OLEH AISYAH MAHATHIR

KUNJUNGAN ke Pulau Bruit bersempena dengan Program UNESCO 2019; Melestarikan Bahasa Sukuan dan Bahasa Daerah serta Kolokium Bahasa Melanau Matu, Daro dan Pulau Bruit di Daro, Mukah pada 2 hingga 5 Oktober 2019 membolehkan peserta program menyantuni masyarakat Melanau dan menyelami budaya mereka. Hal ini seiring dengan tugas peserta yang membuat kajian lapangan untuk mendapatkan data bagi mendaftar kata ataupun entri di dalam Kamus Mato Daro – Melayu Dewan.

Kamus Mato Dari- Melayu Dewan ini merupakan hasil penyelidikan yang sedang diusahakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Suruhanjaya UNESCO Malaysia (SKUM). Bagi meneruskan tugas penyelidikan ini, para peserta menuju ke Kampung Badong, Daro, bagi melihat sendiri proses pembuatan “pipus” yang sinonim sebagai makanan tradisi masyarakat Melanau. Pipus jika dilihat luarannya hampir sama seperti otak-otak ataupun pais namun dari segi rasa mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Terdapat sebuah gerai yang sangat popular dengan penjualan “pipus” iaitu di Gerai Pipus Kak Manis.

Salah seorang pekerja di Gerai Kak Manis sedang memanggang pelbagai jenis pipus yang akan dijual.

Sesi temu bual bersama-sama Puan Manisah Saderi atau dikenali sebagai Kak Manis berkenaan pembuatan dan pembungkusan “pipus” dilakukan bagi mendapatkan maklumat tersebut. Antara kaedah penghasilan “pipus” adalah dengan menyiang ikan bagi mendapatkan isinya. Isi ikan akan dikisar sebanyak tiga atau empat kali bagi memastikan isi ikan tersebut menjadi halus dan lembut sebelum dicampurkan bersama-sama rempah ratus dan bahan istimewa beliau tersendiri. Adunan tersebut akan diletakkan di atas daun nipah dengan kuantiti yang sama, iaitu sebanyak 100gm sebelum dibalut dan dipanggang selama satu jam. Terdapat beberapa jenis ikan dan hasil laut yang digunakan bagi mempelbagaikan “pipus” yang diusahakan. Antaranya termasuklah isi ikan pirang, ikan gonjeng, ikan buntal, sotong, dan udang. Hasil temu bual tersebut, beberapa kosa kata telah diperoleh untuk pengesahan entri bagi Kamus Mato Daro – Melayu Dewan. Antaranya termasuklah memais (cara membalut “pipus” dengan daun nipah) dan galut (gaul).

Pelbagai jenis makanan tradisional yang dihidangkan di gerai Kak Manis.

Peserta program UNESCO seterusnya berangkat ke Kampung Sebako yang terletak di Pulau Bruit bagi mendaftar masuk penginapan Inap Desa Sebako atau Hajjah Maimunah. Para peserta juga dimaklumkan bahawa inap desa tersebut merupakan satu-satunya inap desa yang ada di Pulau Bruit. Bukan itu sahaja, peserta program UNESCO berasa sangat terpegun melihat keindahan persekitaran inap desa yang cantik tidak seperti berada di kawasan pendalaman. Hal ini dikatakan demikian kerana keunikan inap desa tersebut adalah gabungan daripada suasana rumah moden dan tradisional. Inap desa ini juga menyediakan ruangan khas yang luas sesuai digunakan untuk mesyuarat dan aktiviti lain.

Pada malam tersebut satu perbincangan antara peserta bersama-sama dengan Profesor Madya Dr. Haji. Mohd Sharifudin Yusop bagi membincangkan tentang pemasukan data dan pensahihan fonetik bahasa Melanau Matu, Daro dan Pulau Bruit. Hal ini bertujuan untuk menyeragamkan simbol fonetik yang berbeza di samping mengenal pasti bunyi yang tepat bagi perkataan yang dituturkan oleh masyarakat Melanau di kawasan tersebut.

Umai ikan pirang yang menjadi makanan tradisional masyarakat Melanau.

Pada 4 Oktober 2019, para peserta program UNESCO melakukan kajian lapangan di Pulau Bruit bagi sesi yang pertama, iaitu proses pembuatan umai ikan pirang bersama-sama pemilik inap desa atau dikenali sebagai Che Mat. Dikatakan bahawa umai tersebut mempunyai keunikan yang tersendiri dibandingkan dengan umai yang lain. Antara keistimewaannya adalah dengan meletakkan lobak pedik atau lobak masin untuk membuatkan umai tersebut menjadi lebih ranggup. Terdapat beberapa kosa kata baharu yang diperoleh oleh para peserta sepanjang proses pembuatan umai ikan pirang tersebut untuk mendaftar istilah. Sebagai contoh perkataan “sin” (isi ikan pirang), “buleng” (papan pemotong), “palah” (pedas), “gumei” (janggut) dan “pesit” (picit).

Bagi sesi yang kedua, peserta dapat melihat proses pembuatan obor-obor bersama dengan sambal istimewa air tangan Che Mat bagi masyarakat Melanau di Pulau Bruit. Obor-obor tersebut telah siap di potong bagi tujuan memudahkan lagi proses pembuatannya. Proses pembuatan bagi sambal tersebut juga mengambil masa yang singkat kerana masakan tersebut amat mudah dan tidak memerlukan bahan yang banyak. Antara kosa kata yang diperoleh ialah “nyaleng” (manis), “talem” (talam), “menak” (buat) dan “liyah” (halia). Setelah selesai, para peserta program UNESCO dijamu dengan umai ikan pirang dan obor-obor berserta dengan sambal asli masyarakat Melanau di Pulau Bruit. Kedua-dua masakan tersebut mempunyai rasa yang unik dan sangat menyelerakan.

Terindak Melanau yang mempunyai keunikan dan simbolik yang tersendiri.

Mengenali jenis peralatan tradisional masyarakat Melanau seperti terindak dan ibu gendang menjadi pengisian sesi ketiga kajian lapangan. Peserta program UNESCO telah menemu bual Puan Dayang Rogayah berkenaan dengan terindak Melanau. Luaran terindak buatan tangan yang cantik berwarna-warni bukan semata-mata hiasan dan kraftangan sahaja. Sebaliknya corak tersebut mempunyai simbolik yang tersendiri. Warna hitam melambangkan kekuatan jati diri orang Melanau manakala warna kuning ialah lambang diraja manakala warna merah menunjukkan keberanian.

Sebelum ini terindak juga digunakan oleh masyarakat Melanau untuk melindungi diri daripada hujan dan pancaran cahaya matahari. Oleh sebab masyarakat Melanau kebanyakannya tinggal berdekatan dengan hutan, maka terdapat banyak sumber seperti rotan dan buluh yang mudah diperoleh untuk menghasilkan terindak. Terdapat beberapa kosa kata baharu bagi pengesahan entri seperti “matalau“ (matahari), “bilem“ (hitam), dan “daun tajok“ (daun palas).

Sesi terakhir yang diikuti oleh peserta adalah dengan mengenali muzik tradisional masyarakat Melanau bersama-sama dengan Puan Jaimah Seman atau dikenali sebagai Nek Su yang mahir bermain gendang atau rebana di Kampung Sebako. Menurut beliau, masyarakat Melanau mempunyai dua jenis gendang, iaitu gendang yang besar dikenali sebagai ibu gendang dan gendang yang kecil dikenali sebagai anak gendang. Mereka menggunakan gendang tersebut untuk membuat persembahan setiap kali terdapat perayaan ataupun majlis perkahwinan yang diadakan.

Masyarakat Melanau juga menggunakan kulit kambing dan lembu bagi permukaan gendang yang tebal tersebut. Beliau juga memberitahu bahawa lagu atau pantun yang dimainkan menggunakan gendang tersebut adalah dalam bahasa Melayu. Antara kosa kata yang didapati melalui temu bual tersebut ialah “wai“ (rotan), “peset“ (kayu), “paluk“ (pukul) dan “gal“ (palu). Sebelum mengakhiri sesi terakhir tersebut, Nek Su diminta untuk membuat persembahan menggunakan gendang yang beliau miliki.

Para peserta yang mengikuti program UNESCO 2019.

Kesimpulannya, program UNESCO 2019: Melestarikan Bahasa Sukuan dan Bahasa Daerah Bahasa Melanau Matu, Daro dan Pulau Bruit telah memberi kesan yang positif kepada semua pihak seperti mewujudkan kata sepakat dalam memutuskan nama kamus yang telah dibincangkan, iaitu Kamus Mato Daro – Melayu Dewan serta memberi kesedaran dan pendedahan kepada peserta melalui pengalaman menarik dalam kajian lapangan demi memelihara bahasa yang merupakan identiti bagi seseorang. Ilmu dalam bidang linguistik seperti fonetik juga diterapkan dalam program tersebut bagi tujuan perkamusan. Program tersebut bukan sahaja telah meningkatkan keyakinan para peserta dalam berkomunikasi, malahan kemahiran dalam kerja berpasukan sekaligus membina hubungan silaturahim. Pelestarian warisan sesuatu bahasa melalui penyelidikan yang dilakukan amatlah penting untuk dipelihara demi generasi yang akan datang.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014872
    Visit Today : 901
    This Month : 34217
    Total Visit : 1014872
    Hits Today : 4207
    Total Hits : 4141009
    Who's Online : 16
  • Kategori