Oleh HAEME HASHIM

 APABILA Pakatan Harapan (PH) berjaya membentuk kerajaan Malaysia yang baharu pada Mei yang lalu, rakyat mula menuntut janji-janji PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu. Laungan Malaysia Baharu, hasil daripada perjuangan reformasi yang bermula pada tahun 1998 dianggap berjaya. Malaysia bakal melalui era reformasi dan perubahan. Namun, dalam mereformasi Malaysia, adakah rejim kerajaan baharu akan memberikan fokus yang signifikan pada perkembangan dan pembangunan bahasa Melayu?

Dalam manifesto kerajaan PH, beberapa isu berkaitan bahasa Melayu telah diambil kira dan penekanan untuk memperkasakan bahasa Melayu turut disenaraikan. Dalam manifesto ini, kerajaan PH mengulangi ikrar mereka dalam Perjanjian PH pada 2016 iaitu untuk memartabatkan penggunaan bahasa Melayu sejajar dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan serta memperluas peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau.

Tiada dibincangkan secara mendalam tentang rancangan kerajaan PH untuk memperkasakan bahasa Melayu serta bagaimana kerajaan PH mahu memperluas peranan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca serantau. Mengikut sejarah, bahasa Melayu memang pernah menjadi lingua franca di rantau ini suatu ketika dahulu namun tidak lagi pada hari ini. Agak menarik untuk melihat bagaimana kerajaan hari ini dapat memperluas penggunaan bahasa Melayu di rantau ini sedangkan masih ramai rakyat Malaysia yang kurang fasih berbahasa Melayu.

Selain itu, kerajaan PH turut berjanji untuk memastikan Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan diberi dana dan kuasa yang cukup untuk menjalankan tugas mereka. Hal ini bertujuan untuk memastikan sistem pendidikan negara lebih kompetitif dan memberikan tanggungjawab kepada majlis tersebut dalam menentukan mekanisme bagi mempertingkat penguasaan bahasa Melayu di sekolah.

Walau bagaimanapun, menjadi sedikit kemusykilan apabila kerajaan PH berjanji kepada para ibu bapa di Sabah dan Sarawak bahawa mereka akan diberi hak untuk menyuarakan pandangan dalam menentukan sama ada pembelajaran di sekolah akan menggunakan bahasa ibunda atau bahasa Inggeris. Bagaimanakah kerajaan hari ini dapat memperluas dan memperkasakan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca di rantau ini jika bahasa Melayu tidak diperkasakan di sekolah-sekolah di Sabah dan Sarawak?

Tidak dinafikan hak-hak warga Sabah dan Sarawak, seperti yang telah termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963. Namun, apakah perancangan jangka panjang kerajaan dalam memastikan bahawa janji mereka tentang pemerkasaan bahasa Melayu dalam manifesto akan ditunaikan?

Bagaimana kerajaan bercadang untuk memperluas penggunaan bahasa Melayu di rantau ini sedangkan masih ramai rakyat Malaysia yang kurang fasih berbahasa Melayu?

Bagaimana kerajaan dapat memperluas penggunaan bahasa Melayu di rantau ini sedangkan masih ramai rakyat Malaysia yang kurang fasih berbahasa Melayu?

Menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca di rantau ini merupakan janji yang sangat berat untuk dilaksanakan. Bagaimanakah kerajaan bercadang untuk mengatasi penggunaan bahasa Inggeris di rantau ini dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan lingua franca?

Walau apapun cadangan dan mekanisme yang bakal dibentangkan oleh kerajaan, langkah terawal yang perlu kerajaan lakukan adalah memperkasakan penggunaan bahasa Melayu di negara ini terlebih dahulu. Jika universiti di negara ini masih mengutamakan bahasa Inggeris sebagai bahasa utama dalam proses pengajaran dan pembelajaran, bagaimanakah mungkin pihak kerajaan mampu menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu?

Tidak dapat dinafikan kepentingan penguasaan bahasa Inggeris pada hari ini terutamanya dalam kalangan siswazah, namun pernahkah kerajaan mempertimbangkan sama ada yang dijanjikan dalam manifesto mereka itu munasabah atau praktikal untuk dilaksanakan? Amat menarik untuk melihat bagaimana kerajaan akan memperkenalkan mekanisme yang terbaik untuk mengotakan janji mereka bagi menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, jika tidak di rantau ini, sekurang-kurangnya di negara ini sendiri.

Jika dilihat daripada aspek perundangan pula, adakah kerajaan bercadang untuk memperkasakan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67? Akta tersebut dilihat terlalu lemah untuk memperkasakan bahasa Melayu di negara, lantas beberapa pindaan dan pembaharuan akta tersebut perlu untuk dilaksanakan. Apatah lagi, kali terakhir pindaan dibuat terhadap akta tersebut adalah pada 9 September 1994. Akta Bahasa Kebangsaan sangat memerlukan pembaharuan secara holistik bagi memastikan bahasa Melayu dapat diperkasakan dengan sebaik-baiknya.

Satu lagi persoalan, adakah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan terus diperkasakan dan diberikan dana serta kuasa bagi memastikan bahasa Melayu terus berdaya saing di negara dan rantau ini? Sememangnya nama DBP tidak disebut dalam manisfesto kerajaan PH, namun jika dilihat kepada fungsi dan niat asal penubuhan DBP ini, amat perlu kerajaan hari ini meoritatif.

Kota Rom tidak dibina dalam sehari, begitu juga dengan peracangan untuk memperkembangkan dan memperkasakan bahasa Melayu di negara serta rantau ini. Pelan lengkap jangka panjang diperlukan jika kita mahu memperkasakan bahasa Melayu. Perancangan ini memerlukan komitmen yang tinggi serta pelan yang bersifat holistik supaya hasil yang akan dituai nanti adalah yang terbaik.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1034882
    Visit Today : 1098
    This Month : 17481
    Total Visit : 1034882
    Hits Today : 5189
    Total Hits : 4243523
    Who's Online : 7
  • Kategori