Oleh Aliah Abdul Rahim dan Siti Ruzaiha Mohd. Riffin

aliah@dbp.gov.my, ruzaiha@dbp.gov.my

SEMPENA sambutan ulang tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang ke-54, editor Klik Web telah menemu bual Ketua Pengarah DBP, Dato’ Haji Termuzi bin Haji Abdul Aziz bagi mendapatkan pandangan dan harapan beliau terhadap DBP dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu.

Berdasarkan produk DBP, penyebaran bahasa Melayu sudah melalui tahap kematangannya, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat dunia.

Pada 22 Jun ini, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan menyambut ulang tahun yang ke-54. Dengan usia melebihi setengah abad ini, pada pandangan Dato’ adakah DBP telah mencapai tahap kematangan dari segi penyebaran dan pemantapan bahasa, penghasilan bahan penerbitannya dan dari segi kretiviti sastera?

Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sudah tentu telah mencapai usia yang matang! DBP telah memantapkan bahasa Melayu berdasarkan produk yang telah dikeluarkan. Terdapat sembilan jenis kamus yang telah dan akan diterbitkan oleh DBP, antaranya Kamus Dewan, Kamus Bahasa Melayu-Bahasa Inggeris, Kamus Pelajar, Kamus Bahasa Tamil-Bahasa Melayu, Kamus Bahasa Arab-Bahasa Melayu, dan sebagainya. DBP juga banyak menerbitkan buku dan panduan untuk kegunaan orang ramai seperti buku Tatabahasa Dewan yang menjadi rujukan semua orang yang mahu menggunakan bahasa Melayu yang betul. Beberapa judul enskipoledia telah diterbitkan, begitu juga dengan sembilan buah majalah yang diterbitkan pada setiap bulan. Semuanya untuk kegunaan orang ramai.

Berdasarkan produk-produk ini, penyebaran bahasa Melayu sudah melalui tahap kematangannya. Bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat dunia, bahasa Melayu dijadikan sebagai salah satu program pengajian di universiti, misalnya di Beijing Foreign Studies University, dan Guangxi University di China. Terdapat siaran radio bahasa Melayu di Beijing, China yang menyiarkan siaran berbahasa Melayu ke seluruh dunia. Sejumlah 108 buah universiti di luar negara yang menawarkan subjek bahasa Melayu dalam pengajian mereka, hal ini menunjukkan bahasa Melayu telah matang dari segi penyebarannya.

Dari segi kreativiti sastera pula, sastera berkembang pesat dengan penghasilan pelbagai bahan sastera dan banyak anugerah diperkenalkan bagi menghargai pejuang sastera, seperti Anugerah Sastera Negara, Anugerah Sastera Perdana dan Seawrite Award. DBP akan terus membimbing penulis untuk menjadi pengkarya yang berwibawa selain memantapkan bidang sastera di negara ini. Dengan adanya kursus-kursus, diharapkan lebih ramai pelapis penulis lahir dengan hasil kreativiti masing-masing seperti penulis novel, cerpen, puisi dan sebagainya yang akan terus mengangkat martabat sastera di mata masyarakat.

Selama lebih setahun Dato’ berada di DBP, apakah kelemahan-kelemahan DBP yang cuba Dato’ baiki dan apakah kekuatan DBP yang cuba Dato’ lestarikan?

Di mana-mana institusi ada kelemahannya dan setiap kelemahan itu perlu diperbaiki. Perkara utama yang dilihat ialah proses kerja yang perlu dimantapkan. Setiap kerja harus ada KPI (Penunjuk Prestasi Utama), oleh itu mestilah mempunyai sasaran dan fokus, dengan ini segala usaha akan berjalan dengan lancar, sempurna dan cemerlang.

Kekuatan utama DBP adalah dengan terdapatnya sumber manusia yang berkemahiran, pakar bahasa, pakar sastera, pakar penerbitan, pakar peristilahan dan juga pakar pembinaan kamus. Tugas saya adalah untuk menggembleng pakar-pakar ini bagi menghasilkan tugas yang cemerlang tetapi perlu mengikut KPI. DBP telah menggunakan kepakaran-kepakaran ini untuk kemudahan dan panduan kepada orang ramai. Misalnya, pakar bahasa yang selalu memberi ceramah, bimbingan dan latihan kepada institusi lain di luar. Pakar dalam bidang sastera juga selalu menjadi pembimbing agar khalayak terus menghasilkan karya yang kreatif. Kita perlu memantapkan kepakaran dan menggunakannya untuk memberikan latihan kepada institusi-institusi luar.

Secara peribadi, apakah kejayaan yang telah Dato’ peroleh, contohnya yang kita ketahui adalah tentang Penyusunan Semula Struktur Organisasi (PSSO) yang Dato’ lakukan untuk meningkatkan imej DBP. Apakah dengan terhasilnya PSSO, ia merupakan satu kejayaan peribadi Dato’ dan secara langsung juga satu kejayaan bagi DBP?

DBP perlu distruktur semula kerana penstrukturan yang terakhir organisasi ini dijalankan pada tahun 1995. Apa yang dilihat, struktur sekarang terlalu compartmentalization atau “terbahagi”, bermakna terpisah antara satu bahagian dengan bahagian yang lain. Seharusnya perlu ada kerjasama antara bahagian. Yang penting bagi PSSO ini ialah bahagian-bahagian sastera dan bahasa akan digabungkan dalam satu jabatan, contohnya Jabatan Pembinaan Bahasa dan Sastera, Jabatan Pengembangan Bahasa dan Sastera, dan Jabatan Dasar dan Penyelidikan Bahasa dan Sastera. Setiap jabatan ini ada pengkhususannya, iaitu ada aktiviti bahasa dan sastera yang diketuai oleh pegawai berjawatan Gred Jusa C setaraf dengan profesor di universiti. Di bawahnya pula terdapat Ketua Bahagian berpangkat Gred S54, S52, dan S48.

Jika dibandingkan dengan struktur lama, struktur baru telah mewujudkan satu jabatan baru, iaitu Jabatan Dasar dan Penyelidikan Bahasa dan Sastera. Ini bermakna kita mementingkan penyelidikan, khususnya penyelidikan dalam bidang sastera sama ada sastera tradisional, moden, kritikan atau bandingan.

Setiap kerja harus ada KPI, oleh itu kita mestilah mempunyai sasaran dan fokus.

Pada pandangan Dato’, adakah dengan pelaksanaan PSSO ini DBP akan mengalami masalah pembinaan pakar bahasa dan sastera?

Jika dilihat dari segi strukturnya, masalah pembinaan pakar bahasa dan sastera tidak akan timbul kerana fungsi yang dijalankan sama, malah lebih baik lagi dengan berlakunya penggabungan kerja dalam satu jabatan. Hal ini akan lebih memudahkan usaha pengembangan bahasa dan sastera serta pembinaan kendiri seseorang pegawai yang menjalankan tugas.

Dato’ yakin PSSO ini akan melonjakkan nama DBP di mata masyarakat, negara dan dunia?

Itulah yang diharapkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA), harapan kerajaan dan seterusnya harapan negara. PSSO akan melonjakkan nama DBP sekali gus menaikkan imej DBP di mata masyarakat. Dengan adanya jawatan yang baru dan banyak jawatan yang dinaikkan gred, diharapkan staf DBP yang setaraf ilmunya dengan profesor-profesor di universiti, akan terus kekal berkhidmat di DBP, sama-sama menggembleng tenaga untuk DBP agar DBP terus dijadikan rujukan orang luar. Dengan ini, imej DBP ditingkatkan selain dapat meningkatkan bahasa, sastera dan penerbitan di negara ini. Kita di DBP seharusnya menjadi pentadbir dalam usaha pengembangan bahasa, sastera dan penerbitan di Malaysia. DBP ialah agen perubahan yang mengusahakan pelbagai lapangan penyelidikan yang berkaitan dengan sastera, pembentukan istilah, pembinaan kamus dan pengembangan bahasa, penerbitan judul buku yang bermutu dan memenuhi standard penerbitan dunia. Tugas pada hari ini tidak sama dengan tugas di DBP dahulu. Kita kena berubah mengikut zaman.

Pandangan Dato’ mengenai usaha kerajaan memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) dan memperkenalkan Memartabatkan Bahasa Melayu, Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI)?

DBP sentiasa menyokong usaha kerajaan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja kepada pelajar tetapi kepada orang ramai. DBP adalah antara salah satu badan yang dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan dasar ini, di samping menyokong usaha kerajaan memperkukuhkan penggunaan bahasa Inggeris di negara ini. DBP juga bertanggungjawab mengembangkan bahasa Melayu supaya digunakan secara meluas serta memastikan bandar-bandar besar di negara ini mempunyai identiti Malaysia. Bahasa yang menunjukkan identiti sesuatu bangsa. Langkah-langkah yang dijalankan adalah dengan mewajibkan penggunaan bahasa Melayu di papan-papan tanda, penamaan jalan dan bangunan di beberapa buah bandar utama di negara ini yang menjadi tumpuan pelancong, iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Perbadanan Putrajaya dan Melaka Bandaraya Bersejarah (MBMB). Kerjasama antara Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bandar-bandar tersebut terjalin dan pelbagai usaha ditingkatkan demi memartabatkan bahasa Melayu. Semua iklan yang akan dipaparkan di bandar-bandar ini hendaklah mendapat kelulusan daripada pihak DBP terlebih dahulu.

Selain PBT, DBP juga menjalankan usaha sama dengan Bank Negara dalam usaha menggalakkan penggunaan bahasa Melayu yang betul dalam kalangan institusi kewangan dan insurans. Bank Negara telah mengadakan kerjasama melalui banyak kursus penataran bahasa Melayu bagi melatih dan memberi bimbingan kepada kakitangan mereka untuk menggunakan bahasa Melayu yang betul. Ini termasuklah Pertandingan Pidato antara Institusi Kewangan yang dijalankan setiap tahun.

Selain itu, DBP terus bekerjasama dengan pihak sekolah kerajaan dan persendirian, menjalankan tanggungjawabnya dengan melaksanakan program kebahasaan yang melibatkan pelajar sekolah, misalnya Pertandingan Forum Pelajar, pertandingan puisi, pantun, koir dan sebagainya dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah. Selain itu, kita sentiasa menghidupkan Bulan Bahasa Kebangsaan dan kerajaan juga telah mengistiharkan bulan Oktober sebagai Bulan Bahasa Kebangsaan. DBP sentiasa meyokong usaha kerajaan.

Selain kerjasama dengan DBKL, Putrajaya dan MBMB, bagaimanakah dengan PBT yang lain, yang masih melakukan kesalahan bahasa pada papan tanda dan papan iklan?

DBP sedang dalam usaha mengembangkan kerjasama dengan PBT luar yang lain. Sekarang ini suatu sistem masih dalam peringkat pembinaan, iaitu sistem permohonan pengesahan iklan yang bertujuan untuk memudahkan pelanggan berhubung dengan DBP secara dalam talian, iaitu melalui laman web. Apabila sistem ini siap akan diuar-uarkan kepada semua PBT supaya mendapatkan pengesahan bahasa bagi iklan daripada DBP.

Bagaimana pula dengan penguatkuasaan Akta DBP yang ada kaitannya dengan pengesahan iklan?

Akta DBP sudah pun digubal dan diserahkan kepada Kementerian Pelajaran. Pihak Kementerian kini sedang mengkaji sebelum dikemukan kepada Jabatan Peguam Negara untuk dibawa ke Parlimen dibentangkan dan seterusnya dilaksanakan.

Sepanjang perkhidmatan Dato’ sebagai Ketua Pengarah DBP, Dato’ banyak memberikan tumpuan kepada penerbitan, bolehkah Dato’ memberi ulasan tentang hal ini? Adakah DBP gagal berperanan sebagai badan penerbitan atau adakah terdapat kekangan-kekangan lain?

Penerbitan merupakan imej DBP. Cara mengenal DBP adalah melalui buku-buku yang diterbitkan. DBP sentiasa memberikan tumpuan pada penerbitan buku setiap tahun kerana imej DBP juga dapat ditingkatkan dengan penerbitan buku. Oleh itu lebih banyak buku yang diterbitkan adalah lebih baik tetapi hendaklah dipastikan penerbitan itu bermutu dan baik. Jika tidak menerbitkan buku, DBP akan hilang begitu sahaja. Perlu ada laman web yang memberitahu masyarakat judul-judul yang diterbitkan. Dari segi penerbitan walaupun ada yang tidak boleh dikawal, tetapi jika kita berusaha bersungguh-sungguh dan mengawal setiap kerja atau proses penerbitan, maka masalah ini dapat diatasi. Yang boleh dikawal ialah proses penerbitannya.

Pada tahun 2009, sebanyak 738 buah manuskrip telah diterima dan usaha penerbitannya sedang dijalankan. DBP juga mempunyai antara perpustakaan yang terbaik di Malaysia, iaitu Pusat Dokumentasi Melayu. Penambahan penerbitan buku sentiasa dilakukan dan pasti boleh dilakukan asalkan kita mengubah proses kerja demi kelancaran perbitan buku DBP, khususnya buku-buku ilmiah. Usaha-usaha lain yang diharapkan untuk terus memartabatkan bahasa Melayu serta menambah penuturnya adalah dengan bergerak seiring dengan perubahan.

Tugas pada hari ini tidak sama dengan tugas di DBP dahulu. Kita kena berubah mengikut zaman.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035154
    Visit Today : 1370
    This Month : 17753
    Total Visit : 1035154
    Hits Today : 7124
    Total Hits : 4245458
    Who's Online : 1
  • Kategori