Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

TEATER misteri muzikal Lajang Peraja diadaptasikan daripada puisi yang bertajuk “Rambut Panjang Sebelah” yang membawa maksud wanita yang bernasib malang. Teater nukilan Fello Penyelidik Kanan Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), Dr. Ahmad Zairy Mohd Soieb, yang diarahkan oleh Firdaus Abdul Latif dipentaskan di Suasar Pualam, Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada 6 Disember 2018.

Pementasan teater ini dianjurkan bersama oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Persatuan Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PPTD), Istana Budaya, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan pelbagai agensi lain. Para pelakon dan kru produksi teater ini seramai 150 orang datang daripada 31 agensi kerajaan, badan berkanun, dan pihak berkuasa tempatan yang bernaung di bawah JPA, pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) turut menjayakan pementasan Teater Lajang Peraja ini.

Teater ini berkisarkan kehidupan masyarakat di Pulau Besar, Melaka, yang dahulunya dikenali sebagai Pulau Air atau Wu Shu oleh pedagang China pada abad ke-14. Masyarakat pulau ini berpegang kuat pada kepercayaan animisme dan mengamalkan budaya khurafat. Ilmu hitam, membela saka, dan berdamping dengan makhluk halus merupakan amalan penduduk pulau ini. Penderaan, penganiayaan dan sumbang mahram dihalalkan bagi memuaskan nafsu sesetengah pihak. Pihak berkuasa boleh menjatuhkan hukuman bunuh sesuka hati tanpa usul periksa dan percaya pada saksi palsu.

Kedatangan pedagang Arab ke Pulau Besar untuk menyebarkan Islam gagal untuk mengubah persepsi masyarakat terhadap amalan nenek moyang mereka yang telah bertapak sekian lama. Ada penduduk yang mula menerima ajaran Islam, namun ada yang menentang sehingga berlaku konflik berdarah di pulau itu. Mereka yang menentang ajaran Islam yang dibawa oleh Imam Arif telah bertindak membunuh semua anak imam tersebut tanpa belas kasihan. Budaya khurafat dan pemujaan menjadikan mereka saling berdendam. Kerana dendam Mak Imah terhadap anak tirinya Nilam, dia sanggup menyuruh orang suruhannya membunuh sahabat Nilam yang tidak berdosa.

Pementasan teater ini berkonsepkan teater puisi tari yang menampilkan dua budaya, iaitu masyarakat di Tanah Melayu dan masyarakat di negara Arab. Antara watak utama yang mendukung teater ini ialah Inang Sih, Siti, Chik Kah, Yunus, Bujang, Nilam, Bidara, Imam Arif dan Hang Kasturi. Persembahan teater ini begitu menarik kerana hampir 50 peratus daripada dialog yang dituturkan berteraskan puisi tradisional, iaitu peribahasa Melayu. Antara peribahasanya ialah takut akan lumpur, lari ke duri, atap rumbia, perabung upih, menggenggam erat membuhul mati, melukut tinggal, sekam melayang, inai tertepung, kuku tertanggal, dada hangus, dan membuang mata. Keindahan kata dalam peribahasa ini dapat mengungkapkan semangat perjuangan hidup dan menonjolkan kekayaan kosa kata bahasa Melayu yang menjadikan teater ini begitu menarik.

Teater Lajang Peraja dipentaskan untuk mengutip derma bagi membantu masyarakat luar bandar dan orang asli. Pementasan teater sehari ini melibatkan dua sesi, iaitu sesi petang untuk kakitangan awam dan sebelah malamnya kepada orang awam. Pementasan teater ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada kira-kira 1500 orang penonton yang hadir menyaksikannya walaupun mereka dikenakan bayaran.

Tetamu kehormat yang hadir menyaksikan pementasan teater ini ialah Tun Dr. Siti Hasmah Mohamad Ali, iaitu isteri Perdana Menteri , dan isteri menteri yang lain. Wakil pengurusan DBP yang turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), Datuk Abang Salehuddin Abang Shokeran, Pengarah Pengembangan Bahasa dan Sastera, Datuk Padilah Ali, dan Pengarah Dasar dan Penyelidikan, Dr. Hanafi Ibrahim. Artis veteran Uji Rashid, anaknya Ciko, dan beberapa orang artis tempatan juga hadir bagi menyaksikan persembahan teater tersebut.

Pementasan yang berlangsung selama tiga jam setengah ini begitu menghiburkan dan sarat dengan nilai positif bagi memberikan kesedaran kepada masyarakat. Elemen bahasa yang menarik disulami unsur sejarah menjadikan teater ini begitu unik. Program sebegini dapat mencungkil bakat baharu dalam kalangan penjawat awam yang berbakat dalam dunia pementasan teater.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044922
    Visit Today : 1343
    This Month : 27521
    Total Visit : 1044922
    Hits Today : 5066
    Total Hits : 4290039
    Who's Online : 6
  • Kategori