Oleh MOHD RUSDI MAT RAKIB

MALAYSIA merupakan negara yang kaya dengan budaya dan bahasa ibunda yang mencerminkan identiti dan jati diri masyarakatnya. Antara yang sering dikaitkan dengan hal ini ialah bahasanya seperti bahasa orang asli, bahasa daerah dan bahasa sukuan Sabah dan Sarawak yang sering dituturkan oleh nenek moyang kita dahulu hingga ke hari ini. Namun, bahasa-bahasa tersebut kian dilupakan oleh generasi hari ini yang menganggap bahasa tersebut mundur dan tidak bersifat global.

Oleh itu, atas keprihatinan dan rasa tanggungjawab terhadap perkara ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan Suruhanjaya UNESCO Malaysia (SKUM) telah melaksanakan Program Melestarikan Bahasa Sukuan dan Bahasa Daerah yang berkonsepkan penyelidikan bahasa di lapangan. Program yang bermula sejak tahun 2014 hingga kini bertujuan untuk mengumpulkan dan mendokumentasikan bahasa ibunda agar bahasa ibunda tersebut dapat dipelihara sebagai warisan jati diri bangsa serta tidak pupus ditelan zaman, dan seterusnya dapat dihayati oleh semua golongan masyarakat terutama generasi akan datang.

Peserta dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan kecil.

Peserta dibahagikan ke dalam beberapa kumpulan kecil.

Objektif program ini adalah untuk memelihara bahasa tempatan sebagai warisan jati diri bangsa, di samping memberikan pendedahan kepada para peserta tentang kaedah penyelidikan leksikal (kata) yang betul. Umumnya kita mengetahui bahawa generasi masa kini kurang didedahkan dengan bahasa jati atau bahasa sukuan yang diwarisi daripada keluarga yang terdahulu. Kebanyakan daripada mereka lebih mudah untuk bertutur dalam bahasa standard atau bahasa asing berbanding dengan bahasa jati keturunan mereka. Kesannya, bahasa jati atau bahasa sukuan tersebut tidak dapat diperluas kepada generasi kini dan akhirnya mengalami kepupusan. Perkara seperti inilah yang membimbangkan pengamal dan penutur jati sesuatu bahasa tersebut. Oleh itu, dengan adanya program seperti ini dapat memberikan peluang kepada generasi muda untuk mengenali dan mendalami bahasa sukuan dan bahasa daerah yang menjadi warisan turun-temurun.

Lima kaedah pelaksanaan dijadikan asas panduan dalam program ini, iaitu kursus pralapangan, aktiviti di lapangan, perbincangan dan penginputan data, pengaplikasian dan lawatan sambil belajar.

Kursus Pralapangan

Perbincangan dalam kumpulan yang dibantu oleh fasilitator.

Perbincangan dalam kumpulan yang dibantu oleh fasilitator.

Kaedah ini memberikan tumpuan kepada teori asas dalam penyelidikan di lapangan. Antaranya termasuklah prinsip dan strategi menjalankan penyelidikan di lapangan, kaedah merakam dan mentranskripsikan data, dan menginput data ke dalam sistem Gerbang Kata. Kursus ini disampaikan oleh seorang pembimbing program yang dilantik oleh DBP. Pembimbing program ini dipilih dalam kalangan pakar bidang dari universiti tempatan yang mempunyai kemahiran khusus dalam bidang fonetik dan leksikologi.

Aktiviti di Lapangan

Para peserta bersama informan bagi tema seni bina.

Para peserta bersama informan bagi tema seni bina.

Kaedah ini memberikan tumpuan terhadap latihan mengumpul data leksikal di lapangan daripada informan.Kaedah pengumpulan data leksikal mengikut aktiviti dan pengumpulan data mengikut tema sosiobudaya dan kearifan setempat digunakan dalam aktiviti ini. Para peserta dibahagikan kepada beberapa kumpulan dengan dipimpin oleh seorang atau dua orang fasilitator bagi setiap kumpulan.Pengumpulan data adalah mengikut senarai kata yang disediakan berdasarkan sistem tematik seperti tema kebudayaan, adat resam, flora dan fauna, pertalian kekeluargaan dan sebagainya. 

Perbincangan dan Input Data

Seterusnya, data leksikal yang berjaya dikutip akan disenaraikan, memberikan maklumat kata (seperti makna padanan, contoh ayat), membuat perbincangan tentang masalah yang timbul, dan menginput data ke dalam sistem Gerbang Kata DBP. Setiap kumpulan juga mempersembahkan hasil dapatan mereka daripada aktiviti di lapangan dan dinilai oleh pembimbing program.

Contoh data leksikal yang dikutip mengikut tema “adat resam”.

BAHASA JAHAI FONETIK BAHASA MELAYU
aben abən cantik
ajoi ajͻi pisang
bom bͻm kawan
cebak cəbaɂ bukit
ceh cəh tebang

Pengaplikasian

Kaedah ini memfokuskan pengaplikasian ilmu yang diperoleh seperti bahasa yang dikaji di lapangan dan seterusnya diterapkan melalui persembahan seperti sketsa dan tradisi lisan (bercerita, berpantun, bersyair, bergurindam dan bersajak). Melalui persembahan ini, para peserta dapat mendekatkan diri dengan masyarakat setempat sekali gus membina hubungan silaturahim. Pastinya mereka berasa bangga apabila bahasa dan budaya mereka dihargai.

Peserta mempelajari permainan muzik tradisional daripada penduduk kampung.

Peserta mempelajari permainan muzik tradisional daripada penduduk kampong.

Lawatan Sambil Belajar

Kaedah ini memberikan peluang kepada para peserta untuk mengamati keunikan aktiviti masyarakat tempatan atau melawat tempat-tempat yang memberikan pengalaman menarik kepada para peserta tentang kekayaan khazanah tempatan. Para peserta juga diberikan pendedahan tentang sejarah dan asal usul tempat-tempat yang dilawati.

Peserta dibawa melawat ke tempat bersejarah.

Peserta dibawa melawat ke tempat bersejarah.

Kesimpulannya, program ini telah berjaya memberikan pendedahan kepada peserta tentang kepentingan memelihara budaya dan warisan masyarakat setempat di Malaysia selaras dengan peranan UNESCO di samping menerapkan ilmu (ilmu linguistik) dan pengalaman (kajian bahasa di lapangan) yang diperoleh dalam usaha mendokumentasikan bahasa ibunda masing-masing secara khususnya, dan bahasa Melayu secara umumnya. Kita sebagai rakyat Malaysia haruslah berasa bangga terhadap khazanah bahasa yang ditinggalkan oleh nenek moyang kita. Hilang bahasa, hilang budaya maka hilanglah jati diri negara bangsa.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013957
    Visit Today : 1220
    This Month : 33302
    Total Visit : 1013957
    Hits Today : 4646
    Total Hits : 4136751
    Who's Online : 12
  • Kategori