RETRO berasal daripada perkataan restrospektif, yang bermaksud “meninjau atau mengenang kembali peristiwa, dan sebagainya yang lalu”. Dalam kehidupan seharian, retro kerap merujuk kepada mengulangi perlakuan, fesyen dan gaya hidup masa lalu untuk diamalkan pada hari ini. Retro kerap dikaitkan dengan cara berpakaian atau muzik.

Bagaimanakah pula dengan ejaan dalam bahasa Melayu? Adakah sesuai untuk dikaitkan dengan retro ini? Sudah tentu tidak kerana bahasa merupakan kata-kata yang disusun menurut tatabahasa dan digunakan oleh seseorang dalam percakapan atau tulisan. Sistem dalam bahasa tidak akan berundur sebaliknya berubah mengikut perkembangan sosiobudaya sesuatu masyarakat.

Hari ini terdapat kecenderungan sesetengah masyarakat, terutamanya golongan peniaga menggunakan ejaan lama untuk menamakan produk. Antaranya menggunakan perkataan seperti chantek, chinta, lesong, kampong dalam beberapa produk penjagaan diri dan makanan. Kita pun tidak mengetahui alasan pihak-pihak berkenaan menggunakan ejaan lama. Jika dikatakan atas alasan komersial, memang tidak dapat diterima akal.

Kecenderungan ini turut menjangkiti pusat pentadbiran kerajaan persekutuan yang begitu terkenal, iaitu Putrajaya. Terdapat kawasan riadah dan menjamu selera yang dinamakan Ayer@8. Penulis yakin bahawa “ayer” yang dimaksudkan ialah “air” dalam bahasa Melayu kerana di sekitarnya terdapat tasik dengan landskap yang menarik.

Kesalahan ini wajar diperbetulkan kerana tiada kurangnya penggunaan ejaan yang betul untuk air dan tiada lebihnya jika menggunakan ejaan lama. Penggunaan ejaan yang salah juga boleh mengelirukan masyarakat.

Sebagai pusat pentadbiran kerajaan persekutuan, Putrajaya wajar menunjukkan contoh yang baik dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu. Kawasan ini wajar dinamakan “Air di 8”.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013488
    Visit Today : 751
    This Month : 32833
    Total Visit : 1013488
    Hits Today : 2497
    Total Hits : 4134602
    Who's Online : 12
  • Kategori