Oleh ALIAH ABDUL RAHIM

MENGAPAKAH sesebuah organisasi itu harus berubah? Adakah sesebuah organisasi itu perlu berubah sedangkan tiada masalah yang dihadapi oleh mereka? Dikatakan kita berubah bukan hanya ketika ada masalah, tetapi kita harus sentiasa mengadaptasi dengan perubahan di sekeliling agar kita terus mantap.

Buku Mengurus Perubahan dalam Organisasi karya Ab. Aziz Yusof merungkai topik ini daripada pelbagai aspek, termasuk bagaimana menangani perubahan, kepimpinan dalam pengurusan perubahan dan kesaksamaan dalam perubahan yang merupakan satu tuntutan.

Dalam mengurus perubahan sesebuah organisasi, pemimpin haruslah bertindak sebagai pemikir, pelaksana dan penilai kepada perubahan itu serta bersedia mengambil kira faktor-faktor seperti jangkaan keperluan dan tuntutan daripada subordinat atau orang bawahannya dan bukan merancang dari aspek strategik, teknikal dan pulangan material semata-mata.

Dimensi semula jadi manusia, iaitu dimensi fizikal, rohani, mental dan sosioemosi perlu berada dalam keseimbangan dan terus dibangunkan pada setiap masa. Organisasi perlu memastikan sumber tenaga manusia yang berada dalam organisasi tidak mengalami kepincangan akibat daripada pembangunan yang tidak seimbang kesan daripada perubahan yang dilakukan.

Kepimpinan organisasi merupakan faktor utama dalam mengurus perubahan dan turut diberikan keprihatinan yang tinggi kerana ada antara perubahan yang mereka lakukan sering menemui kegagalan. Dalam banyak keadaan perubahan yang diperkenalkan bukan setakat tidak berjaya mencapai matlamat seperti yang diharapkan tetapi terus berhadapan dengan permasalahan baru sedangkan permasalahan lama tidak berjaya dibendung. Keadaan ini berlaku dikatakan kerana pemimpin mengambil tindakan tanpa mengambil kira jangkaan, keperluan dan tuntutan yang berkaitan dan menerima kesan langsung perubahan yang dilakukan.

Pemimpin perlu ingat bahawa mereka tidak boleh secara bersendirian melakukan perubahan sungguhpun mereka berperanan menentukan visi dan misi di sebalik perubahan. Sebaliknya  subordinat yang berada di barisan hadapan lebih mengetahui keperluan bagi perubahan dan bagaimana hendak berhadapan dengannya. Perubahan berkait rapat dengan mengurus perasaan dalam subordinat itu sendiri.

Dalam buku ini penulis memberikan tumpuan kepada tiga daripada empat dimensi kemanusiaan dalam pengurusan perubahan, iaitu aspek mental, emosi dan rohani. Manakala bentuk-bentuk perubahan terbahagi kepada dua bentuk, iaitu perubahan terancang dan tidak terancang.

Perubahan terancang – antaranya bermaksud perubahan yang drastik, pesat dan melibatkan keseluruhan jentera organisasi. Perubahan ini juga merupakan perubahan yang dilaksanakan secara besar-besaran sama ada satu reformasi, proaktif dan transformasional. Perubahan ini dilakukan bertujuan untuk mengganti, memusnah dan merubah keseluruhan jentera dan prasarana organisasi dan dilaksanakan bagi memastikan kelangsungan organisasi.

Perubahan tidak terancang – antaranya bermaksud perubahan yang dilakukan bagi memenuhi tuntutan masa dan situasi sebagai  reaksi kepada tekanan persekitaran. Perubahan ini tidak dianggap sebagai ancaman kepada kelangsungan organisasi, malah akan lebih memantapkan lagi organisasi dan perubahan ini juga dikenali sebagai perubahan membangun yang melibatkan skop yang terhad dan boleh kembali kepada situasi asal jika perubahan yang dilakukan tidak berjaya sebagaimana dirancang. Hal ini adalah kerana perubahan dilakukan dalam kawalan pemimpin.

Buku ini membincangkan empat desakan utama kepada perubahan dalam organisasi yang saling mempengaruhi, saling bergantung dan saling memberi kesan kepada matlamat organisasi yang perlu diberi pertimbangan dan keprihatinan yang tinggi oleh pelanggan. Keempat-empat desakan itu ialah sumber tenaga kerja, struktur, teknologi dan persekitaran.

Pemimpin perlu bersedia untuk menghadapi ketidakpastian bagi menjayakan perubahan, antaranya dengan cara membangkitkan kepercayaan dan keyakinan yang tinggi dalam kalangan subordinat terhadap perubahan yang dilaksanakan. Pemimpin yang berkesan harus menjadi model sebenar sebagai agen perubahan dengan membuktikan perubahan dapat dilakukan. Oleh itu pada hari ini, organisasi harus membuat pilihan sama ada bersedia untuk melakukan perubahan secara teratur dan menghadapi pelbagai kemungkinan atau menolak perubahan dengan menunggu saat “kematian” organisasi di bawah kepimpinan mereka.

  1. Laura Raphaella says:

    Bagus sangat.

  2. mahvidayanti says:

    Pengisian tentang kupasan isu pengurusan perubahan, menarik dan lontaran idea yang bernas.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044968
    Visit Today : 1389
    This Month : 27567
    Total Visit : 1044968
    Hits Today : 5199
    Total Hits : 4290172
    Who's Online : 6
  • Kategori