Oleh MUHAMMAD MUQRIS ALIF ZAIRIASDI

 

ISU bahasa kerap diperkatakan oleh masyarakat hari ini. Setiap hari kita akan berhadapan dengan kesalahan tatabahasa di dalam pelbagai media, baik media konvensional mahupun media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan Twitter. Selain kesalahan tatabahasa, kesalahan ejaan juga sudah semakin lazim sama ada dalam bahasa Malaysia mahupun bahasa Inggeris.

Dalam era kini, bahasa “rojak” telah mula menjadi satu trend dalam kalangan anak muda dan semakin hebat penularannya seiring dengan perkembangan teknologi dan media sosial. Bahasa “rojak” merupakan percakapan mencampurkan pelbagai bahasa dalam satu pertuturan. Walau bagaimanapun, bahasa dasarnya merupakan bahasa Malaysia. Antara contoh bahasa “rojak” yang popular waktu sekarang adalah:

– Cuba try test

– “Kamu pergi ke Perak melalui jalan kampung ataupun highway?” tanya Emma kepada Su.

– “Salam, malam ini akan diadakan meeting kedua untuk malam Aspirasi Seni,” ujar Ismail kepada rakan-rakannya.

Imej yang buruk akan terpalit dalam masyarakat apabila bahasa “rojak” ini digunakan. Negara bakal mempunyai bangsa yang gagal berkomunikasi dengan baik dan ini sekali gus akan menjatuhkan kedudukan bahasa Malaysia itu sendiri. Seterusnya mutu penguasaan bahasa Malaysia rakyat Malaysia akan merosot serta terhakis.

Baru-baru ini, penulis terlihat poster program yang dinamakan #jombekpes yang melibatkan universiti awam. Apabila penulis melihat nama program ini, penulis berasa seperti pihak penganjur tersebut langsung tidak peka untuk mengurangkan penularan bahasa “rojak”.

Apakah sebab nama program diberikan sedemikian? Alangkah elok jika nama program tersebut ialah #jomminumpagi.

Media sosial menjadi medan mencambahkan bahasa rojak.

Permasalahan ini hendaklah diselesaikan pada peringkat akar umbi, iaitu sekolah mahupun universiti. Guru dan pelajar hendaklah berganding bahu mengurangkan gejala ini daripada menular, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan.

Pihak berwajib juga hendaklah memantau setiap papan kenyataan ataupun notis yang ditampal. Mana-mana notis yang tidak menghormati sesuatu bahasa hendaklah diturunkan ataupun dibetulkan.

Pelbagai usaha perlulah dilakukan oleh kerajaan pada hari ini untuk membendung perkara ini daripada menjadi virus yang akan mengancam kedudukan bahasa Malaysia yang menjadi bahasa kebangsaan negara Malaysia. Usahlah kita memikirkan perkara yang lain jikalau masalah yang berada di hadapan kita masih belum selesai, bak kata pepatah Melayu, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.

Petikan satu rencana dalam akhbar Utusan Malaysia ada menyatakan, pengunaan bahasa Melayu “rojak” yang berleluasa adalah suatu bentuk kehilangan bahasa yang sekiranya tidak dibendung akan menghakis kekuatan bahasa itu sendiri. Oleh itu keaslian dan kekuatan bahasa Malaysia hendaklah terus dipelihara agar tidak hilang ditelan zaman. Bak kata pepatah, yang kurik kundi, yang merah saga, yang baik budi, yang indah bahasa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1032277
    Visit Today : 1236
    This Month : 14876
    Total Visit : 1032277
    Hits Today : 4471
    Total Hits : 4226743
    Who's Online : 3
  • Kategori