OLEH ROSLAN ABDUL HAMID

KATA dasar ialah kata yang tidak berimbuhan. Kata dasar boleh terdiri daripada satu suku kata (ekasuku), dua suku kata (dwisuku) tiga suku kata (trisuku) atau lebih daripada itu. Kata dasar yang sering kita temukan ialah kata jati Melayu dan sesetengahnya kata pinjaman daripada bahasa asing.

KATA DASAR EKASUKU

Kata ekasuku ialah perkataan yang terbentuk daripada hanya satu suku kata sama ada daripada suku kata terbuka ataupun suku kata tertutup. Kata ekasuku mestilah mempunyai makna yang difahami seperti:

KATA EKASUKU

MAKNA

mi

Sejenis makanan

ya

Setuju

ru

Sejenis tumbuhan
jem

Sejenis makanan

gas

Sejenis sumber bahan bakar

Jus

Air daripada buah-buahan atau sayur-sayuran

 

PEDOMAN MENGEJA KATA DASAR EKASUKU

Pada asasnya kata jati Melayu dieja mengikut aturan yang tetapkan. Namun, terdapat beberapa kekecualian atas beberapa sebab yang dibenarkan. Pertama, ejaan yang sudah menjadi warisan dan masyhur sejak dahulu. Kedua, hendak mengurangkan kekeliruan pada ejaan yang sama dengan perkataan lain.

1  Ekasuku suku kata terbuka

a. Jika menggunakan vokal [a], maka kata itu hendaklah dieja dengan menggunakan lambang huruf vokal ا (alif). Contoh:

PERKATAAN

JAWI

la

لا

ya

يا

b. Jika menggunakan vokal [e] pepet, maka kata itu hendaklah dieja tanpa menggunakan lambang huruf vokal. Contoh:

PERKATAAN

JAWI

ke

ک

se

س

c. Jika menggunakan vokal [i] dan [e] taling maka kata itu hendaklah dieja dengan menggunakan lambang huruf vokal ي (ya). Contoh:

PERKATAAN

JAWI

mi

مي

we

وي

Kekecualian pada ejaan kata depan “di” daripada aturan ini. Kerana kata “di” dieja tanpa menggunakan lambang huruf vokal ي, sebaliknya dieja dengan huruf konsonan د (dal) sahaja.

d. Jika menggunakan vokal [u] dan [o], maka kata itu hendaklah dieja dengan menggunakan lambang huruf vokal و (wau). Contoh:

PERKATAAN

JAWI

Ru

رو

zoo

زو

 

2. Ekasuku suku kata tertutup

a. Jika vokal [a] digunakan dengan konsonan pertama adalah و (wau) maka, kata itu hendaklah dieja dengan huruf vokal ا (alif). Contoh:

PERKATAAN

JAWI

wak

واق

wang

واڠ

b. Jika vokal [a] digunakan dengan konsonan pertama bukan و (wau), maka hendaklah dieja tanpa huruf vokal. Contoh:

PERKATAAN

JAWI

jam

جم

gas

ݢس

Kekecualian pada ejaan kata “dan” daripada aturan ini berlaku kerana sudah menjadi ejaan kata yang menjadi warisan dan masyhur. Kata “dan” dieja dengan menggunakan huruf vokal ا .

dan – دان

c. Jika vokal [i] dan [e] taling digunakan, maka kata itu hendaklah dieja dengan lambang huruf vokal ي (ya). Contoh :

PERKATAAN

JAWI

zip

زيڤ

sen

سين

d. Jika vokal [u] dan [o] digunakan, maka kata itu dieja dengan menggunakan lambang huruf vokal و (wau). Contoh:

PERKATAAN

JAWI

gus

ݢوس

jom

جوم

Satu hal yang perlu kita berhati-hati ialah apabila konsonan [k] digunakan pada tempat paling akhir dalam suku kata tertutup. Padanan konsonan [k] di akhir suku kata mempunyai lambang huruf jawi yang berbeza. Jika kata daripada kata jati Melayu, konsonan [k] dilambangkan dengan ق (qaf). Contohnya:

PERKATAAN

JAWI

bak

بق

tak

تق

dik

ديق

lok

لوق

Jika kata serapan pula, padanan konsonan [k] dilambangkan dengan huruf ک (kaf). Contohnya:

PERKATAAN

JAWI

Cek

چيک

Dok

دوک

Jek

جيک

kek

کيک

Kesimpulannya, pedoman mengeja kata dasar ekasuku daripada suku kata terbuka dan suku kata tertutup ialah sama kaedahnya seperti mengeja kata suku kata terbuka dan tertutup yang lain kecuali kata ekasuku daripada suku kata tertutup yang bermula dengan konsonan [w]. Yang hendaklah difahamkan di sini ialah kata dasar ekasuku mempunyai makna yang boleh kita faham walaupun cuma satu perkataan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1031511
    Visit Today : 470
    This Month : 14110
    Total Visit : 1031511
    Hits Today : 1389
    Total Hits : 4223661
    Who's Online : 14
  • Kategori