Oleh NORIYANI YUSOFF

PENINGKATAN kesedaran masyarakat terhadap hak untuk mendapatkan perkhidmatan yang terbaik daripada kerajaan sering dilihat sebagai faktor utama mengapa sesebuah kerajaan itu perlu meningkatkan kualiti dalam perkhidmatan yang ditawarkan. Selain itu, faktor lain ialah faktor globalisasi yang membuka ruang persaingan sengit antara negara dan organisasi khasnya dalam pembangunan ekonomi serta faktor politik demokrasi. Kuasa menentukan kerajaan berada di tangan rakyat selaku pengundi yang akan menilai kecekapan, ketelusan dan pelbagai bentuk nilai dalam urus tadbir kerajaan. Kesemua faktor ini merupakan fakta yang tidak boleh disangkal. Namun, bagi pelaksana segala perkhidmatan dan dasar kerajaan persoalan bagaimana untuk mewujudkan perkhidmatan berkualiti dan mesra pelanggan bahkan yang bertaraf dunia itulah yang utama.

Oleh sebab itu, aspek nilai dan etika menjadi inti pati utama dalam segala usaha yang dirancang ke arah pencapaian matlamat tersebut. Persoalan mengapa nilai dan etika ini penting dalam perkhidmatan telah dikupas dalam dua bab pertama buku Etika Penjawat Awam dari Perspektif Islam yang ditulis oleh Prof. Madya Dr. Sharifah Hayaati Ismail al-Qudsy ini. Selain itu, beberapa konsep nilai dan etika meliputi Budaya Kerja Cemerlang, Kumpulan Meningkat Mutu Kerja, Perancangan Strategik, Integriti, Kepuasan Kerja dan Penyelesaian Konflik dalam organisasi juga dibincangkan. Penulisan ini bukan sekadar menghuraikan persoalan “mengapa” nilai dalam perkhidmatan yang dibicarakan, tetapi membuka kefahaman dengan melontarkan perbahasan preliminari tentang apa sebenarnya nilai dan etika dari perspektif moden dan Islam. Huraian ini ialah asas kepada sesuatu kefahaman yang akan membentuk keperibadian dan prinsip kerja serta mampu mengubah pemikiran seseorang penjawat awam. Apatah lagi apabila melihat persoalan “apa” itu dari sudut keperluan pembangunan insan ke arah pengukuhan keimanan dan ketakwaan.

Persoalan amanah dan integriti Islam mampu memberikan kesan kepada dorongan kerja dan persiapan atau benteng daripada terjebak dalam kancah pecah amanah dan salah laku dalam pentadiran serta yang lebih membimbangkan dosa dan hilang keberkatan daripada sumber rezeki dan titik peluh sendiri.

Perlu disedari bahawa pelaksanaan nilai dan etika dalam perkhidmatan awam bukan suatu destinasi tetapi proses penambahbaikan berterusan. Ia juga bukanlah suatu sasaran yang boleh dicapai dengan sekelip mata. Dengan itu, suatu sistem etika perlu diwujudkan dalam organisasi dalam pelbagai bentuk. Ia merangkumi aspek nilai utama yang menjadi prinsip kerja, sasaran atau misi dan visi sesebuah organisasi serta mekanisme untuk mengukur tahap pencapaian sesuatu nilai. Dalam pendekatan semasa di Malaysia, Petunjuk Prestasi Utama (KPI) dan sasaran kerja tahunan adalah antara mekanisme yang telah diperkenalkan.

Kepuasan di tempat kerja juga penentu kepada kecekapan seseorang penjawat awam yang sering kali dikesampingkan dalam urusan seharian. Kerana terlalu menumpukan kepada output, hal-hal yang menjadi input pengurusan awam yang bersifat kualitatif seperti perasaan seronok dan bangga menjadi sebahagian daripada ahli organisasi kurang dipupuk dan dibajai oleh pengurusan atasan. Dalam Islam, walaupun pekerja tidak menuntut haknya, majikan hendaklah menyedari hak pekerja dan tanggungjawabnya sebagai majikan. Sekiranya penunaian hak ini gagal dilaksanakan, majikan akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Selain itu, majikan merupakan orang yang bertanggungjawab dan memikul amanah untuk memastikan pekerja bawahannya mendapat kepuasan dalam kerja. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Ketahuilah bahawa semua kamu bertanggungjawab dan kamu mestilah melaksanakan tanggungjawab terhadap orang di bawah jagaan kamu.”

Oleh itu, pengiktirafan, penghargaan dan hubungan silaturahim ialah aspek yang sangat dituntut dalam pengurusan Islam. Dengan sebab itulah, “soft infrastucture” yang berkaitan sikap, cara pemikiran dan peribadi positif perlu diberi keutamaan. Dalam masa yang sama, pecah amanah dan penyelewengan perlu ditangani dengan tegas dan pantas.

Perancangan ke arah perkhidmatan berkualiti juga antara faktor penentu kejayaan pelaksanaan nilai dan etika sesebuah organisasi. Dengan tumpuan Islam kepada kaedah syura, jamaah, muwafaqah dan integriti Islam, dapat membantu merealisasikan perancangan secara strategik. Perkara ini adalah sebahagian daripada “quality control circle” yang juga diperkenalkan. Merancang juga perlu mengambil kira aspek mengurus konflik dalam organisasi. Kejayaan sesebuah organisasi bukan bererti bebas daripada sebarang konflik dalaman dan luaran. Oleh itu, buku ini juga tidak ketinggalan memberikan huraian berkenaan pandangan Islam terhadap konflik dan bagaimana mengurusnya.

Keseluruhan pelaksanaan dalam sesuatu perkhidmatan ditunjangi oleh nilai yang ada dalam diri seseorang individu penjawat awam. Semakin tinggi nilai keperibadian yang dipupuk, semakin berjayalah organisasi tersebut. Aspek nilai dan etika secara holistik dan berterusan sebagaimana pendekatan baginda Rasulullah SAW dalam mengurus tadbir Negara Madinah perlu diteladani. Nilai dan etika yang menjadi prinsip perkhidmatan sekali gus mampu dibudayakan dalam sesebuah masyarakat dan negara.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044315
    Visit Today : 736
    This Month : 26914
    Total Visit : 1044315
    Hits Today : 2372
    Total Hits : 4287345
    Who's Online : 7
  • Kategori