OLEH NORAZLINDA MISRAN

DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil (tengah) hadir dalam Majlis Multaqa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail 2019.

MAJLIS Multaqa Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail 2019 diadakan bersempena dengan sambutan ulang tahun keputeraan Ke-76 DYMM Tuanku Raja Perlis diadakan di Dewan Warisan, Kangar, pada 11 Julai. DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan mencemar duli ke majlis ini.

Multaqa ini dilaksanakan bertujuan untuk menyuburkan kegiatan ilmu dalam kalangan masyarakat dan melibatkan peranan institusi diraja bagi memperkasakan bahasa kebangsaan.

Lafaz ikrar Pegawai Masjid Negeri Perlis yang disaksikan oleh DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dua kertas kerja dibentangkan, iaitu “Pengurusan dan Pengimarahan Masjid di Negeri Perlis: antara Cabaran dan Harapan” oleh Sahibus Samahah Prof. Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Mufti Negeri Perlis, dan Dr. Ismail Lutfi Abdul Rahman Japakiya, Rektor Universiti Fatoni, Pattani, Thailand, dengan tajuk pembentangannya “Masjid dalam Perspektif Islam: Manifestasi Kasih Raja dan Ketaatan Rakyat”.

Mohd. Asri dalam pembentangannya mengajak umat Islam supaya mengimarahkan masjid dengan pelbagai aktiviti, termasuk aktiviti untuk anak, seperti mengadakan kelas tambahan untuk mereka yang akan mengambil peperiksaan yang besar. Selain itu, menurut beliau, umat Islam patut memberikan contoh yang baik kepada mereka yang bukan Islam, seperti solat berjemaah apabila jemaah berbaris cantik dan tersusun dalam saf, tidak seperti di sesetengah tempat apabila kenderaan diletakkan tidak tersusun. Oleh itu, apabila Islam mengajarkan disiplin dalam solat, sepatutnya kita menerapkannya dalam kehidupan harian juga.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, menyampaikan cenderamata kenangan kepada DYTM Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dr. Ismail Lutfi pula mengajak para hadirin memahami konsep asal masjid. Menurutnya, masjid ialah tempat untuk bermasyarakat dan menghidupkan sendi keperluan ummah di sesebuah negeri. Konsep hidup berjemaah adalah melalui teras masjid. Apabila masjid tidak berperanan, masjid itu akan rosak semuanya.

Multaqa ini dianjurkan secara bersama-sama untuk kali ketiga oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Turut hadir dalam majlis tersebut Datuk Seri Azlan Man, Menteri Besar Perlis, dan Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah DBP.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042245
    Visit Today : 109
    This Month : 24844
    Total Visit : 1042245
    Hits Today : 235
    Total Hits : 4279830
    Who's Online : 9
  • Kategori