Judul: Matahari Bintang Istimewa
Penulis: Mahamarowi Omar
Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka
Harga: RM60
Pengulas: HAFIZUL ADNEN

PROF. Madya Dr. Mahamarowi Omar sudah tidak asing lagi dalam dunia astro fotografi di Malaysia. Beliau yang sudah lama terlibat dalam aktiviti cerapan langit kini telah menghasilkan dua buah buku berkenaan astronomi termasuklah Matahari Bintang Istimewa (buku pertama Astronomi dan Astrofotografi) yang diterbitkan pada tahun 2015. Penulisan ini dapat dianggap sebagai “sequel” kepada buku pertama kerana memberi tumpuan khusus kepada matahari dan instrumen yang dicipta khas untuk memerhatinya.

Seperti yang dijelaskan oleh penulis, matlamat penulisan adalah untuk memberikan kefahaman tentang matahari yang seharusnya menjadi tumpuan utama dalam hal-hal penyelidikan. Hal ini kerana, cerapan matahari menjadi lebih mudah dengan adanya alatan yang selamat dan mampu dibeli oleh orang awam. Buku setebal 88 halaman dan bersaiz 10 x 10 cm (sesuai untuk gambar yang besar dan berkualiti) ini bermula dengan menerangkan tentang kedudukan matahari sebagai sebuah bintang dalam alam semesta. Dengan lahirnya matahari maka terbentuknya sistem solar dan seterusnya Galaksi Bimasakti.

Matahari sudah menjadi objek tumpuan manusia sejak bermulanya tamadun lagi. Tamadun-tamadun kuno seperti Sumerian dan Mesir menjadikan matahari sebagai objek sembahan mereka. Menjelang keagungan tamadun Islam, bidang astronomi dirancakkan lagi dengan lahirnya ilmuwan atau sarjana Islam. Pencerapan langit menjadi aktiviti harian mereka bagi mendapatkan pengukuran yang jitu, terutama terhadap peredaran bulan, bintang dan matahari supaya waktu ibadat dan hari kebesaran dapat ditentukan dengan tepat.

Hasilnya, memangkin kepada kemunculan era astronomi moden yang menyaksikan konsep heliosentrik (matahari sebagai pusat) diketengahkan oleh Copernicus melalui karyanya pada tahun 1533. Pada tahun 1608, teleskop pertama kali dicipta dan dimanfaatkan oleh Galileo untuk memerhatikan langit. Antara tokoh-tokoh terkenal yang mencipta nama kemudian ialah Johan Kepler dan Sir Issac Newton.

Pembaca kemudian dibawa meneroka ke dalam struktur matahari dalam bab ketiga. Punca yang menyebabkan kecerahan bintang-bintang dan matahari ialah proses percantuman nukleus atom (pelakuran) dalam teras matahari yang seterusnya membebaskan tenaga dalam bentuk haba dan cahaya. Matahari yang merupakan bebola plasma (gas-gas panas yang terion) mempunyai enam lapisan, iaitu teras, radiasi, konveksi, fotosfera, kromosfera dan korona. Lapisan korona dapat dilihat ketika berlakunya gerhana matahari yang kelihatan seperti cahaya putih jernih.

Kitaran dan aktiviti matahari yang sentiasa aktif sepanjang masa sangat penting untuk kita fahami kerana banyak mempengaruhi dan memberikan kesan kepada bumi. Antaranya ialah fenomena suar (solar flare), semarak (prominance), tompok matahari (sun spot) dan ejeksi jisim korona (coronal mass ejection). Ketika tahap maksimum aktiviti matahari atau suria maksimum (yang berlaku dalam purata setiap 11 tahun), fenomena tompok matahari, suar dan ejeksi jisim korona bertambah dengan ketara sekali. Oleh itu, ahli sains dan astronomi sentiasa memantau perubahan ini secara berterusan agar dapat menjangkakan kesan yang diterima oleh bumi yang mampu menjejaskan kehidupan harian manusia.

Apa yang menariknya dengan pencerapan matahari ialah kita tidak memerlukan peralatan mahal seperti untuk cerapan bintang dan langit dalam (deep sky). Oleh sebab itu, hal ini menjadikan aktiviti matahari dapat dilihat dengan mudah oleh sesiapa sahaja melalui kaedah-kaedah tertentu tanpa membahayakan mata seperti yang diterangkan dalam bab keempat. Jenis peralatan dan kaedah yang digunakan bergantung pada mana-mana struktur matahari yang ingin kita lihat.

Antara kaedah yang paling ringkas atau mudah sekali untuk memerhatikan cahaya putih matahari ialah kaedah projeksi suria dengan hanya menggunakan teleskop jenis pembias berdiameter 100 mm (4 inci) dan kertas putih bagi menghasilkan imej matahari. Seterusnya ialah kaedah penapis objek suria yang biasanya digunakan oleh peminat astronomi untuk menapis cahaya putih matahari. Tujuan utamanya adalah untuk melihat tompok matahari, fakula, granulasi, fenomena kegelapan pada birai matahari dan juga semasa melihat gerhana. Kaedah Baji Herschel pula mengunakan sekeping prisma yang diperbuat daripada kaca yang sangat istimewa. Ia amat sesuai digunakan untuk melihat tompok matahari, fakula dan grunulasi pada permukaan matahari. Kelebihan teknik ini berbanding dengan yang lain ialah teknik ini mampu menghasilkan imej cahaya putih matahari yang lebih kontras dan terang.

Walaupun ketiga-ketiga kaedah dapat diaplikasikan untuk melihat fenomena matahari, namun untuk melihat spektrum cahaya merah pada lapisan kromosfera memerlukan penuras istimewa, iaitu penuras alfa hidrogen. Penuras ini hanya membenarkan spektrum cahaya merah sahaja melaluinya dan menapis spektrum warna yang lain sepenuhnya. Oleh sebab itu, kita dapat melihat dengan lebih terperinci lapisan kromosfera, spikul, semarak, suar dan filamen berbanding dengan penuras cahaya putih.

Kesan hentaman partikel bercas daripada cahaya matahari dijelaskan dalam bab seterusnya. Kewujudan medan magnet bumi telah bertindak sebagai pelindung semula jadi dengan memesongkan partikel bercas yang berbahaya ini daripada menerjah terus ke bumi. Jika sebaliknya berlaku, manusia akan menyerap radiasi yang tinggi hingga dapat merosakkan struktur DNA. Pemesongan partikel akan menyebabkan cas-cas ini menuju ke kutub magnet bumi. Pelanggaran caj-caj dengan atmosfera bumi akan membentuk kilauan cahaya di langit yang indah pada waktu malam, iaitu aurora yang biasa terjadi di kutub utara dan selatan.

Selain fenomena aurora yang menakjubkan, gerhana matahari juga sudah lama menarik perhatian manusia sejak tamadun awal lagi. Kejadian gerhana matahari atau apa yang berlaku semasa ia terjadi merupakan inti pati utama dalam bab keenam. Gerhana matahari yang disifatkan lebih indah daripada gerhana bulan ini menjadi tumpuan utama masyarakat dunia sehingga sanggup melaburkan wang dan masa bagi mengejar fenomena ini yang hanya dapat dilihat dari kawasan dan pada waktu tertentu sahaja. Lingkaran cahaya korona dari matahari (terlindung dengan bulan) yang terpancar keluar beratus juta kilometer hanya dapat dilihat dengan jelas pada saat ini sahaja.

Kewujudan dan kematian matahari menjadi bab penutup perbincangan berkenaan matahari. Ringkasnya, ia menerangkan proses kelahiran bintang atau matahari dan menjawab tentang persoalan bagaimana kematian bintang berlaku. Sudah tentu proses alami ini bakal berlaku kepada matahari kita apabila kehabisan bahan bakar pada penghujung usianya untuk berbilion tahun akan datang.

Penulis tidak ketinggalan untuk berkongsi pengalaman memerhati matahari di balai cerap miliknya sendiri di Kota Bharu, Kelantan. Dapat dikatakan ia merupakan satu bab bonus yang dimuatkan dalam buku ini. Telekskop-teleskop berkuasa tinggi dengan sistem komputer menjadi aset utama yang dipasang dalam balai cerap yang berusia hampir 20 tahun. Paling menarik imej-imej matahari dalam buku ini diambil hasil daripada cerapan dari balai ini. Fasiliti ini juga memberikan manfaat besar kepada masyarakat tempatan khususnya pelajar-pelajar sekolah, universiti dan pegawai-pegawai kerajaan untuk mempelajari dan terlibat dalam aktiviti astronomi.

Keseluruhannya, buku ini sangat digalakkan untuk dimiliki oleh orang awam khususnya peminat astronomi bagi menambah kepekaan mereka terhadap pengaruh matahari dalam kehidupan harian. Tambahan pula, dengan gambar-gambar matahari yang besar dan jelas dapat memberikan kita pengalaman yang berbeza walaupun tidak memiliki teleskop sendiri untuk memerhati matahari. Apatah lagi mereka yang belum pernah melihat struktur matahari yang permukaannya sentiasa bergelora.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014901
    Visit Today : 930
    This Month : 34246
    Total Visit : 1014901
    Hits Today : 4769
    Total Hits : 4141571
    Who's Online : 16
  • Kategori