Oleh RAMAKRISHNAN RAMASAMY

SEMEMANGNYA jarak dan waktu memainkan peranan utama dalam melahirkan kumpulan sajak sulung saya yang berjudul Kurnia (2018). Bermula pada tahun 1994, langkah awal dalam proses penulisan puisi bermula dengan sepenuh hati.

Encik Ramakrishnan Ramasamy.

Keinginan untuk menulis puisi mula berputik setelah membaca karya puisi yang tersiar dalam majalah Dewan Siswa. Saya mula menulis secara bersahaja dengan mencoretkan apa-apa sahaja yang bermain dalam minda. Hasil nukilan tersebut, saya persembahkan kepada guru untuk dikomen dan mendapatkan nasihat beliau. Nasihat dan tunjuk ajar beliau amat membantu saya untuk menghasilkan karya yang berkualiti.

Pada masa yang sama, saya tidak mempunyai sebarang pengetahuan tentang asas penulisan puisi. Perkara ini merupakan cabaran pertama yang saya hadapi. Namun demikian, saya tekun mengkaji puisi-puisi yang tersiar dalam majalah Dewan Siswa dan akhbar harian.

Puisi sulung saya, “Kesenian Yang Tersorok”, tersiar dalam majalah Dewan Siswa keluaran April 1995. Puisi ini terhasil secara spontan dan saya menggunakan mesin taip untuk menaipnya. Sebaik melihat karya puisi saya tersiar dalam majalah Dewan Siswa, minat untuk terus menghasilkan karya puisi mula membara.

Fokus terhadap pelajaran menjadi agenda utama ketika itu. Lebih banyak masa yang saya peruntukkan untuk membuat persediaan mengulang kaji pelajaran dan menghadiri kelas tambahan serta tuisyen bagi menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Seusia remaja, cabarannya ialah masa. Ketika ini, tumpuan utama menjurus pada pelajaran bagi menghadapi SPM. Maka, fokus kepada penulisan puisi terpaksa dikurangkan. Namun demikian, saya tetap menghasilkan karya kreatif dengan mencuri masa yang terluang.

Pendedahan dan bimbingan yang diterima sewaktu menyertai Minggu Penulis Remaja (MPR) pada tahun 1997, saya manfaatkan sepenuhnya untuk  proses penulisan kreatif menghasilkan karya puisi.

Bermula tahun 1999, saya kurang menghasilkan puisi kerana komitmen terhadap kerjaya serta fokus terhadap pengajian saya di Universiti Malaya (UM). Kesibukan dalam bidang peruncitan antara faktor cabaran yang perlu diharungi.

Sajak-sajak dalam buku Kurnia disusun secara kronologi. Jika dilihat secara teliti, konsistensi dari tahun 1995 hingga tahun 2000, hanya pada tahun 1999 dan tahun 2000 sahaja bilangan sajak yang dihasilkan lebih banyak berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Saya kurang menghasilkan puisi bermula tahun 1999 tetapi bilangan puisi yang dihasilkan pada tahun 1999 dan tahun 2000 lebih banyak berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Kebanyakan sajak yang dihasilkan pada waktu itu merupakan sajak-sajak pendek, dalam satu rangkap hingga tiga rangkap sahaja.

Kecenderungan untuk menulis sajak pendek lebih tinggi ketika itu kerana batas waktu dalam kelangsungan jalur kehidupan. Walaupun terbatas, minat untuk menulis tidak pernah padam dalam hati. Cuma pengaturan masa yang tidak pernah serasi.

Terdapat waktu senggang selama 11 tahun, iaitu dari tahun 2001 hingga 2011. Dalam waktu itu, saya tidak menghasilkan sebarang karya kreatif. Apa sebenarnya yang berlaku? Kehidupan! Itulah yang berlaku ke atas diri saya.

Dalam tempoh waktu itu, saya terikat dengan alam perkerjaan yang sentiasa mencabar dan berubah. Malah, saya juga berkelana ke “Negeri di Bawah Bayu” untuk mencari rezeki. Maka, secara tidak langsung saya telah berhenti menulis.

Sebelas tahun adalah suatu tempoh yang amat merugikan bagi saya. Sekiranya saya boleh menghasilkan lima buah sajak dalam setahun, maka dalam tempoh sebelas tahun, saya sudah mempunyai lima puluh lima buah sajak!  Suatu pencapaian yang boleh saya banggakan dan pada masa yang sama, saya boleh bercita-cita untuk menerbitkan kumpulan sajak persendirian pada waktu itu.

Terlalu lama, ya, terlalu lama saya tidak menulis. Maka, apa yang perlu saya lakukan untuk kembali aktif menulis?  Bagi saya, ia tidak sukar kerana minat terhadap penulisan kreatif tidak pernah padam dalam hati saya. Maka, untuk kembali menulis, memang amat mudah. Saya cuma perlu menulis!

Pada tahun 2012, saya sudah mula menetap di Rawang, Selangor. Waktu itu, saya mempunyai lebihan masa untuk dimanfaatkan. Maka, saya mula kembali menulis.  Pada masa sama, saya sering berjumpa dengan Uthaya Sankar SB di Rumah Kavyan, Shah Alam untuk mendapatkan bimbingan dan tunjuk ajar dalam penulisan.

Pada tahun yang sama juga, saya mula mengirimkan sajak ke majalah Tunas Cipta. Bermula dengan siaran sajak “Terindah” dalam keluaran Mac 2012, saya sentiasa mencari ruang untuk menghasilkan sajak secara konsisten.

Maka, saya meluangkan masa untuk membaca karya kreatif dalam akhbar dan majalah serta buku-buku antologi cerpen dan puisi. Saya akan mencari kepelbagaian dalam pembacaan dengan mendapatkan majalah yang berlainan konsep untuk meluaskan maklumat dan fakta bagi membantu menghasilkan karya kreatif.

Seterusnya, saya mula menyertai Persatuan Penulis Alam Maya Malaysia (Jom Sastera) dan mula mengirimkan sajak secara dalam talian. Dengan cara begini, saya dapat memastikan sajak-sajak saya dapat menemui khalayak pembaca dan pada masa yang sama, saya juga dapat meluaskan pembacaan, terutamanya sajak.

Setiap komen dan pandangan yang diberikan ke atas sajak yang dikirimkan, memberi galakan dan motivasi kepada saya untuk terus menghasilkan sajak. Maka, saya juga berusaha untuk menulis secara lebih kerap.

Pengalaman ini telah saya kongsi pada “Bicara Karya Penulis Kaum India” anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Jabatan Pengajian India UM dan Kumpulan Sasterawan Kavyan (Kavyan) di Fakulti Sastera dan Sains Sosial UM pada 5 Disember 2018.

Niat untuk menerbitkan buku sajak sulung mula berputik. Tetapi pada masa yang sama, sambutan terhadap buku-buku sajak tidak menggalakkan. Maka, saya  memendamkan niat tersebut dalam hati. Namun, saya terus meneruskan usaha untuk menulis sajak secara berterusan dengan harapan suatu hari nanti saya dapat menerbitkan buku sajak sulung saya.

Pada hujung tahun 2017, saya menghubungi Uthaya Sankar SB setelah melihat satu paparan tentang penerbitan buku dalam kuantiti yang kecil dengan perbelanjaan kecil pada dinding Facebook beliau.

Maka, pada awal tahun 2018, saya dan Uthaya Sankar SB mula mengadakan pertemuan untuk membincangkan secara lanjut proses penerbitan buku sajak sulung saya. Setelah beberapa berbincangan diadakan, persetujuan untuk menerbitkan buku sajak sulung saya telah disepakati.

Proses pengumpulan karya mula dilakukan bersama-sama dengan penghasilan karya-karya baru. Proses penghasilan sajak-sajak baharu agak terbatas kerana kekangan masa disebabkan oleh persiapan majlis perkahwinan saya ketika itu. Walau bagaimanapun, saya tetap berusaha untuk menjayakan projek buku sajak sulung saya.

Saya memilih judul Kurnia untuk buku sajak sulung saya. Ini kerana saya amat bersyukur dengan pemberian Tuhan dalam kehidupan seharian kita. Juga kerana minat yang dicetus dalam diri saya terhadap bahasa, khususnya bahasa kebangsaan.

Setelah proses mengumpul karya selesai, proses menyemak dan menyunting dilakukkan. Setelah semakkan demi semakkan serta penyuntingan dilakukkan, akhirnya kami berpuas hati untuk diserahkan kepada pencetak.

Proses melahirkan Kurnia sebenarnya sudah bermula dua puluh empat tahun yang lalu, ketika saya mula membenih minta terhadap sajak melalui majalah Dewan Siswa. Akhirnya, 62 buah puisi dipersembahkan dalam kepelbagaian tema yang dirakam dalam kehidupan seharian, kejujuran dan keikhlasan yang lahir dari hati dan juga menerusi daya kreatif imaginatif.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044122
    Visit Today : 543
    This Month : 26721
    Total Visit : 1044122
    Hits Today : 1585
    Total Hits : 4286558
    Who's Online : 11
  • Kategori