PERLUMBAAN motosikal Grand Prix di Sepang pada 4 November 2018 yang lalu merakamkan drama yang tersendiri. Valentino Rossi yang sedang mendepani perlumbaan terjatuh pada tiga pusingan terakhir, lalu Marc Marquez yang mengekorinya dari awal perlumbaan, muncul juara acara berprestij berkenaan.

Yang ingin disentuh dalam tulisan ini bukanlah perjalanan perlumbaan dalam kepanasan matahari petang pada 33°C itu. Mungkin tidak ramai yang menyedari pada pakaian pelumba dan jentera lumba terpapar ungkapan dalam bahasa Melayu. Hal ini merupakan sesuatu yang luar biasa terutamanya dalam acara sukan permotoran nombor satu dunia.

Pakaian dan jentera kebanyakan pelumba utama menyelitkan beberapa ungkapan dalam bahasa Melayu mengiringi jenama penaja. Antara yang jelas kelihatan ialah “Nyalakan Nyali”, “Semakin di Depan” dan “Satu Hati”. Nyali ialah dialek Jakarta yang bermaksud “keberanian”.

Berdasarkan carian dalam internet, ungkapan slogan bahasa Melayu itu bermula di Indonesia dan terpapar sejak lima tahun lepas. Ternyata negara berkenaan ada keinginan dan iltizam untuk memartabatkan bahasa kebangsaan pada peringkat antarabangsa.

Terbukti bahawa bahasa Indonesia/Melayu mempunyai nilai ekonomi yang tersendiri. Hal ini menyanggah pendapat umum bahawa bahasa Melayu hanya layak digunakan untuk bidang-bidang seperti sastera, agama dan seumpamanya semata-mata.

Malaysia wajar mengutip teladan daripada perkara di atas. Kita lupakan tanggapan bahawa bahasa Melayu tidak sesuai untuk menyatakan hal ekonomi dan seumpamanya. Indonesia sudah melakukannya, sesuai dengan perumpamaan, “hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih”.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044799
    Visit Today : 1220
    This Month : 27398
    Total Visit : 1044799
    Hits Today : 4506
    Total Hits : 4289479
    Who's Online : 5
  • Kategori