Oleh JAYMANI SEVANATHAN

PERLEMBAGAAN ialah peraturan atau undang-undang sama ada bertulis atau tidak bertulis yang menentukan organisasi pemerintahan kerajaan, pembahagian kuasa antara pelbagai kerajaan iaitu Persekutuan, Negeri dan Kerajaan Tempatan serta prinsip-prinsip dalam pentadbiran negara. Perlembagaan merupakan elemen penting dalam amalan sistem politik demokrasi. Perlembagaan terbahagi kepada dua, iaitu bertulis dan tidak bertulis. Perlembagaan Malaysia atau dikenali sebagai Perlembagaan Persekutuan merupakan contoh perlembagaan bertulis. Perlembagaan bertulis ialah bentuk perlembagaan yang dikumpulkan dan disusun dalam satu dokumen.

Bagi sesebuah negara yang berdaulat, perlembagaan adalah sumber undang-undang tertinggi sesebuah negara dan setiap individu perlu mematuhi keluhurannya. Kita dapat melihatnya pada Rukun Negara ketiga iaitu Keluhuran Perlembagaan di mana Perlembagaan Persekutuan menjadi undang-undang tertinggi negara dan panduan kepada segala pentadbiran negara. Selain itu, perlembagaan juga berperanan sebagai satu panduan bagi pembentukan undang-undang sama ada untuk pihak kerajaan, rakyat atau sesiapa sahaja. Pada masa yang sama, tidak ada satu institusi yang boleh mengatasi ketinggian Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan merupakan penentu kepada rangka dan bentuk pemerintahan serta kuasa yang diamanahkan kepada mereka yang menerajui tampuk pemerintahan. Pelembagaan mampu menjamin satu pentadbiran yang bersih, cekap, jujur dan adil. Oleh sebab itu, perlembagaan sangat penting bagi sesebuah negara untuk menjamin kesinambungan pentadbiran dan kestabilan politik seterusnya menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

Pada masa yang sama, antara kepentingan perlembagaan mengikut konteks hubungan etnik ialah bagi menjamin kestabilan negara. Unsur-unsur perlembagaan menjadi titik tolak bagi memupuk perpaduan antara kaum. Unsur-unsur perlembagaan seperti bahasa kebangsaan, agama, hak istimewa orang Melayu dan institusi beraja telah menjadi panduan untuk menjamin kecekapan, keadilan, ketelusan serta kelancaran jentera pentadbiran.

Di samping itu, antara perkara dalam Perlembagaan Persekutuan yang sangat ditekankan ialah bahasa kebangsaan di negara ini. Para pemimpin negara menyedari bahawa perlu diwujudkan bahasa kebangsaan sebagai wadah komunikasi atau bahasa pertuturan umum dan bahasa rasmi negara bagi menyatupadukan rakyat yang terdiri daripada pelbagai kaum. Hasil permuafakatan perlembagaan, bahasa Melayu diterima sebagai bahasa kebangsaan dalam Perkara 152 Perlembagaan Malaysia. Persefahaman menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak menjejaskan penggunaan bahasa ibunda kaum-kaum yang lain, malah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan.

Perlembagaan Malaysia juga memastikan wujudnya keadilan sosial antara kaum. Bagi menjamin keadilan antara kaum, kebebasan sosial dihadkan. Perkara ini bermakna seseorang itu diberi kebebasan bersuara tetapi kebebasan ini dihadkan kerana seseorang itu tidak dibenarkan bersuara mengenai isu sensitif seperti keistimewaan hak orang Melayu dan Bumiputera, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta agama Islam sebagai agama rasmi persekutuan yang boleh menimbulkan persengketaan dan perselisihan faham antara kaum yang mampu mengancam keharmonian masyarakat yang berbilang kaum.

Perlembagaan merupakan kunci kepada masyarakat di Malaysia demi memelihara dan mengekalkan keamanan dan perpaduan antara kaum bagi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara ini. Adalah suatu kewajipan dan tanggungjawab semua rakyat Malaysia untuk mematuhi Perlembagaan Persekutuan selaras dengan Rukun Negara kita.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035173
    Visit Today : 1389
    This Month : 17772
    Total Visit : 1035173
    Hits Today : 7542
    Total Hits : 4245876
    Who's Online : 6
  • Kategori