Oleh NORLELAWATY HARON

 

Encik Md. Ghani bin Mat

Encik Md. Ghani bin Mat dilahirkan pada 23 Disember 1956 di Pasir Mas, Kelantan. Beliau  mempunyai lima orang adik-beradik yang semuanya terlibat dalam perusahaan batik termasuklah dirinya. Abangnya kini tidak lagi membuat batik manakala adiknya, Johari bin Mat masih aktif membuat batik hingga kini. Kedua-dua ibu bapanya menyara keluarga dengan berniaga di warung. Kini, seorang daripada lima orang anak beliau turut mewarisi kemahiran membuat blok batik ini. Beliau bersekolah dalam aliran Inggeris sehingga darjah enam di SIS Primary School, Pasir Mas. Setelah tamat persekolahan, beliau mengambil keputusan untuk bekerja. Beliau berhijrah ke Kota Bharu dan mula mempelajari kemahiran pembuatan blok batik sejak tahun 1972 iaitu ketika berusia 16 tahun.  Di sana, beliau bekerja dengan seorang pembuat blok batik bernama Mohd. Zin bin Ali di Kampung Lundang selama dua tahun. Pada masa itu, beliau belajar sambil bekerja membuat blok batik yang dihasilkan menggunakan kepingan besi (zink) yang dibeli dari kilang tin di Kota Bharu dengan harga 0.30 sen sekilogram.  Pada tahun 1974, beliau memulakan perusahaan membuat blok batik sendiri dengan membina bengkel di bawah rumah keluarga beliau di Sungai Budor.

Namun begitu, pada tahun 1975 beliau telah mendapat tawaran kerja sebagai pembuat blok dengan seorang pengusaha batik di Singapura. Memandangkan pasaran batik di sana yang agak kurang menentu dan permintaan blok batik yang agak kurang, beliau pulang semula ke Kelantan setelah dua tahun di Singapura dan kembali mengusahakan bengkel blok batik di Sungai Budor. Beliau meneruskan pembuatan blok batik di Sungai Budor sehinggalah pada tahun 2006, beliau telah menerima bantuan bengkel blok batik bertempat di Wakaf Bharu, ihsan dari Kraftangan Malaysia. Selain itu, beliau turut menerima bantuan mesin belt sander dari Kraftangan Malaysia pada tahun 2010. Encik Ghani tiada kemahiran membuat blok dari kayu namun sepanjang pengetahuan beliau, blok kayu digunakan untuk mengecap warna pada kain putih tanpa menggunakan lilin pada sekitar tahun 1940-an. Menurutnya lagi, pada masa itu hasil terapan atau cap dengan menggunakan blok besi adalah lebih halus berbanding dengan blok kayu. Ini kerana blok besi yang dihasilkan pada tahun 1940-an adalah lebih cantik dan kemas untuk digunakan dalam penghasilan batik.

Sejak dahulu hingga kini, para pelanggan beliau terdiri daripada para pengusaha batik dari dalam dan luar negeri Kelantan. Tempahan yang diterimanya sentiasa ada dan tidak putus-putus memandangkan tukang blok kini yang semakin berkurangan. Selain itu beliau turut menerima tempahan daripada jabatan-jabatan kerajaan seperti Kraftangan Malaysia, Jabatan Penjara, Muzium Negeri dan pelbagai lagi. Kini, beliau memperolehi kepingan besi dari kilang tin di Pulau Pinang. Beliau menghasilkan blok batik daripada kepingan besi ataupun tembaga, berdasarkan kepada tempahan pelanggan. Berbanding dengan blok dari kepingan besi, blok batik daripada kepingan tembaga adalah lebih baik kerana sifatnya yang tidak berkarat, tahan lama serta lebih mudah dibaiki sekiranya rosak. Selain itu, kepingan tembaga lebih mudah dibentuk bagi menghasilkan reka corak yang halus dan mampu menyebarkan tenaga haba yang serata bahagian blok setelah dicelupkan ke dalam lilin panas. Melalui pengalaman beliau, tukang cop juga lebih gemar menggunakan blok tembaga berbanding blok besi.

Dari segi penjagaan, blok batik perlu dipastikan sentiasa bersih. Setelah beberapa lama digunakan, blok batik perlu direbus bagi tujuan menghilang kesan-kesan lilin yang terlekat pada permukaan blok. Ini secara tidak langsung dapat menjamin kualiti dan kekemasan terapan pada kain batik.  Selain itu, blok juga tidak boleh didedahkan pada suhu lilin cair yang terlalu panas kerana dikhuatiri boleh mencairkan timah di bahagian pateri.  Selain daripada menghasilkan blok, beliau juga sering diminta membaiki blok batik lama yang telah rosak.  Antara kerosakan yang biasa berlaku kepada blok batik ialah permukaan blok yang berkarat, permukaan tidak rata dan bahagian pateri yang tertanggal.   Blok tembaga lebih mudah dibaiki kerana sifatnya yang tahan lama berbanding blok besi yang lama-kelamaan akan berkarat dan menyebabkan blok tersebut tidak dapat dipateri semula.

Jika hendak dibandingkan antara blok batik yang dihasilkan oleh tukang blok tempatan dengan blok batik dari Indonesia, blok dari Indonesia lebih tegap, kuat dan tahan lama kerana bahagian cantuman blok dipateri dengan menggunakan tembaga manakala blok batik tempatan dipateri dengan hanya menggunakan timah. Beliau menghasilkan blok berdasarkan reka corak yang diminta oleh para pelanggan. Biasanya, beliau mampu menyiapkan blok batik yang bercorak mudah dalam tempoh masa satu hari dan blok batik yang bercorak rumit biasanya paling lama menjangkau hingga tempoh satu minggu. Antara corak tradisional blok batik ialah pucuk rebung, bunga-bungaan, daun-daunan dan abstrak manakala corak moden ialah bangunan KLCC, Menara Kuala Lumpur dan pelbagai lagi. Selain daripada menghasilkan blok batik yang menampilkan corak tradisional, moden, tulisan khat dan logo, beliau turut menghasilkan blok batik berbingkai bagi kegunaan cenderamata korporat serta perhiasan dinding.

En Md Ghani memberikan tunjuk ajar semasa latihan asas membuat blok di bengkelnya.

Kemahiran membuat blok batik ini telah diturunkan kepada anak beliau, Mohd. Erri Azri yang kini berusia 24 tahun. Anaknya merupakan bekas pelajar Institut Kraf Negara dalam bidang batik. Memandangkan kini anaknya telah mula bekerja di Pos Malaysia di Selangor, anaknya hanya dapat membantu beliau menyiapkan tempahan para pelanggan di bengkel beliau ketika pulang bercuti. Antara keistimewaan Encik Ghani ialah beliau telah mencipta beberapa inovasi bagi memudahkan kerja-kerja pembuatan blok seperti penggunaan mesin giling sotong kering dalam menghasilkan kepingan sumbat (jalur-jalur halus yang diletakkan ke dalam corak bagi tujuan menebalkan corak tersebut apabila dicop pada kain). Kepingan besi digiling bagi menghasilkan kesan gerigi sebelum digunting halus lalu disumbatkan ke dalam corak yang hendak dipenuhkan bagi mendapatkan kesan lilin yang tebal apabila dicop. Inovasi ini dicipta pada tahun 2006 dan idea ini diperolehi sebaik sahaja bengkel ini siap dibina.

Tidak terhad bagi tujuan mengecop batik, beliau turut menghasilkan blok tanpa pemegang serta dibingkaikan untuk dijadikan cenderamata eksklusif.  Dengan menggunakan saduran emas, blok ini turut sesuai dijadikan cenderamata untuk golongan VIP kerana logamnya yang bersinar dan berkilau. Membuat penyambungan antara semawar yang dirantai dengan pemetik api serta tin gas bagi tujuan memudahkan kerja memateri tanpa perlu bangun mendapatkan pemetik api dan tin gas. Penggunaan cermin lutsinar bagi memeriksa permukaan bawah blok agar benar-benar rata dan seimbang. Melekatkan kepingan bunga pada blok yang telah dibentuk di atas sekeping plastik jernih dengan menggunakan pita pelekat dua muka (double sided tape) agar tidak bergerak dan senang dibawa ke mana-mana terutamanya untuk aktiviti demonstrasi kraf.

Biasanya Encik Ghani menyiapkan blok dalam tempoh satu hari bagi blok yang mudah manakala blok yang rumit memakan masa hingga satu minggu. Seiring dengan masa, harga blok batik meningkat setiap tahun.  Sekitar tahun 1970-an, sebuah blok batik tembaga bercorak biasa dijual dengan harga RM30 sebuah, meningkat kepada RM60–RM70 sebuah dan menjangkau melebihi RM100 kini. Sepanjang pengalaman beliau menghasilkan blok, antara penghasilan blok yang paling rumit ialah blok bercorak kain songket dengan pucuk rebung yang ditempah oleh Kraftangan Malaysia. Beliau mengenakan bayaran sebanyak RM500 untuk menyiapkan blok batik tersebut. Komitmen dan kerjasama yang dijalin dalam usaha memartabatkan industri serta warisan blok batik dapat dilihat melalui beberapa program anjuran Kraftangan Malaysia seperti menjadi Pengajar Kursus Jangka Pendek Bidang Blok Batik dan Skim Perantisan Kraf Warisan anjuran Kraftangan Malaysia.  Beliau juga sering dijemput menyertai aktiviti demonstrasi pembuatan blok batik, menjadi pengajar di bengkel-bengkel blok batik dan panel program bual bicara berkaitan blok batik anjuran Kraftangan Malaysia. Bagi menghargai sumbangan tersebut Kraftangan Malaysia telah melantik beliau sebagai Adiguru Kraf Blok Batik oleh pada tahun 2011.

Cetusan ilham diterjemahkan kepada hasil seni yang indah. Keindahan seni kraf dengan berbagai rupa dan dihiasi dengan ragam hias serta falsafah mendapat kedudukan yang tinggi pada suatu ketika dahulu. Ilham dan kerajinan tangan adalah kemahiran tukang-tukang kraf bagi mencanai dan menempa ciptaan. Tukang-tukang kraf mahir ini suatu ketika dahulu dinaungi oleh pihak istana dan para pembesar Melayu. Hasil kraf pada ketika itu turut dijadikan sebagai pengukur kepada status masyarakat Melayu.

Kemahiran tukang-tukang kraf mendapat pengiktirafan dari Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia melalui Skim Adiguru Kraf (PKKM 2007). Pengiktirafan ini adalah antara usaha Kraftangan Malaysia untuk memastikan kesinambungan kraf warisan dapat dinikmati, dihayati dan dipelajari oleh generasi akan datang. Pihak Kraftangan Malaysia mengenalpasti tukang-tukang kraf dalam pelbagai bidang dari seluruh negara mengikut kriteria dan syarat yang ditetapkan bagi menerima pengiktirafan. Anugerah kepada tukang-tukang kraf mahir mula diperkenalkan pada tahun 1987 dan sehingga kini telah lebih dari 38 orang adiguru dari pelbagai bidang kraf telah diberi pengiktirafan. Adiguru yang dilantik merupakan tukang-tukang kraf yang telah menunjukkan keterampilan dan kewibawaan dalam meningkat serta mengembangkan seni kraf yang dikuasainya. Adiguru yang dipilih juga mempunyai kepakaran yang tinggi, kreatif dan inovatif serta mempunyai ketokohan dan kepimpinan dalam memartabatkan seni kraf warisan.

Encik Md. Ghani tiga dari kiri bersama-sama dengan penerima adiguru daripada pelbagai bidang semasa Majlis Penyerahan Watikah Adiguru Kraf 2011.

Tokoh Adiguru dalam bidang kraftangan blok batik di Malaysia telah diterima oleh Encik Md. Ghani Bin Mat. Bapa kepada lima orang anak ini memulakan kerjaya sebagai pembuat kraftangan blok batik sejak berumur 21 tahun. Pada permulaan menceburi bidang ini, En Md Ghani mempelajari kemahiran membuat blok batik dengan menghadiri kursus di Lundang, Kota Bharu Kelantan. Dalam setiap penghasilan blok batik, beliau sering mengguna dan mengubah reka corak yang berunsurkan motif flora untuk disesuaikan mengikut kehendak dan cita rasa pelanggan.

Blok batik yang dihasilkan oleh En Md Ghani adalah ekslusif, di mana blok batik yang direka itu pernah diguna semasa pameran batik sempena Pertandingan Piala Seri Endon bertempat di PWTC Kuala Lumpur. Di samping itu, beliau juga menghasilkan blok batik yang dijual kepada pihak atau individu tertentu untuk tempahan khas seperti tempahan dari Yayasan Budi Penyayang. Selain itu, En Md Ghani juga menerima tempahan dari phak Karyaneka bagi untuk memasarkan blok tersebut kesemua cawangan di seluruh negara. Sehingga kini, beliau banyak menerima tempahan blok batik rekaan baru dari Kraftangan Malaysia bagi tujuan pembangunan rekaan blok batik.

Karya dan ciptaan beliau sentiasa menjadi ikutan atau contoh dalam kalangan tukang kraf blok batik di sekitar negeri Kelantan khusunya. Produk beliau dikagumi kerana berkualiti dan kemas. Kini beliau merupakan seorang tukang kraf blok batik yang tersohor dalam kalangan pembatik di negeri Kelantan. Sepanjang menceburi petukangan kraf blok batik, En Md Ghani telah berjaya menubuhkan sebuah bengkel dengan lima orang tenaga kerja hasil dari Kraftangan Malaysia. Lihat gambar 4.52. En Mohd Ghani menurunkan ilmu kemahiran tersebut kepada dua orang anak beliau dan mengajar cara-cara untuk membuat blok melalui kursus Latihan Jangka Pendek Blok Batik.

Sumbangan beliau dalam pembangunan industri kraf negara adalah dengan menyertai demostrasi pembuatan kraf blok batik dalam program Piala Seri Endon pada tahun 2007 anjuran Yayasan Budi Penyayang, selain itu, beliau juga dilantik sebagai tenaga pengajar dan juru demo bagi program pembangunan usahawan anjuran Kraftangan Malaysia di bawah skim Perantisan Kraf Warisan dari tahun 2006. En Mohd Ghani menjadi pakar rujuk dalam kalangan tukang kraf blok batik dan pembatik setempat yang baru menceburi bidang kraf batik. Beliau merupakan seorang yang berusaha menambah ilmu dari semasa ke semasa bagi meningkatkan kemahiran dalam menghasilkan blok batik ciptaannya.

Walaupun begitu, beliau selalu membuat rujukan ke atas setiap bahan bacaan yang diperoleh  terutamnya berkaitan blok batik bagi mendapatkan ilham corak baru dan terkini. Antara faktor utama yang mendorong beliau supaya terus berada dalam industri seni ini adalah kerana beliau mahu meamstikan seni pertukangan tradisional ini menjadi salah satu seni yang dikenali dan dihargai dalam kalangan masyarakat khususnya masyarakat Melayu. Selain itu, beliau bergiat aktif dalam setiap aktiviti kemasyarakatan yang dianjurkan oleh penduduk setempat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014786
    Visit Today : 815
    This Month : 34131
    Total Visit : 1014786
    Hits Today : 3135
    Total Hits : 4139937
    Who's Online : 14
  • Kategori