Oleh MOHD. NOOR JABAR

PENGURUSAN di Malaysia: Dari Perspektif Islam, buku tulisan Azman Che Omar, terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini mengandungi 12 bab. Buku ini memaparkan dan membincangkan konsep asas dan teori yang  merangkumi aspek-aspek penting dalam pengurusan seperti kemahiran dan peranan pengurus, evolusi perkembangan pengurusan, organisasi, kepimpinan, motivasi dan kawalan berdasarkan contoh-contoh budaya tempatan dan kepentingan komunikasi dalam amalan pengurusan.

Bagi tujuan perkongsian ilmu, ada beberapa topik penting untuk diaplikasikan dalam tugas-tugas seharian sebagai seorang pengurus Islam yang boleh difikirkan bersama.

Pengurusan dari segi Islam boleh ditakrifkan sebagai satu proses melakukan  dan menyempurnakan kerja melalui fungsi-fungsi pengurusan secara fitrah – sifat semula jadi – melalui dan bersama orang lain dalam usaha untuk mencapai objektif kerja secara berkesan. Selain itu, sumber organisasi digunakan dengan cekap dalam persekitaran yang dinamik dan sentiasa berubah bagi mencapai objektif organisasi demi mencapai al-falah – kejayaan di dunia dan di akhirat.

Islam sebagai ad-Din ialah  budaya dan cara hidup yang tersendiri. Yang membezakan Islam daripada agama lain adalah dari segi ideologi dan  fahamannya. Salah satu aspek kehidupan yang terdapat dalam Islam ialah pentadbiran organisasi dalam sistem Islam yang tersendiri. Dalam pentadbiran organisasi pula ia melibatkan pengurusan individu seorang pengurus, pengurusan pekerja dan pengurusan pelbagai sumber yang terdapat dalam sesebuah organisasi. Seseorang yang beragama  Islam, tidak kira sama ada pengurus atau pekerja wajiblah mempraktikkan cara hidup yang syumul yang telah diberikan sebagai  panduan melalui al-Quran dan Sunnah Rasulullah.

Sebelum  memperkatakan sistem pengurusan Islam, wajarlah jika kita kaji beberapa pandangan  yang dibawa oleh pemikir-pemikir barat mengenai pengurusan moden yang diterangkan dalam buku ini. Peter Drucker dalam bukunya The Effective Executive menyatakan bahawa keberkesanan merupakan kunci ke arah kejayaan sesebuah organisasi. Menurut beliau,  seseorang pengurus haruslah mengambil semua kesempatan yang sedia ada bagi mencari dan memilih objektif yang betul.

Manakala Robert L. Katz dalam bukunya Skill of an Effective Administrator pula mengenal pasti tiga kemahiran dalam asas pengurusan, iaitu dari segi teknikal, kemanusiaan dan konsep yang perlu dimiliki oleh seseorang pengurus. Malahan beliau mentakrifkan kemahiran sebagai satu keupayaan atau kebolehan yang boleh dibangunkan dan tidak semestinya lahir secara semula jadi. Kebolehan juga  keupayaan untuk menukar pengetahuan menjadi sesuatu tindakan.

Ilmu pengurusan Islam yang lebih bertunjangkan paradigma tauhid, iaitu mempunyai beberapa prinsip asas yang utama – amanah, syura dan adil. Amanah adalah segala sesuatu yang wajib dipelihara dan ditunaikan kepada ahlinya. Natijah daripada sifat amanah ini akan lahirlah pula sifat-sifat terpuji lain yang membawa kepada terlaksananya sifat ikhlas, jujur dan bekerja mencari keredaan Allah.

Dalam beberapa pendapat yang menerangkan mengenai sifat amanah dalam buku ini, tulisan  Ahmad Ibrahim Abu Sin mengutarakan tiga ciri-ciri amanah yang diamalkan dalam pengurusan:

1. Membuat kerja dengan jujur. Pengurus yang amanah ialah pengurus yang bersikap terbuka dalam menjalankan kerjanya. Menyiap atau menyempurnakan kerja semasa bekerja adalah lebih penting daripada ganjaran yang diterima. Oleh itu,  pengurus yang beramanah akan menjadikan kerja sebagai satu kepuasan bagi dirinya.

2. Menguruskan masa dengan sebaik-baiknya. Pengurus seharusnya menjadi model yang baik kepada para pekerjanya. Mereka perlu hadir awal ke pejabat dan balik lewat ke rumah. Mereka juga mesti bijak menguruskan masa dan kerja yang diberikan dengan memberikan tarikh sesuatu kerja itu perlu disiapkan.

3. Tidak menggunakan jawatan bagi kepentingan peribadi. Dalam hal ini pengurus itu tidak boleh menjadikan jawatannya  itu sebagai tempat untuk mencari keuntungan peribadi. Contohnya, mendapat komisen daripada pembekal dengan menyuruh pembekal membekalkan barangan pada harga yang tinggi, menawarkan bekalan barangan kepada saudara mara sendiri, dan yang paling berat,  menerima rasuah daripada seseorang atau syarikat semasa meluluskan atau dalam usaha mendapatkan sesuatu projek.

Selain sifat amanah, nilai-nilai Islam yang membentuk prinsip asas pengurusan juga melibatkan sifat tidak mementingkan pandangan dan pendapat sendiri dalam syura dan sifat berlaku adil dan saksama kepada pekerja. Selain itu pengurus Islam wajib mempunyai sifat-sifat yang berikut:

Ubudiyah (segala yang berhubung dengan ibadah dan akirat)

Sifat ini merupakan sifat yang paling utama yang seharusnya ada pada pengurus Islam, kerana tanpa sifat-sifat ubudiyah ini segala amal kelakuan pengurus  tidak akan bermakna di akhirat kelak. Untuk merealisasikan sifat ubudiyah ini,  pengurus Islam itu wajib menyerahkan segala perlakuannya ke arah mengabdikan diri semata-mata kerana Allah SWT. Inilah yang seharusnya diamalkan dalam melaksanakan sebarang fungsi atau aktiviti pengurusan, dan pengisian amalannya mestilah tidak bertentangan dengan Islam.

Mas`uliah (tanggungjawab)

Seseorang pengurus itu bertanggungjawab terhadap sebarang perlakuannya dan prestasi pekerjanya. Mereka tidak boleh mengabaikan tanggungjawab terhadap prestasi pekerjanya. Dalam erti kata lain pengurus Islam mestilah dari semasa ke semasa memerhatikan kelakuan dan mengawasi prestasi pekerjanya. Pengawasan yang disyorkan bukanlah bertujuan untuk mengawal atau mencari kelemahan pekerja tetapi lebih kepada menasihati pekerja untuk mengatasi kelemahan prestasi atau membuang perangai mazmumah dan memotivasi pekerja ke arah menghasilkan prestasi kerja yang lebih baik.

Itqaan (kerja yang dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh)

Sifat ini merujuk pada pelaksanaan dan penyempurnaan kerja yang dilakukan dengan tekun dan bersungguh-sungguh. Pengurus itu mesti yakin bahawa kerja yang dilakukannya itu akan mendapat ganjaran daripada majikannya. Namun, semasa menumpukan sepenuh perhatian kepada pekerjaan, mereka tidak harus  melupakan atau mengabaikan tanggungjawab terhadap keluarga atau masyarakat dengan bekerja sehingga larut malam atau tanpa mengira masa.

Qanaah (sentiasa berpuas hati dengan rezeki yang diberikan oleh Allah)

Sifat seseorang pengurus Islam yang sentiasa berpuas hati dengan rezeki yang diberikan oleh Allah kepadanya. Pengurus Islam yang qanaah bukanlah seorang pengurus yang mengejar pangkat dan status sebagai objektif hidupnya. Mereka yakin jika usaha atau kerjanya tidak mendapat ganjaran yang setimpal atau sepatutnya daripada majikannya, maka ganjaran itu akan diperoleh di akhirat kelak.

Natijah daripada sifat ini ialah pengurus akan sentiasa memberikan peluang kepada pekerjanya untuk mendapat ganjaran dan tidak berebut dengan pekerjanya untuk mendapatkan ganjaran tersebut. Oleh itu, pengurus  tidak akan mengeksploitasikan hasil kerja pekerjanya sebagai batu loncatan mereka untuk naik pangkat.

Jika dibandingkan antara pandangan pengurusan barat dengan pengurusan Islam, sebenarnya kedua-duanya saling bergantungan dan saling memerlukan. Pengurus Islam tidak menolak bulat-bulat kebaikan yang dibawa oleh pengurusan moden ke dalam amalan pengurusan dalam organisasi pada hari ini.

• Pekerja hendaklah dianggap sebagai aset bagi sesuatu organisasi, bukannya liabiliti yang perlu dihapuskan.
• Bina atau wujudkan kepercayaan dan rasa hormat kepada pekerja, bukannya menganggap pekerja sebagai alat untuk mengaut keuntungan. Pandangan ini telah menjadikan Peter Drucker  disanjungi oleh orang Jepun.

Sebagai renungan bersama, perhatikan pendapat Peter Drucker tentang pengurusan, semoga sifat dan sikap pengurus yang baik daripada pandangan Barat dan Islam ini dapat dijadikan pegangan dalam melakukan tugas seharian.

  1. salam..nak tnya apa peranan pengurusan dari perspektif islam ya..

    • Klik Web DBP says:

      Pengurusan dari perspektif Islam merupakan satu proses menyempurnakan kerja melalui fungsi pengurusan secara fitrah untuk mencapai objektif kerja secara berkesan sesuai dengan Islam sebagai ad-Din, iaitu budaya dan cara hidup. Untuk mengetahui dengan lebih mendalam lagi tentang topik, sila baca buku berkenaan atau buku-buku lain yang berkaitan.

  2. ernie says:

    Salam…
    Terima kasih atas maklumat dan penulisan buku yang begitu membina dalam penambahan ilmu saya untuk lebih mendalami lagi sistem pengurusan dari perspektif Islam…

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014021
    Visit Today : 50
    This Month : 33366
    Total Visit : 1014021
    Hits Today : 107
    Total Hits : 4136909
    Who's Online : 17
  • Kategori