OLEH NORAZLINDA MISRAN

LAPORAN kajian interim tabiat membaca rakyat Malaysia 2014 yang dijalankan oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) menunjukkan bahawa rakyat Malaysia membaca 15 naskhah setahun berbanding dengan negara maju lain yang membaca 40 judul setahun. Oleh itu, bagi mencapai sasaran ideal bagi rakyat Malaysia, mereka perlu membaca 30 judul setahun.

Majlis pelancaran buku oleh YB Dato’ Saifuddin Abdullah, Menteri Luar Negeri.

Berdasarkan kajian ini, gerakan Dekad Membaca Kebangsaan telah dilancarkan pada Disember 2018 oleh YB Dr. Maszlee Malik, Menteri Pendidikan. Berdasarkan kajian The World’s Most Literate Nation (Negara Paling Celik Huruf Sejagat) pada 2016, menunjukkan Malaysia berada pada kedudukan ke-53, berada jauh daripada negara jiran Singapura yang berada pada kedudukan ke-36. Oleh sebab itu, kerajaan mengambil inisiatif untuk menerbitkan lebih banyak bahan bacaan menjelang tahun 2020.

Sehubungan dengan itu, penerbitan pelbagai buku termasuk buku terjemahan boleh dimanfaatkan dengan menterjemahkan buku dari negara lain ke dalam bahasa kebangsaan dalam usaha memperbanyakkan lagi bahan bacaan kepada rakyat Malaysia itu sendiri.

Antara peserta yang hadir ke Persidangan PenterjemahanAntarabangsa ke-17, 2019.

Dalam dunia digital hari ini, bahan bacaan lebih mudah didapati dan dicapai oleh semua golongan pembaca. Ia boleh dicapai walau di mana sahaja kita berada. Oleh itu, dengan memperbanyakkan bahan bacaan terjemahan ini dapat membantu menambah baik keberhasilan pembacaan di negara ini agar sasaran 30 naskhah setahun boleh dicapai bagi setiap orang.

Pengukuhan Dasar Buku Negara (DBN) oleh kerajaan dan pengenalan Dasar Sastera Kebangsaan (DSN) pastinya memberi kesan kepada kegiatan penterjemahan di negara ini. Dasar Buku Negara sangat penting untuk memastikan hal yang berkaitan dengan kepentingan membaca dirancang dan dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Dasar Buku Negara pula merupakan suatu paradigma baharu dalam memastikan sastera kebangsaan diperkasakan. Kedua-dua dasar ini akan merancakkan perkembangan kegiatan hiliran yang akan turut mendukung kegiatan penterjemahan.

Dr. Hazami Jahar, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka ketika membentangkan Kertas Dasar 2.

Hal ini telah dibentangkan dalam Kertas Dasar 2 bertajuk Perkukuh Prasarana Penterjemahan dalam Era Digital oleh YBhg. Datuk Haji Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang telah disampaikan oleh Dr Hazami Jahari, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, DBP, dalam Persidangan Penterjemahan Antarabangsa ke-17 pada 20-22 Ogos 2019, di Hotel Bangi Resort, Selangor.

Majlis penyampaian cenderamata kepada Dr. Hazami Jahar, Pengarah Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka.

Persidangan ini merupakan anjuran bersama Fakulti Pengajian Bahasa Utama, Universiti Sains Islam Malaysia, Persatuan Penterjemah Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia. Tujuan persidangan ini adalah untuk memupuk kesedaran terhadap kepentingan penterjemahan dalam usaha pemindahan ilmu yang tidak pernah pudar dan berlaku setiap masa tanpa had. Ia diadakan di peringkat antarabangsa sebagai platform yang membolehkan pertukaran gagasan idea, ilmu dan pengalaman yang berlaku dalam kalangan ahli akademik, pengkaji dan pengamal atau penterjemah dalam bidang penterjemahan.

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014945
    Visit Today : 974
    This Month : 34290
    Total Visit : 1014945
    Hits Today : 5366
    Total Hits : 4142168
    Who's Online : 14
  • Kategori