Oleh Faridah A. Rahman

PENGURUS dalam Pelbagai Peranan merupakan salah sebuah terbitan Siri Pengurusan Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) yang ditulis oleh  Maimunah Osman. Buku ini mengandungi lapan bab yang memberikan huraian tentang tanggungjawab pengurus atau pegawai dalam  Perkhidmatan Awam. Setiap bab dalam buku ini membincangkan pelbagai peranan yang perlu dimainkan oleh seseorang pengurus. Oleh itu, buku ini  sesuai dibaca oleh semua peringkat pengurus dalam organisasi, khususnya mereka di peringkat pertengahan.

Pakar-pakar pengurusan yang awal memberikan definisi dan konsep yang berbeza-beza berasaskan pendekatan yang digunakan. Setiap pakar pengurusan memberikan penekanan kepada aspek tertentu berdasarkan persekitaran semasa hayatnya. Bab Satu buku ini membincangkan aspek pengurusan daripada pelbagai pendekatan, iaitu pendekatan klasik, perhubungan manusia, sistem dan kontingensi.

   Pendekatan klasik  menekankan peranan pengurus dengan organisasi dalam satu struktur hierarki yang rigid, menekankan kecekapan dan prestasi kerja yang konsisten.  Pendekatan ini membentuk asas kukuh bagi pengurusan sesebuah organisasi dengan membawa bersamanya kekuatan organisasi yang berasaskan keadaan yang konsisten dan boleh dijangka.

   Pendekatan perhubungan manusia memberikan penekanan kepada kompleksiti manusia dan perhatian yang lebih dalam memenuhi kepuasan hati manusia dalam sesebuah organisasi.  Teori ini menjelaskan bahawa hanya setelah keperluan manusia dipenuhi, maka barulah organisasi boleh berfungsi secara maksimum.

   Organisasi sebagai  satu sistem yang di dalamnya wujud input seperti sumber manusia, proses kerja, output dan maklum balas merupakan perkara yang dijelaskan dalam pendekatan seterusnya, iaitu pendekatan sistem.  Organisasi  hendaklah dilihat sebagai satu hubung kait antara kakitangan, bahagian dan kumpulan yang berinteraksi bagi mencapai matlamat organisasi.

  Bagi pendekatan kontingensi pula, aspek betapa pentingnya organisasi menyesuaikan diri dengan perubahan persekitaran selaras dengan keadaan   organisasi yang semakin terdedah kepada persekitaran. Bentuk dan ciri sesebuah organisasi bergantung pada beberapa faktor persekitaran, saiz dan anggota yang berbeza-beza mengikut masa.

   Secara keseluruhan, setiap satu pendekatan menekankan aspek-aspek  tertentu yang dilihat dari perspektif yang berlainan pada masa dan persekitaran yang berlainan.

   Bab Dua  dan seterusnya membincangkan peranan pengurus secara umum, sebagai pemimpin, jurulatih atau pembimbing, mentor, pemudah cara atau fasilitator dan kaunselor.

   Mengikut Henry Mintzberg, pengurus mempunyai peranan interpersonal, peranan informational dan peranan decisional. Peranan interpersonal ialah peranan memimpin organisasi, bertindak sebagai ketua dan perantara antara organisasi dan pekerja ke arah pencapaian matlamat organisasi.  Peranan informational melihat pengurus sebagai pusat penyaluran maklumat dalam organisasi, manakala  peranan decisional meliputi peranan pengurus sebagai pengusaha yang berani mengambil risiko dengan membuat keputusan pada saat-saat yang perlu.

   Pengurus dan pemimpin  berbeza, tetapi saling melengkapi antara satu sama lain dan diperlukan di dalam organisasi yang dinamik. Pengurus dilihat dengan fungsi kepimpinannya dan setiap pengurus merupakan pemimpin.  Seseorang pengurus yang tidak mempunyai kemahiran sebagai seorang pemimpin atau memiliki kemahiran sebagai pemimpin,  tetapi kurang mahir mengurus tidak akan dapat membawa kecemerlangan kepada organisasi. Hal ini kerana pengurus tidak dapat mempengaruhi warga organisasi untuk menjana perubahan, manakala sebagai pemimpin yang kurang asas pengurusan boleh mengakibatkan sistem tidak terbina, peraturan tidak dilaksanakan dan sebagainya. Oleh itu, keseimbangan antara kedua-duanya  penting bagi mencapai kecemerlangan sesebuah organisasi.

   Dalam Bab seterusnya, pengurus dilihat berperanan sebagai jurulatih atau pembimbing.  Sebagai pembimbing, seseorang pengurus perlu mempunyai keupayaan untuk membangunkan kakitangan atau sumber manusia yang di bawah tanggungjawabnya. Kakitangan dibangunkan melalui pertambahan pengetahuan, kemahiran dan keupayaan untuk menjadi individu yang lebih cekap dalam melaksanakan tugas-tugas yang diberikan.

   Peranan mentor yang dimainkan oleh seseorang pengurus menjadikan pengurus tersebut sebagai sumber rujukan kepada mentinya. Ia menjadi rakan yang akan bersama-sama dengan menti, berkongsi pengalaman dan pengetahuan serta menjadi model peranan yang boleh dicontohi untuk menjadi pegawai cemerlang lagi berwibawa pada masa hadapan.

   Selain menjadi pemimpin, pembimbing dan mentor, seseorang pengurus  bertindak sebagai pemudah cara dengan objektif utama untuk memudahkan pembelajaran, perubahan dan pembangunan sumber manusia di bawah tanggungjawabnya. Sebagai pemudah cara, seseorang pengurus hendaklah percaya kepada konsep pembelajaran di tempat kerja, dan impak pembelajaran yang berupaya menjana perubahan seterusnya berupaya membangunkan sumber manusia dalam organisasi.

   Satu lagi peranan pengurus yang tidak kurang pentingnya ialah peranan sebagai kaunselor. Kemahiran sebagai kaunselor boleh membantu pengurus menjadi lebih cekap dan berkesan sebagai seorang pengurus dan pemimpin dalam membantu organisasi mencapai kecemerlangan.  Ini adalah kerana dalam melaksanakan peranan sebagai kaunselor, sebab-sebab yang menjadi penghalang kepada kecekapan kakitangan dapat dihapuskan, di samping perhubungan interpersonal antara pengurus dan kakitangan akan dapat diperkukuh.    

   Sebagai kesimpulan, seseorang pengurus mempunyai pelbagai peranan yang perlu dimainkannya untuk membawa sesebuah organisasi ke puncak kejayaan. Setiap peranan yang dimainkan mempunyai hubungan antara satu sama lain dan memberikan kesan kepada sesebuah organisasi dalam usaha mencapai kecemerlangan.

  1. MUHD HANIS says:

    Apakah perbezaan antara mentor dan kaunselor???

    • Klik Web DBP says:

      Untuk mendapatkan jawapannya, sila hantar soalan saudara kepada Khidmat Nasihat Bahasa DBP melalui laman web http://www.dbp.gov.my atau hubungi 03-21481960 dan 03-21485887. Saudara juga boleh merujuk Pusat Rujukan Persuratan Melayu pada laman utama Klik Web DBP dengan mengklik Carian PRPM.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044431
    Visit Today : 852
    This Month : 27030
    Total Visit : 1044431
    Hits Today : 2821
    Total Hits : 4287794
    Who's Online : 6
  • Kategori