Oleh ZULFIQAR MOHD YUSOF

MUKIM DUYONG berada dalam pentadbiran daerah Melaka Tengah. Mukim ini juga berjiran dengan mukim Ayer Molek. Mukim Duyong terkenal dengan pelbagai lokasi tarikan pelancongan antaranya ialah Perkampungan Hang Tuah, Perigi Hang Tuah, Muzium Hang Tuah dan Masjid Jamek Laksamana Hang Tuah. Semua lokasi tarikan pelancong amat berkait rapat dengan Hang Tuah memandangkan Kampung Duyong merupakan tempat kelahiran laksamana kesultanan Melayu Melaka tersebut.

Mukim Duyong, Melaka.

Namun, amatlah sedih rasanya apabila kawasan yang menjadi tarikan para pelancong ini dihias dengan papan tanda dan nama premis perniagaan yang masih tidak menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Ketika penulis meninjau di sekitar mukim Duyong, masih terdapat beberapa buah premis perniagaan diberikan nama yang menyalahi peraturan atau hukum D-M. D-M bermaksud diterangkan (D) dan menerangkan (M). Dalam peraturan ini, unsur yang diterangkan merupakan unsur inti yang hadir pada kedudukan pertama dan unsur menerangkan ialah unsur penerang yang hadir pada kedudukan yang kedua. Sebagai contoh, guru (diterangkan) bahasa (menerangkan). Penggunaan susunan unsur-unsur frasa nama yang bertentangan dengan hukum D-M adalah salah dan tidak dapat diterima seperti contoh yang berikut; Aminah (menerangkan) Restoran (diterangkan) dan Koh Klinik. Perkataan terbabit dianggap menyalahi peraturan D-M kerana intinya terletak di bahagian belakang.

Kesalahan peraturan D-M dapat dikesan pada nama premis perniagaan seperti Ling Kedai Gunting Rambut yang jelas telah menyalahi peraturan D-M kerana Ling (M) berperanan sebagai unsur yang menerangkan Kedai Gunting Rambut (D). Unsur menerangkan perlu hadir selepas unsur diterangkan. Oleh sebab itu, nama premis perniagaan terbabit sepatutnya Kedai Gunting Rambut Ling yang membawa maksud kedai gunting rambut yang dimiliki oleh Ling. Begitu juga nama premis Ayer Molek Poliklinik dan Surgeri yang juga secara jelasnya telah menyalahi peraturan D-M. Sepatutnya nama premis terbabit ialah Poliklinik dan Surgeri Ayer Molek. Hal ini kerana Poliklinik dan Surgeri berfungsi sebagai unsur diterangkan, manakala Ayer Molek sebagai unsur menerangkan. Penggunaan nama Ayer Molek Poliklinik dan Surgeri ternyata dipengaruhi oleh bahasa Inggeris dan diterjemahkan secara langsung ke dalam bahasa Melayu. Nama premis terbabit jika dalam bahasa Inggeris ialah Ayer Molek Polyclinic and Surgery. Jika diterjemah secara langsung akan menjadi Ayer Molek Poliklinik dan Surgeri.

Terdapat juga kesalahan ejaan pada papan nama premis perniagaan sekitar Duyong seperti perkataan perabut sepatutnya dieja perabot walaupun ketika menyebut perkataan perabut akan berbunyi perabot. Walau bagaimanapun, masih terdapat juga premis-premis perniagaan yang menggunakan peraturan D-M dengan betul contohnya ialah penggunaan nama Klinik Muhibah yang jelas menepati hukum D-M kerana Klinik berperanan sebagai unsur yang diterangkan, manakala Muhibah sebagai unsur menerangkan. Oleh hal yang demikian, perkataan Muhibah sebagai unsur menerangkan akan hadir pada kedudukan kedua.

Selain itu sedikit teguran terhadap penggunaan bahasa Inggeris pada nama tempat seperti penggunaan nama Hang Tuah Centre. Pemilihan nama Hang Tuah Centre adalah merujuk kepada keseluruhan kawasan tarikan pelancong di kawasan terbabit dalam bahasa Inggeris adalah amat tidak sesuai kerana kita seharusnya mendahulukan bahasa Melayu selaku bahasa kebangsaan.

Papan tanda Hang Tuah Centre.

Bahasa Inggeris boleh diletakkan, namun bertindak sebagai bahasa kedua yang berfungi untuk menterjemahkan perkataan bahasa Melayu kepada bahasa Inggeris supaya para pelancong asing dari luar negara boleh membaca dan memahaminya. Hal ini bermakna papan tanda atau nama tempat yang menjadi tarikan pelancong adalah dalam dwibahasa, iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris.

Oleh sebab itu, perkataan Centre sewajarnya ditukarkan kepada Pusat. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pusat membawa maksud punca atau tumpuan berbagai-bagai kegiatan, tempat yang menjadi punca segala aktiviti, tempat terdapatnya atau berlakunya pelbagai kegiatan dan sebagainya yang utama dan tertentu. Oleh sebab itu, nama tempat yang paling sesuai selaras dengan usaha memartabatkan bahasa Melayu ialah Pusat Hang Tuah. Penggunaan perkataan Pusat bagi menggantikan Centre dalam bahasa Inggeris amat sesuai memandangkan Hang Tuah Centre menjadi tumpuan pelbagai kegiatan pelancongan kerana terdapatnya Muzium Hang Tuah, Rumah Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekiu dan Hang Lekir, Perigi Hang Tuah, rumah-rumah Melayu tradisional, Balai Adat, Pusat Tenun Melaka serta premis perniagaan. Sebagai kesimpulannya, martabatkanlah bahasa Melayu kerana jikalau bukan rakyat Malaysia yang perlu berbangga dan memartabatkan bahasa kebangsaan kita, maka siapakah lagi yang mahu berbuat demikian?

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036334
    Visit Today : 1112
    This Month : 18933
    Total Visit : 1036334
    Hits Today : 4166
    Total Hits : 4250256
    Who's Online : 8
  • Kategori