Oleh ZULFIQAR MOHD YUSOF

BAHASA rojak dapat didefinisikan sebagai satu bentuk bahasa yang digunakan oleh masyarakat dengan mencampuradukkan bahasa Melayu dengan bahasa lain seperti bahasa Inggeris, Tamil, Mandarin, Arab dan sebagainya. Penggunaan bahasa rojak dalam bidang-bidang tertentu seperti pengiklanan dan penyiaran bukanlah suatu perkara yang baharu di negara ini. Bahasa rojak juga digunakan secara meluas dalam pertuturan seharian terutama ketika penutur yang fasih berbahasa Melayu berinteraksi dengan penutur yang kurang fasih berbahasa Melayu. Mereka akan menukar gaya pertuturan mengikut tahap kefasihan seseorang penutur itu. Kadangkala, mereka lebih selesa menggunakan bahasa rojak kerana sudah terbiasa menggunakan lebih daripada satu bahasa dalam pertuturan. Kebiasaannya kita selalu mendengar ayat dalam bahasa rojak seperti; “you know last night I baru je beli one pair of shoe, cantikkan?” Ayat rojak seperti itu turut didengari dalam drama-drama televisyen dan filem-filem Melayu. Walau bagaimanapun, bagi kes pertuturan seharian yang membabitkan interaksi antara rakan-rakan, ahli keluarga, jiran tetangga atau sesiapa sahaja yang tiada kaitan dengan urusan rasmi, penggunaan bahasa rojak bolehlah dimaafkan.

Namun, jika membabitkan pengiklanan, penyiaran dan peringatan, wajiblah kita menggunakan bahasa Melayu baku selaras dengan semangat Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32). Amat menjengkelkan apabila sebuah papan tanda peringatan yang menggunakan bahasa rojak berdiri megah di hadapan sebuah masjid.

Gambar 1: Papan tanda peringatan solat yang menggunakan bahasa rojak berada di hadapan sebuah masjid.

Papan tanda seperti dalam Gambar 1 terbabit bertujuan untuk mengingatkan masyarakat supaya jangan meninggalkan solat lima waktu seperti yang telah ditetapkan oleh Allah SWT. Kehadiran papan tanda peringatan seperti itu amat baik untuk tatapan masyarakat umum kerana ada mesej yang ingin disampaikan. Berkemungkinan, penggunaan bahasa rojak pada papan tanda terbabit bertujuan untuk menyampaikan mesej secara santai. Namun adalah lebih baik jika tidak membelakangkan penggunaan bahasa Melayu dan menolak bahasa rojak. Kedudukan papan tanda peringatan itu juga strategik kerana terletak di persimpangan jalan utama dengan satu jalan kecil. Boleh rujuk Gambar 2 di bawah.

Gambar 2: Kedudukan papan tanda peringatan yang berada di persimpangan jalan.

Kedudukan yang strategik itu sepatutnya digunakan dengan sebaik mungkin untuk menyampaikan mesej dengan mempamerkan papan tanda peringatan yang menggunakan bahasa Melayu dengan betul. Kita seharusnya berbangga dengan bahasa Melayu yang diangkat sebagai bahasa kebangsaan, bukannya malu untuk menggunakannya. Seeloknya perkataan dalam bahasa Inggeris yang ada pada papan tanda terbabit seperti dalam Gambar 1 diubah seperti yang berikut:

  1. Part time = Separuh masa atau sambilan
  2. Sometime = Kadangkala atau ada masa
  3. No time = Tiada masa
  4. Full time = Sepenuh masa
  5. On Time = Tepat pada masa
  6. Overtime = Lebih masa
  7. Anytime = Bila-bila masa

Barangkali, insan yang mencipta ayat-ayat terbabit mahu mendapatkan bunyi dan rima akhir yang sama pada pengakhiran ayat-ayat terbabit. Amat menyedihkan, insan terbabit menggunakan bahasa rojak. Boleh perhatikan ayat dibawah bagi mendapatkan bunyi dan rima akhir yang sama dalam bahasa Melayu:

Solat
Bukan Separuh Masa
Bukan Ada Masa
Bukan Tiada Masa
Mesti Sepenuh Masa
Mesti Tepat pada Masa
Kalau Boleh Lebih Masa
Kerana Mati Bila-bila Masa

Berdasarkan ayat di atas perkataan “masa” telah menjadi akhiran yang dapat menepati bunyi dan rima akhir sama seperti penggunaan perkataan “time”. Manakala penggunaan “ada masa” dalam ayat di atas merupakan bahasa basahan. Za’ba menggelarkan bahasa basahan sebagai bahasa cakap mulut. Bahasa basahan ialah bahasa pertuturan harian dalam konteks tidak rasmi. Oleh itu, “ada masa” dalam ayat terbabit bermaksud kadangkala. Contoh ayat yang menggunakan perkataan “ada masa” adalah seperti berikut; “Ali ada masa (kadangkala) solat, ada masa (kadangkala) tidak solat”, kata Ahmad kepada Salleh. Walaupun bahasa basahan, namun tetap dalam bahasa Melayu. Justeru itu, eloklah papan tanda peringatan terbabit diubah kepada bahasa Melayu sepenuhnya demi memartabatkan bahasa kebangsaan kita. Ingatlah bahawa bahasa jiwa bangsa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042081
    Visit Today : 1396
    This Month : 24680
    Total Visit : 1042081
    Hits Today : 8784
    Total Hits : 4279327
    Who's Online : 10
  • Kategori