Oleh NORHASMANALINDA MUSTAPA 

YB Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon merasmikan Festival Bahasa dan Sastera 2010.

“PROGRAM anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bukan hanya bertujuan untuk meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan khususnya kepada pelajar bukan Melayu, tetapi apa yang lebih penting program yang dianjurkan ini selari dengan hasrat kerajaan ke arah pembentukan  Gagasan 1 Malaysia yang  diilhamkan oleh Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib Tun Haji Abdul Razak.” Demikian antara ucapan yang disampaikan oleh YB Senator Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon, Menteri di Jabatan Perdana Menteri pada Majlis Perasmian Forum Pelajar dan Festival Bahasa dan Sastera di Dewan Bankuet, Menara DBP pada 21 Julai lalu.

Festival Bahasa dan Sastera 2010  anjuran  DBP dengan kerjasama Persatuan Penterjemahan dan Penulisan Kreatif Malaysia (PERSPEKTIF), Persekutuan Persatuan-persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong), Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia, dan Gabungan Persatuan Guru-guru Sekolah Cina Malaysia, menjadi salah satu platform bagi mewujudkan  dan menyediakan suasana penggunaan bahasa kebangsaan yang indah dan santai dalam kalangan pelajar sekolah bukan Melayu melalui pelbagai kegiatan termasuk forum pelajar, koir, deklamasi puisi, pidato dan pertandingan bercerita. Festival  bermatlamat  mewujudkan   penggunaan bahasa Melayu yang seragam selain menanam kecintaan terhadap bahasa kebangsaan dalam kalangan pelajar bukan Melayu di sekolah menengah persendirian Cina, sekolah jenis kebangsaan Cina dan sekolah jenis kebangsaan Tamil.

Ketua Pengarah DBP, Dato’  Haji Termuzi Haji Abdul Aziz dalam majlis perasmian tersebut turut menyatakan hasrat beliau agar para pelajar yang menyertai pertandingan dalam Festival  ini dapat meningkatkan keupayaan dalam penguasaan bahasa kebangsaan selain meningkatkan sahsiah diri melalui motivasi dan latihan yang diberi  agar kualiti penguasaan bahasa kebangsaan dapat ditingkatkan. Menurut beliau, aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh DBP pada masa kini turut memberikan penekanan kepada hasrat kerajaan dalam usaha memupuk perpaduan pelajar yang terdiri daripada pelbagai kaum. Beliau turut menyokong ucapan Encik Goh Hin San bahawa aktiviti anjuran DBP sentiasa berusaha untuk menjalin perpaduan melalui kegiatan berbentuk  kebahasaan, kesusasteraan dan kesenian.

Pengerusi Biro Pertandingan Persatuan Guru Besar Sekolah Tamil Malaysia, Encik Jayapalan Suppiah menyatakan bahawa pertandingan dan aktiviti anjuran DBP bukan hanya dapat merealisasikan Falsafah Pendidikan Negara bagi melahirkan modal insan berkualiti, tetapi  yang lebih penting  dengan  kerjasama pelbagai pihak, kita mampu merealisasikan hasrat kerajaan ke arah pembentukan Gagasan 1 Malaysia yang mampu mengeratkan perpaduan sesama rakyat Malaysia.

   

Leong Winky, pelajar SJK (C) Jalan Davidson, Kuala Lumpur menjuarai pertandingan bercerita.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034177
    Visit Today : 393
    This Month : 16776
    Total Visit : 1034177
    Hits Today : 1368
    Total Hits : 4239702
    Who's Online : 13
  • Kategori