OLEH NURUL JULIA ALANI HENRY

Sasterawan Negara A. Samad Said mendeklamasikan sajak bertajuk “Suara dari Dinding Dewan”.

Majlis Sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-63 disambut sehari lebih awal, iaitu pada 21 Jun 2019 bertempat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Wisma DBP. Majlis ini diserikan dengan kehadiran Yang Berhormat, Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik. Beberapa acara dan program telah disusun sebagai pengisian sambutan ulang tahun DBP, antaranya termasuklah pameran, pelancaran penerbitan digital dan penandatanganan memorandum persefahaman dan surat hasrat. Majlis sambutan ini turut diserikan dengan deklamasi puisi yang bertajuk “Suara dari Dinding Dewan” oleh Sasterawan Negara Dato’ Seri Dr. A Samad Said.

Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg. Shokeran dalam ucapannya mengatakan bahawa DBP kini giat mengadakan program dan gerakan baharu dengan memanfaatkan sepenuhnya tiga sayap utamanya, iaitu bahasa, sastera dan penerbitan. Usaha ini penting bagi DBP untuk memenuhi matlamat penubuhannya untuk membina dan mengembangkan bahasa dan persuratan Melayu. Menurut beliau lagi, dalam mendepani cabaran semasa, sambutan ulang tahun DBP pada kali ini mendukung aspirasi peremajaan pendigitalan dan pengantarabangsaan DBP demi kelangsungan kewujudannya.

Sebelum mendengar ucapan perasmian sambutan ulang tahun DBP ke-63 oleh Dr. Maszlee Malik, para tetamu yang memenuhi Balai Budaya Tun Syed Nasir dipersembahkan dengan tayangan video bertajuk “DBP dalam Era Malaysia Baharu”.

Ucapan perasmian oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan Malaysia, Dr. Maszlee Malik.

Yang Berhormat Dr. Maszlee Malik dalam ucapannya berkata, DBP perlu melakukan penjenamaan semula bagi memastikan organisasi itu kekal diiktiraf sebagai satu-satunya badan pengawal dalam segala hal ehwal yang berkaitan dengan penggunaan bahasa kebangsaan. Hal ini termasuklah bagi semua urusan rasmi, dokumen rasmi dan penerbitan yang dilakukan oleh semua kementerian, agensi kerajaan, separa kerajaan, dan badan berkanun di seluruh negara. “Kewibawaan DBP, terutama berkaitan dengan pembudayaan penggunaan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di negara ini juga perlu terus diperkukuh. Atas dasar ini, penjenamaan semula DBP adalah mustahak dan perlu dijelmakan segera selaras dengan sejarah baharu Malaysia yang tercipta sejak Mei 2018”, demikian kata beliau. Jelasnya lagi, adalah menjadi kewajipan DBP untuk berubah dalam suasana Malaysia baharu. “Saya yakin di bawah pimpinan hari ini, DBP akan melakukan penjenamaan baharu ini dalam masa terdekat. Kakitangan DBP dari peringkat atasan dan bawahan di seluruh negara perlu melalui perubahan minda dan roh perjuangan. Kita tidak boleh lagi melihat kewujudan di DBP sebagai pekerja semata-mata sebaliknya merasakan diri sebagai pejuang nusa dan watan demi memastikan bahasa Melayu serta kemelayuan tetap utuh sepanjang zaman”.

Pelancaran buku dan majalah digital oleh Dr. Maszlee Malik.

Sempena sambutan ulang yang ke-63, DBP turut melancarkan penerbitan buku dan majalah digital. Hingga kini, DBP telah menerbitkan lebih daripada 500 judul digital termasuk majalah, kamus dan ensiklopedia. Sebanyak 11 judul majalah terbitan DBP kini memasuki era digital, antaranya majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Sastera dan Tunas Cipta. Buku, majalah digital DBP dan buku interaktif boleh diperoleh dalam portal E-Sentral dan Google Play.

Dr. Maszlee Malik menyaksikan penandatanganan MoU antara DBP dengan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY).

Dalam majlis yang sama juga, DBP menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Majlis Buku Kanak-kanak dan Remaja Malaysia (MBBY). Selain itu, DBP juga menandatangani surat hasrat dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia. Acara penandatanganan kerjasama ini disaksikan oleh Dr. Maszlee Malik bersama-sama Dato’ Kamel Mohamad, Timbalan Ketua Setiausaha Perancangan Strategik, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Mohd Azhan Md. Amir, Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, KPM.

DBP menandatangani surat hasrat dengan Persatuan Kebudayaan Han Malaysia.

Beberapa orang Sasterawan Negara turut hadir bagi meraikan hari yang bersejarah ini antaranya Sasterawan Negara Dato Seri Dr. A. Samad Said, Dato’ Baha Zain, Dato’ Dr. Anwar Ridhwan, Dato’ Dr. Kemala, Profesor Emeritus Dr. Muhamamd Haji Salleh dan Datuk Dr. Zurinah Hassan. Yang menariknya, Dr. Maszlee Malik turut menyentuh hal berkaitan kebajikan dan insentif untuk Sasterawan Negara. “Kebajikan Sasterawan Negara perlu dijaga dan saya akan mengatur pertemuan dengan Kementerian Kewangan bersama-sama dengan semua Sasterawan Negara. Tujuannya supaya Kementerian Kewangan dapat memberikan dan menyalurkan sumbangan kepada Sasterawan Negara berkaitan dengan kebajikan mereka. Kita yakin bahawa tonggak sebuah negara itu ialah identiti dan identiti ialah budaya. Berkaitan hal ini, Sasterawan Negara ialah pejuang bahasa dan budaya yang perlu diberikan penghargaan,” demikian kata beliau dalam sidang media selepas merasmikan Sambutan Ulang Tahun DBP ke-63 di Wisma DBP.

Para tetamu yang hadir turut berpeluang melihat pameran penerbitan digital yang diadakan sempena Sambutan Ulang Tahun DBP ke-63.

Terdahulu daripada itu, Dr. Maszlee Malik dalam ucapannya berkata, Sasterawan Negara perlu diberikan elaun oleh mana-mana universiti yang menjadikan Sasterawan Negara sebagai sasterawan tamu. “Universiti telah melakukan satu lonjakan yang begitu besar, iaitu mengambil Sasterawan Negara sebagai sasterawan tamu. Akan tetapi, saya tidak pasti sama ada universiti berkenaan memberikan elaun atau tidak kepada sasterawan ini. Oleh itu, saya menyeru semua universiti agar memberikan elaun bulanan kepada Sasterawan Negara sebagai penghargaan atas khidmat mereka sebagai sasterawan tamu.” Selain Sasterawan Negara, yang turut hadir dalam majlis ini ialah Ahli Lembaga Pengelola DBP seperti Dato’ Ilani Mohamad Ibrahim, Profesor Dato’ Dr. Harlina Siraj dan Dato’ Goh Hin San.

Dr. Maszlee Malik melihat buku terbitan DBP yang dipamerkan sempena sambutan ulang tahun DBP ke-63.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035943
    Visit Today : 721
    This Month : 18542
    Total Visit : 1035943
    Hits Today : 2786
    Total Hits : 4248876
    Who's Online : 6
  • Kategori