Oleh ZAIDI ISMAIL


KATA komik berasal daripada bahasa Inggeris, iaitu comic yang bermaksud lucu. Oleh itu, sekiranya diamati, sifat komik sememangnya sedemikian.

Perkembangan komik di Malaysia sangat memberangsangkan dan telah mencatatkan sejarahnya yang tersendiri. Komik Budak Kampung karya Datuk Lat atau nama sebenarnya Mohamed Nor Khalid telah diadaptasi dan dipersembahkan dalam bentuk animasi di televisyen tempatan. Komik Budak Kampung juga diterjemahkan ke dalam pelbagai bahasa lain, antaranya bahasa Jepun, Jerman, Perancis selain bahasa Inggeris.

Baru-baru ini, komik Budak Kampung turut diterjemahkan  ke dalam bahasa Arab. Untuk tujuan tersebut, Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi Mara (UiTM) telah diberikan kepercayaan oleh pihak Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM) bagi menangani tugas menterjemah tersebut. Penterjemahan komik tersebut ke dalam bahasa Arab merupakan satu lagi perkembangan postitif dalam melebarkan pengaruh dan peranan komik Malaysia ke negara Timur Tengah.

Kerja penterjemahan yang mengambil masa kira-kira enam bulan itu dilakukan secara berkumpulan yang melibatkan hampir semua tenaga pensyarah bahasa Arab, iaitu seramai 16 orang. Gabungan dan kerjasama para penterjemah dari pelbagai latar belakang serta lulusan di pelbagai negara di Timur Tengah dan tempatan dapat menghasilkan kualiti terjemahan yang amat baik.

Untuk berkongsi pengalaman tersebut, Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)  mengadakan Siri Diskusi Terjemahan: Pengalaman Menterjemah Komik  pada 27 Mei lalu di DBP. Profesor Madya Dr. Naimah Abdullah,  Timbalan Dekan Pelajar dan Alumni UiTM merangkap Pensyarah Bahasa Arab dan ketua panel penterjemah diberikan penghormatan untuk menyampaikan pengalamannya menterjemahkan komik tersebut.

Perbezaan budaya, adat, cara hidup dan realiti kehidupan masyarakat Melayu yang terdapat dalam komik Budak Kampung yang berbeza sama sekali dengan masyarakat Arab memerlukan pemahaman yang mendalam agar dapat diterjemahkan sebaik mungkin dalam bahasa Arab. Hal ini menuntut kefahaman panel penterjemah terhadap budaya, adat, serta cara hidup dan realiti kehidupan masyarakat Arab. Yang paling utama, segala mesej yang terkandung dalam komik asalnya dapat diterjemahkan dan disampaikan sesempurna dan setepat mungkin kepada khalayak pembaca di negara tersebut.

Melalui penterjemahan komik tersebut, adat dan budaya hidup masyarakat Malaysia yang dipaparkan di dalamnya dapat diperkenalkan kepada masyarakat luar. Secara tidak langsung, kita juga dapat memperkenalkan negara kita kepada masyarakat luar dan seterusnya manarik minat mereka untuk berkunjung ke negara kita.

Menurut Prof. Madya Dr. Naimah, menterjemah komik sehebat karya Lat memerlukan perancangan yang rapi dan teliti. Dalam pemilihan perkataan, struktur dan gaya bahasa bukan sahaja mengambil kira aspek ketepatan dari segi peraturan tatabahasa, namun perlu juga mengambil kira aspek kesesuaian dan keseimbangan berdasarkan genre komik yang bercirikan santai dan mudah difahami, serta padat dengan informasi. Hal tersebut juga perlu mengambil kira kemampuan para pembaca yang terdiri daripada pelbagai golongan, terutamanya kanak-kanak, remaja, dan dewasa.

Pada peringkat awal kemunculannya di Barat, selain mengandungi unsur kelucuan, komik juga sarat dengan kritikan halus. Selepas itu, barulah muncul komik yang berunsur aksi, seperti Superman, Batman, dan Captain America. Di negara kita pula, perkembangan komik bermula dengan hasil persembahan kartun oleh Rejabhab yang diselitkan dalam beberapa majalah, seperti majalah Dian dan akhbar Utusan Zaman. Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan Pak Jab merupakan kartunis terkenal Malaysia dan dianggap sebagai Penghulu Komik Malaysia. Tan Tin Tun merupakan antara karyanya yang sangat terkenal selain Perwira Mat Gila dan Mawar Oh Mawar. Kemudian, lahir pula komik dalam versi jenaka, seperti Gila-Gila dan Ujang.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014461
    Visit Today : 490
    This Month : 33806
    Total Visit : 1014461
    Hits Today : 1552
    Total Hits : 4138354
    Who's Online : 14
  • Kategori