Oleh NORAINI ABD. SHUKOR

 

 

BAHASA dan bangsa tidak boleh dipisahkan. Bahasa menunjukkan jati diri bangsa. Maju atau mundurnya sesuatu bahasa juga bergantung pada kekuatan bangsa itu untuk mendaulatkannya. Buku Bahasa, Negara dan Bangsa hasil tulisan Jeniri Amir ini menghuraikan persoalan berkaitan bahasa yang menghadapi cabaran yang getir sejak akhir-akhir ini. Buku ini menghimpunkan makalah yang pernah beliau tulis tentang isu dan permasalahan bahasa di Malaysia.

Persoalan pokok yang ditimbulkan oleh penulis adalah tentang tanggungjawab untuk memperkasakan bahasa Melayu yang perlu digalas oleh semua pihak dan bukan hanya tertumpu dalam kalangan pejuang bahasa sahaja. Melalui penulisan beliau, penulis menterjemahkan rasa bangga terhadap bahasa kebangsaan dalam pelbagai sudut pandangan. Bahasa kebangsaan bukan sahaja wajar digunakan dalam situasi rasmi malah dalam pelbagai situasi sosial. Menurut beliau, bahasa Melayu berjaya menjadi bahasa komunikasi, bahasa perantara, bahasa pergaulan dalam sektor pentadbiran, pendidikan dan sebagainya.

Perkara yang menyukarkan bahasa Melayu di tanah air sendiri ialah sikap segelintir individu yang memandang remeh terhadap keupayaan bahasa Melayu untuk menyampaikan ilmu. Sikap ini wujud kesan daripada terlalu mengagung-agungkan bahasa asing, terutamanya bahasa Inggeris yang menjadi lambang prestij sesetengah pihak. Huraian lanjut tentang perkara ini dapat dibaca melalui makalahnya yang berjudul Kesedaran Bahasa.

Barisan kepimpinan negara juga memainkan peranan penting untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan. Sikap, kesedaran serta kuasa yang ada pada merekalah yang boleh menentukan kedudukan bahasa Melayu. Keupayaan barisan kepimpinan menggunakan bahasa Melayu dengan betul dan lancar boleh menjadi contoh yang baik kepada rakyat. Hal ini kerana pengucapan ahli politik sering kali menjadi tontonan masyarakat. Sekiranya mereka tidak megah menggunakan bahasa, bagaimanakah rakyat ingin mencontohi mereka?

Para pembaca boleh melihat pelbagai perspektif tentang isu dan kekangan yang dihadapi oleh bahasa Melayu melalui makalah yang terkandung dalam buku ini. Antara makalah yang dimuatkan dalam buku ini ialah Sikap Ganjil terhadap Bahasa, Bahasa Cemerlang Media Gemilang dan Azam Bahasa.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1015001
    Visit Today : 1030
    This Month : 34346
    Total Visit : 1015001
    Hits Today : 5546
    Total Hits : 4142348
    Who's Online : 8
  • Kategori