Oleh NURUL HANANI HASMIN

PERSIDANGAN media telah diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) bersempena dengan kemenangan supertelefilem  Srengenge dalam Anugerah Telenovela 2018. Supertelefilem ini diadaptasi daripada novel karya Sasterawan Negara Shahnon Ahmad yang diterbitkan oleh DBP pada tahun 1973.

Terkenal dengan tajuknya yang unik, supertelefilem hasil kerjasama DBP, Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan syarikat produksi Arca Creative House Sdn. Bhd. ini berjaya memenangi tiga anugerah, iaitu telefilem terbaik, pengarah telefilem terbaik dan penulis telefilem skrip terbaik. Kemenangan ini merupakan kejayaan yang bermakna bagi Arca Creative House Sdn. Bhd. kerana supertelefilem ini penerbitan pertama syarikat sejak penubuhannya pada tahun 2015.

Antara yang menghadiri persidangan media pada 2 Ogos 2018 ini ialah Datuk Haji Abang Sallehudin Abang Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar), DBP, Encik Mahuddin Ibrahim, pengarah Srengenge, Puan Wan Mahani Wan Hassan, penulis skrip Srengenge dan Encik Khairul Rizam Datuk Abu Samah, Ketua Pegawai Eksekutif Arca Creative House Sdn. Bhd.

Encik Mahuddin menceritakan pengalaman semasa mengarah filem ini terutamanya cabaran supaya filem adaptasi ini tidak lari daripada jalan cerita novel Srengenge.

“Disebabkan filem ini banyak babak imbas kembali, kami cuba untuk membuat babak tersebut lebih menarik untuk tontonan orang ramai,” ujar Encik Mahuddin.

Srengenge ini memerlukan dialog yang berdialek Sik, Kedah. Menurutnya, disebabkan dialog tersebut agak panjang dan sukar untuk difahami, mereka memutuskan untuk menggunakan bahasa Melayu Kedah yang mudah difahami oleh penonton. Selain itu, tugas mencari lokasi untuk penggambaran filem ini juga merupakan satu cabaran baginya.

Puan Wan Mahani Wan Hassan, penulis skrip Srengenge.

Puan Wan Mahani yang pernah menulis skrip filem adaptasi novel cinta seperti Andainya Takdir berkata, “Sebaik-baik sahaja ditawarkan untuk menulis skrip Srengenge, saya menolak tugasan yang lain dan hanya menumpukan perhatian untuk menulis skrip filem ini.” Puan Wan Mahani menyatakan bahawa mengadaptasi novel serius berbeza daripada mengadaptasi novel popular. Menurutnya, dialog novel serius tidak boleh diubah sesuka hati kerana boleh mengubah kesahihan jalan ceritanya.

Datuk Haji Abang Sallehudin Abang Shokeran, Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) DBP, menjawab soalan daripada wartawan.

Datuk Haji Abang Sallehuddin pula berkata bahawa DBP ada menerbitkan pelbagai novel yang sesuai untuk diadaptasi sebagai filem. Sejak tahun 2011, lima buah novel, termasuk Srengenge, diadaptasi sebagai filem dan drama. Oleh itu, DBP sangat mengalu-alukan penerbit filem dan drama untuk memanfaatkan karya terbitan DBP untuk diadaptasi sebagai filem.

Datuk Haji Abang Sallehuddin seterusnya menerangkan bahawa anak muda kini kelihatan sudah mula berminat untuk membaca karya yang berat dan klasik. Bagi memupuk minat seperti ini, DBP akan menerbitkan semula karya Sasterawan Negara dan “meringankan” karya yang berat supaya bersesuaian dengan minat pembaca.

Dibintangi oleh barisan pelakon terkenal seperti Eman Manan, Shahronizam, Datin Fadilah Mansor, Jasmin Hamid dan Fathil Dani, Srengenge menceritakan bukit yang wujud di sebuah kampung dan dikenali sebagai Bukit Srengenge. Yang ingin disampaikan oleh penulis ialah konflik antara manusia dengan unsur animisme. Isu tersebut merupakan tabu bagi masyarakat Melayu sejak dahulu dan diketengahkan dalam novel dan supertelefilem ini.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044757
    Visit Today : 1178
    This Month : 27356
    Total Visit : 1044757
    Hits Today : 4352
    Total Hits : 4289325
    Who's Online : 6
  • Kategori