Oleh UTHAYA SANKAR SB

TULISAN saya mengenai Thirukkural disiarkan secara bersiri di portal Roketkini manakala Megha Duta disiarkan di portal Eksentrika. Pengalaman menulis secara mingguan memang menarik kerana saya perlu mendisiplinkan diri untuk mengirim bahan kepada editor secara berkala. Akan tetapi, ada masanya siaran dilewatkan, lalu membuatkan saya kurang selesa. Atas sebab itulah juga kisah-kisah Vikramaditya yang dimulakan di portal Eksentrika disambung sahaja di blog saya, iaitu uthayasb.blogspot.my.

Encik Uthaya Sankar SB.

Sepertimana kebanyakan peminat sastera, saya juga amat gemar menghayati pelbagai karya klasik, khususnya dari India. Sejak kecil, saya kagum dengan kisah-kisah pengembaraan dan keperwiraan yang disajikan menerusi epik dan purana India.

Pada usia kanak-kanak, saya juga berpeluang mendengar pelbagai cerita rakyat yang disampaikan oleh ibu. Sebahagian kisah itu telah saya abadikan dalam buku Nari! Nari! (1995) dan Munis Dengan Harimau (1996).

Minat dan rasa takjub saya terhadap kisah-kisah klasik dari India berterusan semasa saya belajar di SRK Convent Aulong, SM Darul Ridwan, SM King Edward VII di Taiping, dan seterusnya di Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Malah, karya-karya epik, hikayat dan purana dari India terus memukau dan merangsang minda saya sehingga kini. Kesemuanya umpama telaga yang boleh terus digali, tetapi air yang keluar tidak akan kering. Tidak hairanlah epik dan purana ini terus disajikan dalam pelbagai versi, bahasa, dan bentuk untuk bacaan khalayak pelbagai umur.

Walaupun bukan lepasan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), saya tidak melepaskan peluang mendalami bahasa dan sastera Tamil. Begitu juga dengan karya pelbagai bahasa dari India dan negara-negara seluruh pelosok dunia. Penguasaan tribahasa memudahkan usaha ini; tambahan pula majoriti karya klasik dunia terdapat dalam terjemahan Bahasa Inggeris yang amat bermutu.

Selain daripada membaca, saya turut memanfaatkan bahan-bahan yang terdapat dalam bentuk audio visual, misalnya buku audio yang mudah dihayati sambil memandu. Perjalanan saya berulang-alik antara Taiping, Perak dengan Shah Alam, Selangor sentiasa ditemani buku audio pelbagai genre dan pelbagai bahasa.

Epik Ramayana menarik perhatian saya sejak dahulu. Banyak juga cerpen berbentuk parodi dan satira yang saya tulis bersumberkan epik berkenaan. Malah, selepas mengkaji dan meneliti epik berkenaan dalam pelbagai versi, saya menulis novel Hanuman: Potret Diri (1996) yang kemudian dikemas kini dan diterbitkan dengan judul Hanuman: Suara Hati (2013).

Epik Mahabharata turut menjadi teks yang amat menarik untuk dikaji dari pelbagai sudut. Walaupun ada pihak yang menganggap Ramayana, Mahabharata, dan Bhagavad Gita sebagai kitab suci, hakikat kewujudannya sebagai karya sastera dan epik yang wajar dikaji lapis demi lapis tidak dapat dinafikan. Buku terbaharu saya berjudul Ramayana dan Mahabharata (2019) mengambil kisah daripada kedua-dua epik terkenal ini.

Karya Thirukkural pula amat dekat dengan kaum India, khususnya lepasan sekolah Tamil. Teks Bahasa Tamil ini bersifat sejagat dan sudah diterjemah kepada hampir semua bahasa utama dunia.

Salah tanggap yang sering wujud adalah bahawa hanya lepasan sekolah Tamil mengenali Thirukkural. Memanglah murid-murid SJKT mendapat pendedahan awal apabila diajar dan diminta menghafaz sejumlah kural bagi tujuan peperiksaan dan pertandingan. Akan tetapi, peluang membaca, menghayati, dan menikmati kandungan Thirukkural tidak hanya terhad kepada lepasan sekolah Tamil. Sesiapa sahaja pasti berminat untuk mengenali karya hebat itu sekiranya diberi peluang.

Amat merugikan sekiranya karya-karya hebat seperti Thirukkural, Ramayana, Mahabharata, Vikramaditya, dan Megha Duta diketepikan atas alasan bahasa. Menerusi terjemahan, dunia menjadi semakin kecil. Kita tidak lagi ada alasan untuk mengatakan tidak berpeluang mengenali karya luar negara; apatah lagi karya klasik dan epik terkenal.

Orang ramai boleh membaca maklumat mengenai Aimperukapiyam yang menjadi semacam “teks wajib dibaca” bagi peminat sastera klasik Tamil menerusi esei “Mengenali Lima Epik Agung Tamil” dalam buku Malaiur Manikam (2015).

Thirukkural yang dikarang oleh Thiruvalluvar dalam Bahasa Tamil sekitar 2,500 tahun dahulu terdiri daripada 1,330 kural dan terbahagi kepada tiga bahagian.

Pertama, Aram (Kebenaran atau Dharma) yang membicarakan dalam 38 bab (380 kural) tentang aspek kebajikan, pentadbiran negara, dan cara mencapai moksha (bersatu dengan Tuhan).

Kedua, Porul (Kebendaan) yang menghuraikan tentang soal wang dan harta dalam 70 bab (700 kural). Ketiga, Inbam (Nikmat Cinta) yang membicarakan soal nikmat cinta dan kehidupan suami-isteri dalam 25 bab (250 kural).

Dalam buku ini, saya hanya memilih 100 daripada 1,330 kural dalam Thirukkural untuk diterangkan dan dihuraikan secara mudah menggunakan bahasa kebangsaan supaya dapat difahami oleh masyarakat pelbagai kaum dan latar belakang di Malaysia.

Ramai yang bertanya mengapa saya hanya memilih 100 kural untuk tujuan buku ini. Ada pula yang bertanya apakah kriteria yang digunakan dalam pemilihan. Hal ini juga ditanya pada sesi “Bicara Karya Penulis Kaum India” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pengajian India UM dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM pada 5 Disember 2018

Sebenarnya, tidak ada apa-apa kriteria khusus digunakan. Sekiranya kesemua kural dibincangkan, tentu buku menjadi amat tebal dan ia akan melibatkan kos penerbitan yang tinggi. Malah, agak menarik kerana kebanyakan orang yang sibuk bertanya mengapa saya tidak mengulas kesemua kural adalah orang yang tidak membeli buku ini.

Puisi klasik Megha Duta yang asalnya ditulis oleh Kalidas dalam bahasa Sanskrit. Ramai dalam kalangan kaum India di Malaysia mungkin hanya mengenali Kalidas menerusi filem Mahakavi Kalidas (1966), tetapi tidak tahu mengenai puisi klasik ini yang mendapat pujian dan pengiktirafan pada peringkat antarabangsa.

Puisi ini merupakan karya asli Kalidas, berbanding dengan karya-karya lain tulisannya yang mengangkat kisah-kisah daripada epik dan purana Hindu. Saya tidak melakukan terjemahan semula Megha Duta dalam bentuk puisi. Sebaliknya, saya menceritakan semula kisah romantik itu dalam bentuk prosa menggunakan bahasa mudah untuk dihayati khalayak pelbagai kaum di Malaysia.

Sebenarnya, puisi klasik ini juga menggambarkan realiti sosial dan budaya India pada masa silam. Perkara ini turut diakui oleh Mani Rao yang menterjemah serta menulis komen tentang Megha Duta dalam buku Kalidasa for the 21st Century Reader (2014).

Apabila membaca puisi klasik Sanskrit ini, pasti ada beberapa perkara yang mungkin sedikit memeranjatkan anda kerana pelbagai amalan, norma, dan gaya hidup yang dianggap sesuai pada masa silam, kini dianggap tidak bermoral. Saya memaparkan semua itu seadanya, sebagaimana yang digambarkan oleh Kalidas.

Antara cabaran dalam pengalaman menulis ulasan bagi Thirukkural adalah keperluan untuk memahami dan menghayati keseluruhan kandungan teks itu, walaupun saya hanya mengulas 100 kural bagi tujuan buku ini. Proses ini saya lakukan sejak dahulu kerana saya sudah ada asas pengenalan terhadap Thirukkural sejak dahulu (walaupun bukan murid SJKT).

Proses membaca ulasan pelbagai pihak dari dalam dan luar negara, serta dalam pelbagai bahasa, turut membantu saya lebih memahami setiap kural secara lebih mendalam dan menyeluruh, sebelum melakukan ulasan sendiri yang disesuaikan dengan konteks khalayak Malaysia.

Bagi puisi Megha Duta pula, cabarannya lebih besar kerana saya tidak menguasai bahasa Sanskrit. Maka, saya terpaksa bergantung pada terjemahan dalam bahasa-bahasa lain. Namun begitu, saya juga meluangkan masa menikmati rakaman audio Meghadutam nyanyian Hariharan, Kavitha Krishnamurthy dan Ravindra Sathe dalam versi Sanskrit dengan iringan muzik gubahan Vaihwa Mohan Bhatt.

Proses mendengar keseluruhan teks Thirukkural dan Megha Duta turut saya lakukan semasa memandu jarak jauh (biasanya dari Shah Alam keTaiping). Selain daripada itu, saya turut membaca kajian dan buku-buku yang berkaitan dengan hal-hal yang diceritakan oleh Kalidas dalam puisi klasik romantik itu.

Ternyata kesemuanya bagaikan jaringan yang tidak ada penghujung! Pelbagai teks klasik, epik, purana, Veda dan ithihasa (sejarah) turut perlu dirujuk untuk memantapkan ulasan saya dalam bentuk prosa. Tidak lupa juga data berkaitan geografi, alam semula jadi, fauna dan flora yang turut memainkan peranan penting dalam Megha Duta.

Megha Duta adalah antara puisi Sanskrit yang paling diraikan di seluruh dunia. Puisi sepanjang 121 sloka (stanza, rangkap) ini terbahagi kepada dua bahagian, iaitu Poorvamegha (66 sloka) dan Uttaramegha (55 sloka). Ia mengangkat watak yaksa (makhluk mitos separuh manusia dan separuh dewa) yang meminta segumpal megha (awan) menjadi duta (utusan) bagi menyampaikan pesanan kepada isterinya.

Agak menarik juga untuk diperhatikan bagaimana puisi Megha Duta banyak membuat rujukan kepada watak Rama, Sita, dan Ravana daripada epik Ramayana; serta Pandava dan Kaurava daripada epik Mahabharata.

Sesungguhnya pelbagai hikayat, epik, kavya, dan purana dalam tradisi India umpama jaringan sesawang yang saling berkait dan saling melengkapkan. Dalam bahagian tertentu tulisan ini, saya membuat nota tambahan bagi memberikan maklumat lanjut demi manfaat pembaca budiman.

Walaupun tulisan saya sudah tersiar, saya melakukan suntingan dan semakan semula, selain melakukan kemas kini maklumat. Sepuluh individu menawarkan diri menjadi penyunting bersekutu untuk melakukan semakan dan pembetulan.

Saya menerbitkan sendiri buku-buku saya sejak tahun 2002. Sebagai seorang penulis sepenuh masa, cabaran utama adalah dana bagi menampung kos penerbitan. Saya tidak menerbitkan buku-buku saya untuk mengaut untung. Apa yang penting adalah bahawa tulisan saya dapat dibukukan untuk bacaan orang ramai serta menjadi dokumentasi bagi rujukan pada masa depan.

Pengalaman saya menangani kedua-dua teks klasik ini — Thirukkural dan Megha Duta — amat mengujakan. Semoga orang ramai turut teruja membaca buku ini, serta berminat untuk membaca keseluruhan teks Thirukkural, menikmati puisi Megha Duta, serta mendalami pelbagai karya klasik dari India; sama ada dalam versi asal, terjemahan, atau penceritaan semula.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    126884
    Melawat Hari Ini : 113
    Jumlah Pelawat : 126884
    Hits Hari Ini : 398
    Jumlah Hits : 227849
    Siapa atas talian : 2
  • Kategori