OLEH ATIQAH ABD RAHIM

TEATER ialah pementasan yang berdasarkan sebuah naskhah yang ditulis untuk tontonan khalayak. Terdapat pelbagai jenis teater seperti teater puisi, teater drama muzikal, teater boneka, teater drama dan teater gerak. Tenaga produksi diperlukan bagi menjayakan sebuah pementasan teater melalui kerjasama pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran dan kebolehan dalam bidang seperti pengarahan, penulisan skrip, lakonan, persembahan nyanyian dan tarian, penata artistik, kru teknikal dan pemasaran. Kerja berpasukan sangat penting bagi kelancaran pementasan yang akan diadakan.

Di peringkat institusi pengajian tinggi, pementasan teater daripada pelajar pengajian drama dan teater merupakan sebahagian daripada penilaian kursus yang diambil oleh pelajar. Melalui pementasan itu, pelajar mampu mengaplikasikan ilmu teori asas lakonan dan proses pengurusan produksi sesebuah pementasan secara profesional. Pengalaman ini berguna kepada pelajar teater untuk membina keyakinan diri dan didedahkan kepada pengalaman bekerja secara berkumpulan dalam sebuah produksi pementasan. Peluang ini turut dijadikan medan untuk pelajar mengetahui selok-belok pemasaran pementasan teater melalui hebahan tentang pementasan dan penjualan tiket kepada pelajar universiti dan orang awam.

Contoh produksi pementasan teater di institut pengajian tinggi ialah UNIMASTAGE. UNIMASTAGE merupakan produksi pementasan teater Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) karya arahan pelajar teater, pensyarah dan kolaborasi bersama-sama institut seni yang lain. Salah satu projek yang dipentaskan oleh pelajarnya ialah Projek 4×4 Teater: Projek Tahun Akhir 2019. Projek tersebut mementaskan empat buah teater hasil gabungan pelajar tahun satu, dua dan tiga Program Drama dan Teater, Fakulti Seni Gunaan dan Kreatif (FSGK) di Panggung Eksperimen, UNIMAS. Pementasan itu diadakan selama enam hari dari 28 November hingga 30 November 2019 dan dari 5 Disember hingga 7 Disember 2019.

Salah satu babak dalam teater “Puteri Gunung Ledang”.

Projek itu menampilkan hasil kerja pengarah dan pelakon muda yang baru berjinak-jinak dalam industri teater. Projek tersebut menampilkan pementasan teater Puteri Gunung Ledang arahan Azzubair bin Zulkifley dan teater Jebat arahan Mohd Danial bin Dahiri yang masing-masing dipentaskan dari 28 November hingga 30 November 2019. Teater Buli arahan Emalisa Telun Domian dan teater Benda Sulit arahan Sim Hui Jia pula dipentaskan dari 5 Disember hingga 7 Disember 2019. Pementasan tersebut merupakan sebahagian daripada penilaian bagi kursus yang diambil oleh pelajar iaitu GKD1013 Asas Lakonan, GKD2114 Produksi Teater II, dan GKD3313 Projek Tahun Akhir 1.

Antara babak yang terdapat dalam teater “Jebat”.

Keseluruhannya, pementasan teater di institusi pengajian tinggi memberikan pengalaman berharga kepada pelajar teater. Penghasilan naskhah yang baharu dan segar daripada pengarah dan pelakon muda tentunya dapat memberikan nilai tambah kepada industri teater negara kita. Oleh itu, usaha yang berterusan dalam mengangkat pementasan teater perlulah ditingkatkan di peringkat institusi pengajian tinggi dan di sekolah supaya cabang seni ini tidak ditelan arus oleh kerancakan industri seni yang lain yang semakin mendapat tempat dalam kalangan anak muda.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    127833
    Melawat Hari Ini : 61
    Jumlah Pelawat : 127833
    Hits Hari Ini : 104
    Jumlah Hits : 229440
    Siapa atas talian : 3
  • Kategori