OLEH AZURA HALID

BERSULAMKAN tekad, fungsi pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan diadun menjadi satu dalam kembara sejarah apabila pasukan karyawan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) yang diketuai oleh Profesor Datuk Dr. Mohamed Hatta Shaharom, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, dan Abang Haliman Abang Julai, Pengarah DBPWS, telah mengatur kembara menjejak tapak peninggalan sejarah di daerah Kota Tinggi, Johor.

Tanggal 27 April 2019 telah terpahat dalam sejarah apabila 100 orang peserta yang terdiri daripada pencinta sejarah dan budaya, penulis, penjawat awam, organisasi bukan kerajaan dan pelajar telah berhimpun di Muzium Kota Tinggi, untuk memulakan kembara sejarah menjejak makam pemerintah dan pembesar terdahulu.

Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang.

Kota Tinggi menjadi pilihan penganjur pada tahun ini kerana di sini bermulanya pembukaan Johor Lama sebagai pusat pentadbiran dan pemerintahan negeri Johor setelah kejatuhan Kesultanan Melaka. Tahun 1528 mencatat sejarah kegemilangan kerajaan Johor Lama dengan beberapa peristiwa penting yang menarik perhatian para peminat dan pencinta sejarah. Naskhah Sulalatus Salatin pula menjadi kitab agung pegangan para karyawan dan peserta kembara sepanjang kembara. Sulalatus Salatin telah diwartakan sebagai warisan dunia atau Memory of the World Register oleh United National Educational, Scientific and Cultural Organization (UNESCO) pada September 2001. Inilah antara karya terpenting dan amat bernilai dalam bahasa Melayu yang ditulis oleh Tun Sri Lanang. Bendahara Tun Sri Lanang merupakan tokoh penulis kelahiran Seluyut, Kota Tinggi, dan marhum di Aceh.

Antara peserta yang mengikuti kembara sejarah menjejak makam pemerintah dan pembesar terdahulu di Kota Tinggi, Johor.

Kampung Makam menjadi destinasi pertama pasukan Kembara. Di Kampung Makam itulah terletaknya Makam Sultan Mahmud Mangkat Dijulang. Makamnya terpelihara dan sentiasa dikunjungi pelawat tempatan dan luar negeri. Kisah Sultan Mahmud yang dibunuh oleh Megat Seri Rama telah menguasai sejarah Melayu pada tahun 1699. Sultan Mahmud mangkat pada usia 24 tahun. Kisah ini disingkap dalam pelbagai versi. Kezaliman sultan dan penderhakaan rakyat sekadar simbolik pada perebutan kuasa dan jawatan dalam pentadbiran negeri. Kisah rakyat biasa yang diwakilkan oleh Dang Anum yang dikatakan dibunuh kerana mengidam seulas nangka sulung seorang raja sekadar gambaran kisah cemburu manusia. Kesahihan peristiwa tersebut masih boleh dipertikaikan. Kisah ini juga boleh dijadikan sempadan dan teladan kepada pemilik takhta dan rakyat jelata, seperti mana ilham Tun Sri Lanang dalam Sulalatus Salatin tentang Tun Jana Katib dengan waadat yang termeterai antara pihak istana dengan golongan marhaen. Dengan kemangkatan baginda sultan, maka bermulalah susur galur pemerintahan bendahara dan kemudiannya kekuasaan temenggung dalam Kesultanan Johor.

Makam Tun Habab.

Para peserta turut menziarahi makam Tun Habab, iaitu Bendahara semasa Zaman Sultan Ibrahim Shah I dan jawatan tersebut diteruskan semasa zaman Sultan Mahmud Shah II. Kemudian baginda dilantik sebagai Sultan Johor selepas kemangkatan Sultan Mahmud Shah II yang tidak meninggalkan waris.

Perjalanan diteruskan ke makam Bendahara Tun Habab yang berdekatan dengan makam Sultan Mahmud. Tun Habab dilantik sebagai bendahara semasa pemerintahan Sultan Ibrahim Shah I (1677-1685) dan khidmatnya diteruskan sehingga pemerintahan Sultan Mahmud Syah II (1685-1699). Nama sebenarnya ialah Tun Abdul Majid Tun Habab, juga dikenali dengan gelaran Habib Padang Saujana. Bendahara Tun Habab ditabalkan sebagai pengganti Sultan Mahmud Syah II kerana kemangkatan baginda tidak meninggalkan pewaris takhta. Bendahara Tun Habab menggunakan gelaran Sultan Abdul Jalil Riayat Syah IV semasa pemerintahannya. Baginda membuka pusat pemerintahan di Kota Tauhid dan kemudian berpindah ke Kampung Panchor.

Lawatan ke kota dan makan Touhid iaitu tempat yang pernah menjadi ibu negeri Johor suatu masa dahulu.

Kembara diteruskan menelusuri makam Kota Tauhid. Beberapa orang ulama yang dilantik sebagai penyebar agama Islam di Johor dan menjadi penasihat agama kepada sultan, dimakamkan di Makam Kota Tauhid. Kota Tauhid merupakan ibu negeri Johor kelapan semasa pemerintah Sultan Abdul Jalil Shah III (1623-1677). Baginda mempunyai hubungan yang rapat dengan Belanda. Baginda membina kota ini daripada batu yang diperkenalkan oleh Belanda pada masa itu. Dikatakan kota ini dibina daripada campuran kulit kerang dan putih telur. Keunikan teknologi binaan kota ini sangat dikagumi. Pada tahun 1642, ibu negeri ini bertukar ke Pasir Raja kerana kawasan ini dilanda wabak penyakit.

Kubur yang terdapat di sini terdiri daripada kubur pembesar-pembesar Johor ketika itu.

Sejurus selesai menziarahi Makam Kota Tauhid, kembara diteruskan ke makam Laksamana Bentan atau dikenali juga dengan nama Megat Seri Rama. Bersebelahan dengan makam Laksamana Bentan ialah makam Dang Anum, isteri kesayangannya. Beberapa makam kecil juga dijumpai di kawasan berdekatan yang dipercayai makam anakanda Laksamana Bentan. Beberapa versi sejarah lisan mengatakan bahawa Laksamana Bentan dan Dang Anum mempunyai seorang anak sebelum Dang Anum berbadan dua sekali lagi semasa mengidam nangka sultan. Sejauh mananya kebenaran ini hanya diketahui oleh Tuhan. Sejarah lisan wajar dijadikan pedoman hidup bagi manusia hidup.

Lawatan ke makan Laksamana Bentan.

Kembara 10 kereta, dua van, sebuah 4WD dan sebuah bas diteruskan ke Kampung Kota Johor Lama. Kampung Kota Johor Lama terletak berdekatan dengan Sungai Johor dan Teluk Sengat. Makam Temenggung Johor terletak di kawasan ini. Makam ini juga dikenali dengan nama Makam Bidan. Terdapat juga makam lain yang tidak dapat dikenal pasti pemiliknya di sekitar Kampung Kota Johor Lama.

Kota Johor Lama merupakan kubu pertahanan terbaik antara kota pertahanan yang dibina sepanjang Sungai Johor. Kota ini dibina pada tahun 1540 semasa zaman pemerintahan Sultan Alauddin Riayat Shah II (1528-1564). Selepas kejatuhan Kesultanan Melaka, Sungai Johor telah dijadikan pusat pemerintahan dan kota pertahanan untuk menyerang balas Portugis di Melaka. Kubu dan benteng pertahanan di sini merupakan benteng semula jadi yang memudahkan pengawasan dibuat terhadap pergerakan keluar dan masuk kapal di perairan Selat Melaka. Dari kawasan ini juga, sayup-sayup kelihatan Kubu Budak yang dikatakan kubu pertahanan bagi menyelamatkan nyawa anak-anak kecil dan kaum wanita. Kubu ini dinamai Kubu Budak kerana binaan kubunya yang diperbuat daripada kepalan pasir pantai telah dibangunkan oleh kanak-kanak yang dilindungi daripada musuh di kawasan kubu berkenaan.

Para peserta turut dibawa melawat ke Muzium Kota Johor Lama di Teluk Sengat, Johor.

Di kawasan ini juga, telah dibina Muzium Kota Johor Lama yang tersimpan pelbagai artifak sejarah termasuklah batu nisan Aceh. Pada setiap ziarah dari makam ke makam, kesemua makam ditandai dengan batu nisan Aceh. Yang membezakannya ialah seni ukir, seni pahat dan saiznya. Keunikan nisan Aceh ini lambang kesenian Islam dalam bidang teknologi binaan nisan. Amat mengagumkan kerana nisan Aceh ini diperbuat daripada batu pasir yang tahan bertahun-tahun lamanya. Makam sultan, raja, pembesar istana dan kerabat diraja sahaja yang ditandai dengan batu nisan Aceh. Ini membuktikan betapa istimewanya hubungan golongan istana dalam dengan kerajaan Aceh pada abad ke-16.

Satu resolusi telah dibentangkan pada sesi akhir Kembara ini dalam slot Bicara Sejarah: Menjejak Makam Nisan Aceh yang dibicarakan oleh Profesor Datuk Dr. Mohammed Hatta, Tuan Haji Kamdi Kamil, Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia, Encik Amad Bahri Mardi, Setiausaha Persatuan Sejarah Kawasan Kota Tinggi dan Prof. Madya Dr. Mohd. Kassim Thukiman, Pensyarah Kanan Universiti Teknologi Malaysia, Johor Bahru. Antara cadangan resolusi Kembara ini ialah mengenal pasti tapak dan lokasi yang berpotensi sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO dan Daftar Warisan Kebangsaan, Jabatan Warisan Negara, serta mengemukakan cadangan untuk mengangkat daerah Kota Tinggi, sebagai tapak Warisan Dunia yang diiktiraf oleh UNESCO.

Impian ini tidaklah mustahil untuk dicapai dengan kerjasama daripada pelbagai pihak dan usaha berterusan untuk memelihara dan menjaga tapak bersejarah ini. Kota Tinggi bukanlah kota peninggalan binaan penjajah seperti Melaka yang meninggalkan A Famosa dan bangunan bersejarah lain yang kukuh berdiri sehingga kini. Kota Tinggi ditinggalkan oleh sejarah terdahulu dengan makam yang menjadi petanda pada setiap manusia yang hidup. Daripada kisah makam dan pemakaman inilah lahirnya tamadun yang unggul yang kesinambungan kesultanannya diteruskan daripada kerajaan Johor Lama sehingga terbinanya peradaban Johor moden yang kini diperintah oleh legasi temenggung di negeri Johor.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044616
    Visit Today : 1037
    This Month : 27215
    Total Visit : 1044616
    Hits Today : 3563
    Total Hits : 4288536
    Who's Online : 15
  • Kategori