Judul: Pahlawan Adnan

Penulis: Zailiani Taslim

Penerbit: Dewan Bahasa dan Pustaka

Harga: RM18

Pengulas: Muhammad Muqris Alif bin Zairiasdi

Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, pahlawan diertikan sebagai seorang yang gagah dan berani dalam memperjuangkan nasib negaranya daripada dijadikan mangsa dalam sesuatu peperangan. Kamus Dewan Edisi Keempat telah menyenaraikan sinonim kepada perkataan pahlawan, iaitu perwira, kesateria, wirawan serta pendekar. Kebiasaannya, konsep pahlawan digunakan kepada seseorang yang berjasa dalam membela nasib sesebuah negara daripada terus ditindas. Lazimnya, penggunaan ayat pahlawan dikurniakan kepada anggota-anggota perkhidmatan awam seperti polis, bomba mahupun askar. Maka, tidak hairanlah jikalau kesemua rakyat Malaysia serta Singapura bersetuju dan mengesahkan bahawa Leftenan Adnan merupakan pahlawan negara yang banyak berjasa kepada kemerdekaan negara.

Menerusi penulisan yang digarap oleh pengarang dalam novelnya, pengarang telah membahagikan setiap kisah Leftenan Adnan kepada 14 bahagian. Setiap bahagian dikembangkan dengan kisah-kisah yang menunjukkan ciri-ciri kepahlawanan Leftenan Adnan sedari usia beliau setahun. Bagi penulis, karya yang mempunyai sebanyak dua ratus dua puluh satu (221) halaman bercetak ini merupakan satu garapan yang mudah untuk difahami kerana ditulis dalam bentuk novel berbanding dengan biografi. Idea untuk dinovelkan kisah Leftenan Adnan patut diberikan satu pujian kerana tidak semua masyarakat ataupun anak muda gemar untuk membaca biografi seseorang kerana mereka lebih cenderung untuk membaca sesebuah hasil penulisan dalam bentuk penceritaan seperti yang telah dilakukan oleh pengarang dalam novel ini.

Novel ini telah dimulakan dengan bab 1 yang bertajuk Detik Kelahiran yang telah berjaya digambarkan oleh penulis tentang suasana yang berlaku pada tahun 1915. Pada tahun ini, merupakan tahun kelahiran pahlawan negara ini ke dunia. Rencah-rencah orang kampung juga berjaya ditonjolkan oleh pengarang yang dengan telitinya menjelaskan bagaimana kehidupan bermasyarakat pada suatu ketika dahulu apabila seorang bayi yang dilahirkan dan disambut oleh seorang bidan. Hal ini sukar untuk dilihat pada zaman sekarang kerana masing-masing sudah sibuk dengan hal-hal mereka yang tersendiri. Walaupun penulis tidak mempunyai pengalaman kerana berbeza zaman, tetapi menerusi pembacaan daripada bab 1 sahaja, penulis telah disuntik satu perasaan untuk menjadi sebahagian daripada orang kampung Sungai Ramal, Kajang pada tahun 1915.

Serba sedikit mengenai Leftenan Adnan yang telah diceritakan oleh pengarang, penulis dapat meringkaskan bahawa Leftenan Adnan atau nama sebenarnya Adnan bin Saidi merupakan seorang anggota tentera dan askar Tanah Melayu daripada Briged Infantri 1 yang bertempur dengan tentera Jepun dalam pertempuran di Singapura. Beliau merupakan anak sulung dalam keluarganya. Adik-beradik beliau yang lain juga merupakan seorang anggota tentera. Adnan telah menerima pendidikan di Pekan Sungai Ramal dalam aliran Inggeris dan telah dilabelkan sebagai seorang pelajar yang rajin serta berjaya menamatkan pengajiannya dengan cemerlang. Selepas tamat pengajian, beliau dipilih sebagai guru pelatih dan mengajar selama lebih satu tahun sebelum beliau mengambil keputusan untuk memasuki tentera.

Pada usia 18 tahun, beliau telah berjaya memasuki Rejimen Askar Melayu dan setahun selepas itu, beliau terpilih sebagai rekrut terbaik. Pada tahun 1936, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Sarjan. Pada tahun 1937, beliau terpilih untuk mewakili platunnya dalam perbarisan memberi hormat di London bagi menyambut pertabalan Raja George VI. Tidak lama selepas itu, beliau telah dinaikkan pangkat kepada Kompeni-Sarjan-Mejar sebelum menjadi Leftenan Adnan.

Menerusi garapan oleh pengarang, pengarang telah menceritakan juga perihal kehidupan peribadi Leftenan Adnan yang telah berkahwin dengan seorang guru di kampungnya, iaitu Puan Sophia Pakik Muda dan telah dikurniakan tiga orang cahaya mata, dua lelaki dan seorang perempuan. Pada akhir tahun 1941, beliau dan keluarga telah menetap di Pasir Panjang sebelum beliau menghantar kembali isteri dan anak-anaknya ke kampung apabila Perang Dunia Kedua semakin tiba.

Pengarang juga telah berjaya menghadirkan satu emosi sedih di saat kematian Leftenan Adnan apabila diceritakan dengan begitu jelas sekali detik-detik terakhir seorang pahlawan yang berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam mempertahankan tanah air tercinta. Pengarang telah menulis pada saat Leftenan Adnan sudah mengalami kecederaan yang parah, beliau masih enggan berundur dan sebaliknya menyuruh agar orang-orangnya berjuang sehingga ke titisan darah yang terakhir. Keberaniannya telah menyuntik semangat patriotisme dalam kalangan pejuang-pejuang yang lain untuk tidak berputus asa dalam memperjuangkan kedaulatan negara yang tercinta.

Bagi penulis, buku yang diterbitkan pada tahun 2015 ini adalah antara salah satu buku yang wajib dimiliki oleh semua orang kerana novel ini bukanlah satu novel yang biasa ditemui di mana-mana kedai buku, tetapi novel ini ialah satu garapan yang cukup mahal dalam menjelaskan fakta-fakta sejarah serta jasa-jasa pejuang negara kita, iaitu Leftenan Adnan dan tentera-tentera yang lain yang cukup mudah untuk difahami dan diingati sepanjang zaman. Nilai-nilai murni terhadap keperibadian seorang pahlawan, iaitu Leftenan Adnan juga sukar disangkal apabila setiap bab yang ditulis dalam penulisan ini berjaya menjelas betapa murninya sikap Leftenan Adnan sejak dari kecil lagi.

Semangat patrotisme yang diterapkan dalam novel ini juga berjaya disuntik ke dalam diri penulis supaya bersyukur dan selalu mempertahankan tanah air ini supaya tidak lagi dijajah oleh musuh-musuh supaya keamanan negara sentiasa dijamin. Kesimpulannya, jasa-jasa pejuang negara hendaklah diingati kerana tanpa mereka, kita bukanlah sesiapa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014683
    Visit Today : 712
    This Month : 34028
    Total Visit : 1014683
    Hits Today : 2736
    Total Hits : 4139538
    Who's Online : 9
  • Kategori