Oleh NURUL JULIA ALANI HENRI

PADA 29 Oktober 2018, berlangsungnya majlis perasmian Anjung DBP oleh Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Profesor Dr. Mohamed Hatta Shaharom. Anjung DBP yang terletak di Aras Lantai Menara DBP ini terdiri daripada tiga komponen, iaitu kedai buku, kafe buku dan kaunter pengesahan bahasa. Selain kedai buku yang berada di Anjung DBP ini, kedai buku DBP juga terletak di tiga lokasi sedia ada, iaitu di Kompleks DBP Hulu Kelang, DBP Cawangan Sarawak dan DBP Cawangan Sabah.

Perasmian Anjung DBP turut dihadiri oleh barisan Ahli Lembaga Pengelola DBP yang baharu.

Selain menjual buku dan majalah terbitan DBP, kedai buku baharu yang berkonsepkan santai dan moden ini menyediakan kemudahan seperti ruang aktiviti untuk kanak-kanak dan ruang membaca untuk pengunjung menelaah bahan bacaan yang boleh dibaca secara percuma di situ. Terdapat juga ruang untuk melaksanakan kegiatan bahasa dan sastera, seperti bicara buku, pelancaran buku, deklamasi puisi dan berforum atau berpidato. Kafe buku pula memberikan tambah nilai kepada Anjung DBP kerana para pengunjung, terutama pelanggan kaunter pengesahan bahasa, boleh menjamu selera sementara menunggu giliran mereka dilayan oleh pegawai yang bertugas di kaunter itu.

Semasa berucap merasmikan Anjung DBP, Profesor Dr. Mohamed Hatta berkata bahawa kewujudan Anjung DBP ini melengkapkan fungsi DBP yang dianggap seperti sebuah pesawat besar yang membawa misi penting untuk pemartabatan bahasa dan sastera kebangsaan. Profesor Dr. Mohamed Hatta juga berharap agar dengan adanya Anjung DBP, organisasi ini akan melaksanakan perkhidmatan yang terbaik untuk memenuhi keperluan masyarakat yang sayang akan bahasa Melayu, cinta akan sastera kebangsaan, dan minat membeli buku atau majalah terbitan DBP. Melalui usaha ini juga, tidak mustahil DBP boleh menjadi seperti British Council yang berjaya mengembangkan bahasa Inggeris ke lebih 100 buah negara di seluruh dunia.

Profesor Dr. Mohamed Hatta menandatangani bingkai besar sebagai gimik pelancaran Anjung DBP.

Menurut Pengurus Bahagian Pemasaran dan Pengedaran DBP, Azhar Mohd. Dora, pembukaan Anjung DBP ini bertepatan dengan hasrat untuk mengisi agenda Dekad Membaca Kebangsaan dan Dekad Bahasa Kebangsaan. Kewujudan Anjung DBP yang dilengkapi kedai buku ini juga selaras dengan pengiktirafan Kuala Lumpur sebagai Ibu Kota Buku Dunia pada tahun 2020 kerana lokasinya yang terletak di Kuala Lumpur. Secara tidak langsung juga, kedai buku DBP ini akan melahirkan generasi yang minat membaca dan masyarakat yang berilmu pengetahuan tinggi.

Yang menariknya, majlis perasmian Anjung DBP ini turut dihadiri oleh ahli Lembaga Pengelola DBP yang baharu. Sebaik sahaja selesai memberikan ucapan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP memperkenalkan ahli Lembaga Pengelola yang hadir dalam majlis ini, iaitu Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, Datuk Seri Borhan Dolah, Dato’ Dr. Hussamuddin Haji Yaacob, Datuk Haji Hashim Paijan, Profesor Madya Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin, Profesor Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar, Dato’ Goh Hin San, Profesor Dr. Harlina Halizah Siraj@Ramli dan Puan Norhana Abdul Aziz. Dengan kehadiran ahli Lembaga Pengelola yang baharu itu, Profesor Dr. Mohamed Hatta berharap agar mereka sama-sama berganding bahu dan bersatu hati untuk membuat perubahan yang berani supaya DBP kembali menjadi institusi yang disegani oleh masyarakat sama ada di dalam atau pun di luar negara.

Pengerusi dan Ahli Lembaga Pengelola DBP dibawa melihat buku dan majalah yang dijual di kedai buku baharu DBP.

Dalam hal ini, Profesor Dr. Mohamed Hatta menyatakan, “Kita tidak seharusnya menggunakan orang yang sama, melaksanakan sistem kerja yang sama dan memberikan hasil yang sama. Kita harus melakukan transformasi, iaitu mengubah mentaliti orang yang sama dan mengubah sistem kerja yang sedia ada untuk memberikan hasil yang terbaik.” Beliau juga mengajak ahli Lembaga Pengelola untuk bersama-sama “mengeluarkan nanah” yang sudah sekian lama berada di dalam jasad DBP dan berharap mereka akan dapat “membuang nanah” yang mengganggu DBP untuk melaksanakan fungsinya dengan lebih berkesan.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) DBP, Kamarul Zaman Shaharudin menjelaskan satu daripada buku mewah terbitan DBP kepada Ahli Lembaga Pengelola DBP.

Acara kemuncak perasmian Anjung DBP ini ialah penandatanganan bingkai besar oleh Profesor Dr. Mohamed Hatta, yang disaksikan oleh Ketua Pengarah, Datuk Haji Abdul Adzis Abas, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Datuk Haji Abang Sallehuddin Abg. Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi), Kamarul Zaman Shaharudin dan Azhar Mohd. Dora.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1015013
    Visit Today : 1042
    This Month : 34358
    Total Visit : 1015013
    Hits Today : 5592
    Total Hits : 4142394
    Who's Online : 10
  • Kategori