BAHASA MELAYU sebagai bahasa kebangsaan negara Malaysia menjadi mata pelajaran yang wajib diajarkan di sekolah rendah dan menengah. Bagi menjamin keberkesanan mata pelajaran ini kepada para pelajar, maka tenaga pengajar perlu mengetahui teknik yang betul untuk mengajar mata pelajaran bahasa Melayu.

 Buku Pendekatan dan Teknik Pendidikan Bahasa Melayu Edisi Kedua yang ditulis oleh Dr. S. Nathesan ini memberi panduan kepada pembaca, terutamanya para guru bahasa Melayu untuk melahirkan suasana pengajaran bahasa Melayu yang menarik dan betul. Matlamat penulis menghasilkan buku ini adalah untuk mendedahkan pendekatan dan teknik yang betul dalam mengajar bahasa Melayu serta berkongsi beberapa isu pendidikan bahasa Melayu dengan guru, guru pelatih, pelajar dan pembaca umum.

Ada pendapat dalam kalangan masyarakat yang mendakwa bahawa pengajaran bahasa melayu di sekolah membosankan dan menyebabkan pelajar lebih menumpukan mata pelajaran yang bersifat teknikal seperti sains dan matematik. Namun, melalui buku ini, penulis menyangkal pendapat tersebut dan memberikan beberapa kaedah dan pendekatan yang boleh menarik minat pelajar untuk menghayati dan mempelajari bahasa Melayu.

Penulis memulakan penulisannya dengan membincangkan senario pendidikan bahasa Melayu dalam Bab 1, iaitu Sorotan Pendidikan Bahasa Melayu.  Dalam bab ini, penulis menghuraikan betapa pentingnya penghayatan terhadap Akta 152.  Antara permasalahan dalam mempelajari bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah rendah termasuklah pemerolehan perbendaharaan kata, pembinaan kosa kata serta permasalahan dalam penulisan.  Oleh sebab itu, penulis ada memberikan penyelesaiannya dalam bab 7 (Pemerolehan Perbendaharaan Kata dalam Kalangan Murid Sekolah Rendah), bab 8 (Membina Kosa Kata) dan bab 12 (Pemerengganan: Aspek Penting dalam Penulisan).  Penulis memberikan huraian yang terperinci tentang teknik yang sesuai untuk mengajar dan dalam konteks ini, penyertaan secara interaktif oleh pelajar akan menghasilkan suasana pembelajaran yang mantap.

Alat bantuan mengajar merupakan elemen penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran.  Penulis turut memberikan maklumat tentang kaedah dalam menggunakan alat bantuan mengajar dalam pengajaran bahasa Melayu.  Dalam bab 2, penulis menghuraikan pendekatan menggunakan kamus (Kamus: Penggunaannya Diabaikan dalam Pengajaran Bahasa).  Dalam bab 3 dan 4, penulis membincangkan pendekatan penggunaan bahan sastera seperti bahan prosa klasik dapat mengelakkan rasa bosan semasa proses pembelajaran bahasa.

Isu-isu semasa tentang bahasa Melayu turut ditonjolkan oleh penulis bagi membuka minda guru tentang persoalan tentang bahasa yang sering berlegar dalam kalangan masyarakat.  Contohnya, tentang isu sebutan baku yang dihuraikan dalam bab 15, Sebutan Baku: Satu Tinjauan Pelaksanaannya di Sekolah-sekolah, dan dalam bab 17, iaitu Pengajaran Tatabahasa di Sekolah Rendah Kebangsaan.

Buku yang ringkas dan padat ini wajar dimiliki oleh para guru bahasa Melayu serta pencinta bahasa yang perlu mengetahui bahawa proses pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu bukanlah sesuatu yang kelam, tetapi penuh warna-warni dan patut dinikmati oleh para pelajar.

  1. abd wahid says:

    Saya belum lagi memiliki buku ini. Salah satu teknik pengajaran dalam bahasa Melayu di sekolah rendah ialah drama arca. Adakah dalam buku ini turut membincangkan bagaimana teknik ini dijalankan beserta dengan contoh-contohnya?

    • Klik Web DBP says:

      Untuk makluman saudara, teknik tersebut tidak digunakan dalam buku ini tetapi bahan sastera seperti novel dan cerpen ada digunakan. Harap saudara dapat merujuk buku-buku lain yang berkaitan. Terima kasih.

  2. Awanis Johari says:

    Bagaimanakah untuk mendapatkan buku ini? Adakah buku ini terdapat di pasaran?

  3. angela lipot gonea says:

    Saya belum memiliki buku berkenaan danmemang tertarik dengannya. Oleh itu saya ingin mengetahui di manakah ia boleh diperoleh?

  4. marini mohd hazir says:

    Bagaimanakah cara untuk mendapatkan buku ini?

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014034
    Visit Today : 63
    This Month : 33379
    Total Visit : 1014034
    Hits Today : 139
    Total Hits : 4136941
    Who's Online : 11
  • Kategori