dengan krim putar sebagai toping
kopi espreso (espresso coffee) kopi pekat Itali yang dihidangkan dalam cawan kecil tanpa gula dan susu
kopi halia kopi yang ditambah perasa halia
kopi Irish (Irish coffee) kopi bercampur gula dan wiski Irish yang dihidangkan bersama krim dalam gelas Paris
kopi Jamaica (Jamaica coffee) kopi yang diperasakan dengan herba dan likuor dan dihias dengan krim putar sebagai toping
kopi mentah (raw coffee) biji-biji kopi yang belum diproses menjadi serbuk kopi
kopi panggang (roasted coffee) kopi yang dikeringkan, disalai atau diperangkan dengan mendedahkan kepada haba
kopi tarik sejenis kopi yang popular di Malaysia
moka (mocha) kopi yang berperisa kuat sebagai bahan perasa kopi dan coklat dalam campuran kopi, aiskrim, frostengs, kek dan pai
serbuk kopi (coffee powder) serbuk daripada biji kopi yang dikisar halus setelah dikeringkan
set kopi (coffee set) set yang terdiri daripada teko, jag krim, bekas gula termasuk cawan dan piring, diperbuat daripada porselin atau tembikar
Bidang Sosiologi
demitasse 1.  secawan kecil kopi yang biasa diminum tanpa susu, 2. cawan yang digunakan untuk menghidangkan kopi tersebut
kopi nyahkafeina (decaffeinated coffee) kopi yang tidak lagi mengandungi kafein
pembancuh kopi (coffee maker) alat untuk membancuh kopi
pembancuh kopi perkolator (percolator coffee maker) pembancuh kopi yang menggunakan pengewapan berulang kali
pembancuh kopi titis(an) (drip coffee maker) pembancuh kopi yang menggunakan kaedah titisan air panas
pembru (brewer) pembancuh kopi yang menggunakan wap air untuk membancuh kopi
pengisar kopi (coffee mill) alat untuk mengisar biji kopi yang telah dibakar sehingga halus
tong pembancuh kopi (coffee urn) bekas daripada logam untuk membuat dan menyimpan kopi supaya minuman tersebut sentiasa panas
Bidang Pertanian
tanaman minuman (beverage crop) tanaman yang menghasilkan produk minuman seperti teh, kopi, koko, roselle dan anggur
cikori sejenis tumbuhan berbunga biru yang ditanam yang daunnya dapat dibuat salad dan akarnya dapat digunakan sebagai pengganti kopi, Cichorium intybus

Seterusnya, pemaparan istilah khusus memperlihatkan keistimewaan hidangan berupa kuih, roti dan pastri yang diperbuat daripada kopi atau dihidangkan bersama-sama kopi sebagai pelengkap hidangan seperti dalam jadual berikut:

Istilah Maksud
jago kek otelo yang diliputi krim mentega perasa kopi
petits fours kek kecil berhias atau kek coklat berukuran ½ hingga 1 sentimeter yang dihidangkan bersama kopi selepas manisan atau desert
kroisan (croissant) doh roti yang dicanai bersama marjerin menjadi pastri, dibentuk seperti bulan sabit dan biasanya dihidangkan bersama kopi untuk sarapan pagi
mus (mousse) desert lembut daripada krim, telur atau gelatin yang berperisa coklat, kopi atau buah yang disejukkan dan dikenali juga sebagai hidangan savori
sarapan kontinental (continental breakfast) sarapan yang mengandungi jus, kopi atau teh, roti bakar, mentega dan jem
sarapan lengkap (cafe complet) hidangan sarapan yang dilengkapi dengan kopi atau teh, jem roti dan mentega
hidangan alas perut (midmorning meal) (seperti kudapan) hidangan ringan atau kadangkala hanya kopi atau teh yang dinikmati waktu antara pertengahan pagi hingga sebelum tengah hari
sarapan Amerika (English breakfast) sarapan berat yang terdiri daripada susu atau jus buah-buahan termasuk kopi dan teh, dengan aneka pilihan makanan seperti ikan, daging, telur, sosej, roti, jem, mentega, bijirin dan buah-buahan
waktu rehat (coffee time atau coffee break) waktu berehat yang pendek pada waktu pagi atau petang yang menyajikan kopi atau teh dan makanan ringan
kudapan, kudap, kudap-kudap makanan ringan seperti minuman kopi dan kuih-muih yang dimakan sekadar mengalas perut dalam sesuatu majlis antara waktu minum pagi dan tengah hari atau pada waktu minum petang atau selepas makan malam

Manakala, pemaparan istilah kopi secara umum dan maksud yang berkaitan dengan tempat atau premis penjual kopi, pakar pembuat kopi, alat, bekas, pokok, pati, hampas, perosak tanaman dan jenis kopi dapat dilihat (serta mengikut bahasa sukuan dan istilah di sesebuah negeri) seperti jadual tersebut.

Istilah Maksud
kopitiam (Cina) kedai kopi
kedai kopi kedai tempat minuman
kafe restoran, kedai kopi atau bar yang menyediakan minuman dan makanan
barista orang yang mempunyai pengetahuan dan berkemahiran dalam penyediaan kopi secara profesional
pembancuh kopi seseorang yang mahir dalam membancuh kopi dan minuman dalam kedai kopi atau kopitiam
tekoan; teko cerek (biasanya dibuat daripada tembikar) tempat mengisi air minuman seperti kopi, teh
poci sejenis bekas daripada tembikar dan lain-lain untuk memasak kopi (teh dan lain-lain), cerek, teko
changkir (Iban) cangkir, cawan
sakir (Melanau Mukah) cangkir, cawan
sangkir (Bidayuh-Bukar Sadong) cawan, bekas (bulat, kecil, biasanya bertangkai) untuk minum kopi dan lain-lain, cangkir
kahwa (Arab) sejenis tumbuhan (pokok renek), kopi, Coffea spp.
kawa II (Terengganu) pokok kopi
lati kupi (Melanau Mukah) pati kopi
bande (Kedah) hampas air kopi, tahi kopi, serdak kopi
cirit kopi (minyak) hampas atau keladak kopi (minyak, madat)
jeligur (Jawa) hampas kopi
keladak kopi hampas kopi yang mendap ke bawah
semperah hampas, keladak, tahi (kopi atau teh)
nonol sejenis binatang kecil (merosakkan kopi), Zeazara coffiae
kupi I (Melanau Mukah) kopi O
kupik (Kedayan) kopi
jalan pahit (Indonesia) kopi yang pekat dan tidak bergula
kopi luak biji kopi yang diperoleh dalam tahi musang
kopi bubuk (Indonesia) serbuk kopi, kopi yang berupa serbuk (sudah dihaluskan)
kopi kampung kopi yang bukan dari ladang (perkebunan dan sebagainya)
kopi tubruk (Indonesia) bancuhan serbuk kopi dengan air panas sahaja
kopi segera kopi yang telah diproses dan tersedia untuk dijadikan minuman dengan cepat
kopi kosong, kopi O air kopi yang tidak bersusu
kopi susu air kopi bersusu
kopi keras (pahit) air kopi yang pekat dan tidak bergula
kopi beng kopi yang tidak dibubuh susu tapi dibubuh ais
kopi espreso kopi pekat ala Itali yang disediakan dengan cara melalukan air mendidih atau wap pada biji kopi yang telah dikisar dan dihidangkan tanpa gula dan susu
kapucino sejenis minuman kopi yang berasal dari Itali, dicampuri dengan susu dan dibuat berbuih dan biasanya ditaburi serbuk coklat
moka sejenis kopi berperisa kuat yang dijadikan sebagai bahan perasa kopi dan coklat dalam campuran kopi, kek, aiskrim dan sebagainya

Selain memaparkan keunikan istilah dan bahasa sukuan yang tertentu, terdapat juga ungkapan tertentu yang dapat memperlihatkan maksud di sebalik perkataan kopi seperti maksud kiasan dan menjelaskan unsur kopi yang berkaitan seperti dalam jadual tersebut.

Istilah Maksud
dapat kopi pahit (keras, tubruk) menerima teguran keras (daripada orang atasannya)
duit kopi 1.     upah (kerana pertolongan yang diberi), 2. duit yang diberikan kepada pemilik kedai (rumah dan lain-lain) semasa menyewa kedai (rumah dan lain-lain), wang tiap, wang kunci
kafeina (Ensiklopedia) pepejal yang tidak berbau, berasa pahit sedikit. Ia ialah bahan perangsang dan didapati sedikit dalam kopi, teh dan sesetengah minuman ringan lain
ketong II berkenaan sesuatu yang terlalu keras kerana sesuatu sebab seperti terdedah di udara atau terlalu lama disimpan dalam peti sejuk (kopi)
kopi bujang hidangan air kopi sahaja (tidak disertai kuih-muih)
melaau (Melanau Mukah) rasa tidak sedap seperti rasa air kopi, teh dan lain-lain diseduh dalam air yang belum mendidih
melepang (Pahang) pahit (kopi)
memantang kopi tidak mahu meminum kopi
mendapat kopi pahit kena marah
mengopi minum kopi
nyahkafeina telah dikeluarkan atau dihapuskan seluruh atau sebahagian kandungan kafeinanya daripada kopi, teh dan sebagainya
tagih kopi ketagih
wang kopi (jerih, sirih, teh) wang yang diberi sebagai hadiah (kerana mengerjakan sesuatu)

Secawan kopi dapat meningkatkan stamina dan aliran darah dalam badan, membakar lemak dan meningkatkan prestasi fizikal. Malah, meminum kopi dapat melawan kemurungan dan menjadikan hari anda lebih gembira atas faktor gaya hidup kini yang dibebani masalah kerja dan sebagainya. Mengikut kajian ahli kesihatan menunjukkan bahawa amalan meminum kopi berupaya mengurangkan risiko penyakit seperti kencing manis tahap dua, Alzheimer dan Dementia, Parkinson dan kanser (hati dan kolon). Dalam secawan kopi mengandungi Riboflavin (vitamin B2), Pantothenic Acid (vitamin B5), Magnesium dan Niasin (B3), dan Manganese dan Pottasium. Kafein merupakan bahan yang terdapat dalam kopi boleh diklasifikasikan sebagai dadah jenis sederhana. Oleh itu, timbul ungkapan peminum tegar kopi (ketagih) atau anda yang bagaimana? Di sebalik khasiat kopi, tidak semua orang dapat meminum kopi atas faktor kesihatan dan sebagainya. Elakkan berlebihan meminum kopi bagi amalan gaya hidup sihat dan seimbang.

Sesungguhnya, terdapat banyak lagi istilah, ungkapan dan bahasa sukuan berkaitan dengan kopi dapat dipaparkan dalam usaha memperkaya kosa kata Melayu dan dapat dimanfaatkan sebaik-baiknya kepada pengguna bahasa. Sejarah dan perkembangan kopi sejak lama dahulu sehingga pada zaman era baharu ini tidak dapat dipisahkan malah melengkapkan lagi budaya dan mencorakkan gaya hidup moden sesuai dengan keperluan semasa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035814
    Visit Today : 592
    This Month : 18413
    Total Visit : 1035814
    Hits Today : 2434
    Total Hits : 4248524
    Who's Online : 7
  • Kategori