Oleh ROSLAN JOMEL

JIKA anda singgah seawal pagi di Nu Sentral, Kuala Lumpur, lebih tepat lagi, di kafe Coffee Bean & Tea Leaf, usah terkejut melihat seorang lelaki bertubuh kecil dengan komputer riba di kerusi bersebelahan dinding. Ada lingkaran halimunan yang membentuk sempadan lelaki itu dengan dunia sebenar. Sambil bersarapan, dia sedang bekerja dengan mesin imaginasinya yang tidak pernah berhenti-henti bergelora. Beberapa buah buku, majalah dan akhbar mingguan terletak di sebelah komputer riba, sebagai isyarat keseriusannya. Orang lalu-lalang semakin ramai keluar masuk di Nu Sentral, tetapi perhatian makhluk aneh ini terlekat pada skrin mesin kreatifnya. Itulah kosmo miliknya yang tidak terjangkau oleh sesiapa.

Lokman Hakim, penulis urban dan bercita rasa moden.

Siapa tahu, dia fokus merangka bab pembukaan naratif speculative fiction ala Ted Chiang yang terkenal selepas penayangan filem Arrival arahan Denis Villeneuve. Atau dia menghasilkan sekurang-kurangnya tiga buah cerpen sekali gus pada hari itu. Ini zaman penciptaan, sains membelah segala yang misteri tanpa had, situasi kehidupan bertambah kompleks, komuniti netizen beroperasi 24 jam dan geografi bukan lagi menjadi sempadan dunia. Setiap detik ada nilai ceritanya. Hidupnya dibahagikan antara fiksyen dengan realiti. Lelaki penuh cita-cita ini sedang menyelam lautan kreativiti sehingga dasar tergelap sementara fikirannya melayang ke galaksi tertinggi. Tiada sesiapa mampu membatasi aliran ilhamnya belayar sehingga infiniti.

Masa tidak menjalinkan persahabatan dengan sesiapa. Jangan menunggu ilham turun ke atas telapak tangan. Ini bukan zaman para penulis berfantasi atau berkhayal berada di tepi pantai dengan harapan dilimpahi inspirasi untuk berkarya. Ilham perlu dicari seiring dengan tindakan amali. Maka, soalan tentang cara untuk memulakan penulisan bukan untuk lelaki yang kaya dengan pelbagai idea itu. Tiada masa yang sempurna dan tiada tempat khusus untuk menulis. Penulis besar seperti John Steinbeck, menyatakan bahawa idea seumpama arnab, anda memperoleh beberapa ekor dan belajar tentang cara untuk mengawalnya, lambat-laun anda bakal memiliki lebih daripada sedozen arnab. Jangan bertangguh. Duduk, hidupkan komputer riba dan mulalah bekerja. Tiada sesiapa yang memberikan galakan atau menyalakan inspirasi kecuali anda sendiri yang memulakan draf penulisan. Jangan menyalahkan kejayaan orang lain yang saban tahun muncul dengan buku terbaharu.

Bakat tanpa kerja keras tidak akan membawa seseorang ke mana-mana. Itulah disiplin karakter terbaik. Sebagai orang muda, penuh tenaga dan mahu kerja penulisan dinikmati oleh pembaca yang lebih luas, lelaki eksentrik ini memanfaatkan keghairahan dan kecintaannya untuk terus menghasilkan karya. Setiap tahun, dia memastikan ada karya terkini muncul di pasaran. Tiada hari tanpa aktiviti menulis. Dia memusatkan segala pancaindera demi menggerakkan naratif penulisan sampai ke penghujung noktah terakhir. Didak peduli sama ada cerita ditulis mencapai piawai yang diingini atau berjaya menembusi editorial sesebuah media. Yang mustahak, dia mengarang melebihi daripada penulis muda lain. Itulah teras konkrit kepada kemunculan mendadak nama si alien ini di persada sastera kebangsaan sekarang.

Para penulis merupakan peninjau situasi. Demikian dinyatakan oleh penulis itu. Karya kreatif menjadi lensa kepada masyarakat untuk mencerminkan keadaan mereka. Golongan penulis bukan manusia penyendiri seperti suatu ketika dahulu; hidup di sisi tingkap bilik yang berkunci. Mereka sentiasa peka dengan apa-apa sahaja peristiwa yang berlaku di sekeliling. Disokong oleh kecanggihan teknologi komunikasi, penulis digalakkan berusaha untuk mempromosikan diri dan karyanya. Inilah tuntutan pasaran fiksyen sekarang. Tidak menghairankan, penulis itu muncul di pelbagai saluran media massa, seperti yang terbaharu di MYSUARA untuk memperkatakan kerja penulisan dan harapan masa depannya dalam bidang perbukuan dan kesusasteraan. Dengan nada yakin, penulis itu bertekad untuk mengangkat karyanya sehingga peringkat antarabangsa. Aspek utama perlu dipertingkatkan ialah kualiti karya, tegasnya. Tidak salah bermimpi besar.

Individu yang dimaksudkan ialah Lokman Hakim, seorang jurutera dan bintang baharu kesusasteraan untuk masa depan Malaysia. Bak bunga liar yang tidak tahu dari mana datangnya, penulis obsesif ini muncul mengejut di persada persuratan kebangsaan ketika gerakan penulis indie meruntuhkan landskap skema sastera arus utama. Daripada sebuah manuskrip kepada sebuah manuskrip, dia menulis aneka tema yang mengusik emosi dan fikirannya. Idea dan gagasan kreatifnya sentiasa berkelip-kelip. Dalam kalangan peminat karya fiksyen, Lokman Hakim lebih dahulu terkenal dalam penulisan cerita fiksyen sains (saifai). Oleh sebab tidak berpuas dengan genre yang sama, dia mencuba pula genre berbeza untuk mengelakkan monotonous. Melalui cerpen mutakhir, kini Lokman Hakim menerobos isu sosial yang lebih intim kepada manusia biasa. Idea dan wawasannya ketara tajam selaras dengan pembacaan yang luas dan terkini.

Perkara paling menakutkan kepada para penulis yang ingin terjun ke dalam bidang penulisan ialah fasa penembusan karya. Kononnya fasa ini sangat misteri seperti angkasa lepas atau lohong hitam. Tidak mengejutkan seandainya ada sebahagian penulis mudah berputus asa apabila karya yang dikirim gagal menambat perhatian editor. Inilah proses awal setiap penulis. Timbul persoalan yang bermain dalam fikiran mereka, adakah karya yang ditulis belum mencapai standard penerbitan? Adakah editor yang menangani ruangan kreatif bersikap hanya memilih penulis yang dikenal sahaja? Sebaliknya, Lokman Hakim terlihat begitu lancar melepasi bahagian editorial. Ini sudah pasti dicemburui oleh penulis muda lain.

Bagaimanakah dia memperoleh idea? Berjaga sehingga larut malam? Adakah dia menulis dengan bantuan tenaga asing atau hanya menulis tanpa perlu memikirkan secara serius tentang kualiti? Adakah dia lebih gigih sementara penulis lain sekadar mengeluh dan lebih banyak menuang masa di media sosial setiap hari? Ini isu mentaliti dan sikap. Lokman Hakim memberikan tumpuan luar biasa dalam bidang penulisan melebihi apa-apa yang difikirkan oleh penulis sebaya dengannya. Demi mempertingkat kebolehan dalam seni pertukangan dalam pengkaryaan, Lokman Hakim tidak lokek berbelanja. Dia melaburkan sejumlah wang untuk mendapatkan bahan bacaan terbaik apabila mengunjungi kedai buku sekitar Kuala Lumpur. Adakah penulis muda lain sanggup/mampu mengeluarkan perbelanjaan demi mengaut ilmu kemahiran dalam penulisan? Dia bagaikan roket dilepaskan dan tidak mungkin turun ke daratan bumi lagi.

Demikianlah, cerpen Lokman Hakim boleh dikatakan kerap muncul di akhbar, majalah bahkan menjalar ke ruangan sastera dalam talian seperti Selangorkini. Saya pernah mengulas dua buah cerpen Lokman Hakim yang terbit dalam ruangan Wadah Bahasa dan Sastera akhbar Utusan Sarawak. Yang dapat saya nyatakan, Lokman Hakim mengadaptasi pengalaman pembacaan daripada pelbagai sumber untuk diadunkan ke dalam karya fiksyennya. Dia mempraktikkan teknik penulisan dengan lebih menekankan idea dan tidak lagi setakat menyampaikan deskriptif cerita seperti kebiasaan. Inilah kaedah penulisan yang menjadi tulang belakang kepada naratifnya sejak kebelakangan ini sama ada novel atau cerpen. Lokman Hakim yang berada di tengah senario kepesatan bandar raya menulis daripada perspektif berbeza daripada penulis Sarawak yang lain.

Memiliki idea dan cerita yang baik belum memadai dalam kerja penulisan. Pertukangan menjadi aras kepada kematangan seseorang penulis meletakkan standard kepengarangannya. Sebagai penulis urban dan bercita rasa moden, Lokman Hakim berkelebihan oleh suasana kosmopolitan di tengah bandar raya. Buku daripada pelbagai penulis hebat dunia dikaji dan dibaca untuk mencari kunci kekuatan sesebuah naratif. Apatah lagi dia tinggal di jantung ibu kota yang mempunyai rangkaian buku kontemporari dan mudah pula ditemui. Pada kesempatan itu, dia sentiasa dilihat berada pada apa-apa sahaja aktiviti keilmuan, kesenian dan kesusasteraan. Alangkah bertuahnya kerana bersemuka dengan tokoh penulis diminati malahan memberikan semangat tambahan untuk berkarya dengan lebih komited.

Tema dan kaedah penulisan sudah berubah. Dalam genre cerpen, penulis seperti Zaen Kasturi, SM Zakir, Zainal Rashid Ahmad, Marsli NO, dan Fahd Razy telah merombak struktur penceritaan menjadi lebih personal, canggih dan kompleks. Bagaimanakah dengan Lokman Hakim ingin bersaing dengan pendahulunya? Apakah eksperimental yang dibinanya agar dunia sastera di Malaysia semakin menarik dan unik? Ternyata, dia tidak terpengaruh oleh hal yang bersangkut paut dengan budaya, tradisi atau konflik eksotik yang kerap ditulis oleh pengarang dari Borneo. Ekspresi dalam karyanya melawan realisme. Dia manusia yang tidak ingin dikurung oleh ikatan kenegerian. Benar, sastera telah menghancurkan hak kepemilikan apabila melalui proses penerbitan dan dibaca oleh masyarakat.

Kerja penulisannya benar-benar berlainan. Malahan dia menjadi pelopor untuk sesi write-in di kafe Coffe Bean & Tea Leaf di Nu Sentral pada hujung minggu dengan mengundang penyertaan kepada sesiapa sahaja yang ingin menulis secara bersama-sama. Apa itu sesi write-in? Lokman Hakim ada penjelasannya. Ada yang datang untuk menulis atau menyemak jurnal, tesis, novel, cerpen atau pelbagai lagi genre penulisan. Tiada jurang intelektual, elit dan populariti di situ. Masing-masing belajar antara satu sama lain. Perkara sebegitu, sepengetahuan saya setakat kini, amat jarang berlaku di bandar Kuching, misalnya. Apatah lagi menulis secara berkumpulan di tempat terbuka. Sebarang pertanyaan atau perbincangan tentang aspek penulisan dikongsi bersama-sama.

Golongan penulis ialah manusia aneh kerana mereka gemar meninjau, mengambil tahu dan menganalisis setiap perkara yang dipandang remeh oleh orang kebanyakan. Dan kemudiannya menterjemahkan apa-apa yang dirasai, difikirkan dan dibayangkan menjadi naratif. Jelaslah sebagaimana diperkatakan oleh pengkritik sastera, penulis ialah insan pemikir. Tanpa memiliki deria sebegini, mustahil sesebuah karya menjelma dengan muatan pelbagai persoalan yang diterapkan sebagai pemberi nilai tambahan kepada sesebuah karya. Ciri sebagai perenung kejadian di sekelilingnya tersemat dalam beberapa karya terbaharu Lokman Hakim. Sejarah menegaskan bahawa hanya karya yang mengungkapkan persoalan kemasyarakatan akan terus kekal relevan sebagaimana dinyatakan pengarang tersohor Faisal Tehrani: “Tiada karya bagus. Hanya ada karya yang penting.”

Di atas bahunya, naratif sastera negara pasti bakal menjadi lebih canggih. Penulis prolifik ini lebih dikenali sebagai alien oleh rakan-rakannya kerana mampu menulis pada bila-bila masa di pelbagai tempat, bahkan mampu menyiapkan sebuah karya hanya dengan sekali duduk sahaja. Ramai penulis beranggapan bahawa urusan menulis suatu pekerjaan yang sunyi, memutuskan hubungan dengan dunia luar atau memerap di dalam bilik peribadi atas alasan mahu menajamkan renungan. Menulis tidak sesuai dilakukan di kawasan yang hingar bingar. Namun penulis muda ini bertentangan dengan kelaziman majoriti. Zon selesa telah diranapkan. Penulis daripada generasi lama pasti sukar berkompromi dengan gaya kerja penulisan Lokman Hakim. Lokman Hakim bahkan ingin menyaingi produktiviti yang diraih oleh penulis wanita, iaitu Ruhaini Matdarin dari Sabah, seorang lagi penulis prolifik dari Borneo. Setiap tahun karyanya sentiasa diterbitkan malahan memenangi sayembara penulisan.

Setiap penulis ada idola atau pencetus inspirasi masing-masing. Lokman Hakim menyanjung ketokohan Paulo Coelho yang sanggup meninggalkan pekerjaan sebagai jurutera demi menyahut panggilan hati nurani sebagai pengarang selepas melakukan pengembaraan sebagai seorang hippies. Lokman Hakim menganggap perjalanan hidupnya mirip tokoh penulis Brazil itu. Jika Paulo Coelho boleh melakukan perubahan jalan hidup, mengapa dia tidak? Anak muda kelahiran Sibu ini menulis hari demi hari sebagai terapi untuk menghapuskan kebosanan setelah penat bekerja. Dia pernah mengeluh kerana media untuk menampung karya kreatif terlalu sedikit di negara kita. Itu belum termasuk dengan nilai bayaran kepada penyumbang bahan tulisan yang masih mengecewakan pada waktu ini. Terlepas daripada dilema itu, dia berasa hidup sebagai manusia apabila menyentuh papan kekunci komputer riba. Hidup seperti robot amat menyeksakan. Bisikan halus dalam nuraninya berlawanan dengan sektor pekerjaan. Dia juga memiliki sebuah kumpulan muzik suatu ketika dahulu. Kecintaan seninya kini beralih pula kepada pembinaan kata-kata.

Buku-buku karya Lokman Hakim yang telah diterbitkan.

Ada suatu persoalan yang mungkin bermain dalam fikiran setiap penulis. Adakah suasana di tempat asalnya, bandar Sibu, gagal merangsang keghairahan untuk berkarya? Mujur, dia akhirnya berada di tengah bandar raya Kuala Lumpur yang serba terkini dengan persekitaran kosmopolitan. Sarawak bertuah kerana memiliki seorang pengarang generasi baharu yang sangat gigih berkarya dan dalam masa sama sentiasa mempertingkatkan kualiti penulisannya. Sehingga kini, dia telah menerbitkan 14 buah novel sejak tahun 2014 dengan karya pertamanya, Selamat Datang ke Narkisa, terbitan Roman Buku. Bayangkan, betapa derasnya arus ilham dan kesungguhannya untuk melonjakkan nama sebagai penulis pascamoden yang perlu diberi perhatian. Yang berikut, disenaraikan novelnya yang telah diterbitkan oleh pelbagai rumah penerbitan tempatan:

  1. Retina, tahun 2014, terbitan FIXI
  2. Monarki, tahun 2015, terbitan FIXI
  3. Debat Manusia Tuhan, tahun 2015, terbitan Buku Hitam Press
  4. Bala Tentera Tuhan, tahun 2015, terbitan Buku Hitam Press
  5. Dunia Tanpa Tuhan, tahun 2015, terbitan Buku Hitam Press
  6. Dua Nyawa, tahun 2016, terbitan Lejen Press
  7. Jepun, tahun 2016, terbitan FIXI
  8. Selestial, tahun 2016, terbitan Simptomatik Press
  9. Simulasi, tahun 2016, terbitan Penerbit X
  10. Serigala, tahun 2016, terbitan FIXI
  11. Eksistensi, tahun 2017, terbitan Penerbit X
  12. Pasca Titah Tuhan, tahun 2017, terbitan Simptomatik Press
  13. Hipotesis Lunar, tahun 2017, terbitan Buku SO

Senarai buku yang berjaya diterbitkan belum cukup buat penulis itu. Beberapa buah manuskripnya yang telah dikirim ke beberapa buah rumah penerbitan hanya menunggu masa untuk muncul di pasaran. Projek penulisannya tidak pernah berhenti. Ada-ada sahaja kilatan ilham memasuki fikirannya. Biarpun belum pernah mengecap kejayaan dalam mana-mana sayembara penulisan, hal itu bukan penghalang kepada rasa minat dan cintanya. Sesungguhnya dia berhak untuk menerima pengiktirafan hadiah dan anugerah sastera sebagaimana penulis lain pada suatu masa nanti.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036271
    Visit Today : 1049
    This Month : 18870
    Total Visit : 1036271
    Hits Today : 3979
    Total Hits : 4250069
    Who's Online : 7
  • Kategori