Oleh JAYMANI A/P SEVANATHAN

BAHASA Melayu merupakan identiti bangsa Malaysia, tidak kira agama, kaum dan etnik. Bahasa ini menjadi penyatu rakyat Malaysia kerana bahasa Melayu terdiri daripada pelbagai dialek yang menjadi perantara penting dalam komunikasi masyarakat. Namun, suatu perkara yang yang kita tidak patut terlepas pandang adalah penguasaan bahasa Melayu yang lemah dalam kalangan rakyat. Hal ini berbeza dengan rakyat Indonesia yang fasih berbahasa Indonesia walaupun berbeza agama dan kaum.

Baru-baru ini, tahap penguasaan bahasa Melayu Ahli Parlimen yang lemah menjadi isu. Pada masa yang sama, penggunaan kata-kata kesat dan kurang sopan sehingga menjejaskan nilai bahasa Melayu menjadi ancaman yang besar. Oleh sebab itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencadangkan agar Ahli Parlimen yang penguasaan bahasa Melayunya lemah menghadiri kursus bahasa berkenaan.

Sebelum itu, Menteri Kewangan, YB Lim Guan Eng dikritik hebat kerana menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan media berkaitan dengan suatu projek yang dilihat bercanggah dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. Selain itu, Peguam Negara, Tommy Tomas juga ditegur dan dikritik kerana mengaku tidak fasih berbahasa Melayu dan meminta perbicaraan suatu kes dijalankan dalam bahasa Inggeris. Beliau menggunakan alasan tuntutan tugas bagi menggunakan bahasa Inggeris. Namun, beliau berjanji akan menggilap penggunaan bahasa Melayu dan akan memperbaikinya dari semasa ke semasa.

Bahasa Melayu menjadi penyatu rakyat Malaysia.

Jika diteliti buku manifesto Pakatan Harapan bagi PRU-14, dalam bahagian Falsafah dan Matlamat Pentadbiran Pakatan Harapan, halaman 10, terdapat janji untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluas bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau; melindungi dan memperkukuh penggunaan bahasa ibunda semua kaum; serta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris demi memperbaiki daya saing Malaysia di peringkat antarabangsa. Oleh sebab itu, semua pihak perlulah sentiasa memperbaiki penggunaan bahasa Melayu. Kita mengaku bahawa tiada siapa yang dapat menguasai sesuatu bahasa dalam waktu yang singkat, namun, bahasa Melayu perlu digunakan secara kerap sehingga fasih dalam pertuturan seharian.

Seterusnya, penulis merasakan pihak universiti tempatan perlu menggalakkan kemasukan pelajar dalam bidang pengajian Melayu tidak mengira perbezaan agama dan kaum. Tiga teras utama dalam bidang ini ialah bahasa, budaya dan sastera. Cadangan ini dapat melahirkan graduan yang mempunyai kepakaran dalam ilmu bahasa Melayu dan seterusnya berkongsi ilmu demi memperkasakan bahasa Melayu bukan sahaja di peringkat kebangsaan malah antarabangsa.

Penulis ingin mengupas program berkaitan bahasa Melayu di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) kerana penulis merupakan penuntut di sana. Pusat Pengajian Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UKM menawarkan tiga program, iaitu Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Persuratan Melayu), Sarjana Muda Sastera dengan Kepujian (Pengajian Bahasa Melayu) peringkat prasiswazah, manakala Program Pengurusan Persembahan Seni Melayu peringkat siswazah.

Program Pengajian Bahasa Melayu menawarkan kajian linguistik Melayu. Antara kursus yang ditawarkan di bawah program ini ialah Pengantar Pengajian Melayu, Fonetik Bahasa Melayu, Linguistik dan Pendidikan Bahasa Melayu, Bahasa Melayu dan Media Massa dan Persoalan dan Permasalahan Bahasa Melayu.

Program Persuratan Bahasa Melayu menawarkan kesusasteraan Melayu asas, iaitu kesusasteraan Melayu moden dan kesusasteraan Melayu tradisional. Kursus seperti Cerpen Melayu, Puisi Melayu, Kajian Manuskrip Melayu dan Sastera Sejarah diajarkan selama tiga tahun tempoh pembelajaran.

Bagi program Pengurusan Persembahan Seni Melayu, antara yang ditawarkan ialah Metodologi Penyelidikan Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu dan Kritikan Seni Persembahan. Program-program bahasa ini dapat memanfaatkan persekitaran untuk memangkinkan proses penguasaan bahasa. Kewibawaan bahasa Melayu juga akan semakin terserlah.

Ramai juga yang merasakan bahawa program dan bidang ini tidak mempunyai pasaran pekerjaan yang luas dan disifatkan sebagai tidak profesional. Malah kaum Cina, India dan lain-lain dilihat tidak begitu tertarik untuk menyambung pelajaran mereka dalam bidang ini. Hal ini mungkin disebabkan tanggapan stereotaip yang tercetus bahawa bidang ini hanya diminati orang Melayu sahaja. Tanggapan tersebut perlu dibuang sama sekali.

Penulis kaum India yang terkenal, Uthaya Sankar SB merupakan lepasan Persuratan Melayu UKM. Walaupun bukan Melayu, penulisan buku dan karya beliau adalah dalam bahasa Melayu. Hal ini jelas menunjukkan bahawa sesiapa sahaja boleh mempelajari bidang bahasa Melayu. Pelajar perlu sedar akan kebolehpasaran program dan bidang ini dari segi mewujudkan peluang pekerjaan kepada setiap graduannya, misalnya kerjaya yang berkaitan dengan pendidikan, seperti pensyarah/guru bahasa, perancang bahasa, guru, penyunting, wartawan dan lain-lain.

Kesimpulannya, bahasa Melayu merupakan bahasa yang menyatupadukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Kita perlu berbangga dengan bahasa kebangsaan kerana mencerminkan identiti nasional dan masyarakat negara ini. Kita berbangga apabila bertutur dalam bahasa Inggeris dan bahasa ibunda masing-masing, namun usahlah kita melupai bahasa Melayu yang tetap menjadi bahasa terpenting dalam pergaulan seharian kita selagi kita rakyat tanah air tercinta ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036559
    Visit Today : 41
    This Month : 19158
    Total Visit : 1036559
    Hits Today : 77
    Total Hits : 4252432
    Who's Online : 8
  • Kategori