haiwan

Oleh WAN NORASIKIN WAN ISMAIL

MASYARAKAT Melayu sering kali dilabelkan sebagai bangsa yang tidak tahu menghargai masa. Ungkapan“janji Melayu”kerap digunakan untuk menggambarkan orang Melayu yang tidak menepati masa. Jika diperhalus budaya masyarakat Melayu pada waktu itu, tanggapan masyarakat Melayu tidak menghargai masa kurang tepat. Pada masa dahulu, orang Melayu tidak mempunyai pengukur masa yang tepat. Oleh itu, mereka menggunakan pengukuran masa yang berkaitan rapat dengan alam sekeliling dan corak hidup mereka ketika itu, termasuklah menggunakan nama fauna sebagai perlambangan.

Orang Melayu zaman dahulu amat arif dalam pemerhatiannya terhadap alam persekitarannya. Oleh sebab mereka bekerja sebagai petani dan nelayan, masa sukar ditentukan dan mereka mengaitkannya dengan alam persekitarannya bagi mengatur sesuatu pertemuan. Hal ini mencetuskan peribahasa “kerbau turun berendam”, yang merujuk masa lebih kurang dalam pukul 6.00 hingga 7.00 petang (Dahlia Janan dan Sri Lanang Jaya, 2013). Kerbau akan melaksanakan rutin hariannya dengan berendam pada waktu petang sebelum senja berlabuh. Haiwan ini suka berendam untuk menstabilkan suhu badannya ketika cuaca panas dan untuk mengelakkan gigitan serangga.

Selain kerbau, ayam juga dikaitkan dengan masa. Ketika jam belum lagi mengambil tempat dalam rutin harian, ayam jantan akan berkokok sebagai tanda telah masuk waktu pagi. “Kokok ayam sekali” biasanya berlaku pada pukul dua pagi. Ayam jantan berkokok apabila masuk waktu dinihari atau apabila masuk 1/3 malam. Apabila menghampiri waktu subuh, ayam akan makin galak berkokok bagi mengingatkan manusia supaya bangkit menunaikan suruhan Allah. Hal ini dikatakan demikian kerana pada waktu itu, jam belum digunakan secara meluas. Bagi mengetahui waktu, masyarakat Melayu menggunakan alam sebagai rujukan untuk menentukan masa.

Keakraban manusia dengan alam haiwan ini dapat dilihat dalam gurindam “Hari Nak Siang”yang dipetik daripada Hikayat Malim Deman (Mohd. Taib Osman, 1987):

Berbunyi kuang jauh ke tengah,

Sering lanting riang di rimba,

Terdengar lembu di padang,

Sambut menguak kerbau di kandang,

Bertepuk mendung merak mengilai,

Fajar sidik menyingsing naik,

Kicau-kicau berbunyi murai,

Tabtibau melambung tinggi,

Mengukur balam di hujung bendul,

Terdengut puyuh panjang bunyi,

Puntung sejengkal tinggal dua jari,

Itulah alamat hari nak siang.

Peribahasa “mata belalang belum pecah sudah hendak tidur” merupakan sindiran kepada orang yang hendak tidur awal (lebih kurang pukul 8.00 hingga 9.00 malam). Menurut A. Samad Idris (1989), mata belalang tidak berkelip seperti mata manusia. Pecah mata belalang yang dimaksudkan adalah ungkapan tertutup mata atau berkelip atau lelap seperti mata manusia. Peribahasa ini dikiaskan kepada kanak-kanak yang cepat mengantuk, terutama apabila disuruh mengaji al-Quran pada waktu malam. Ada antaranya yang berpura-pura mengantuk kerana tidak mahu mengaji. Begitulah sindiran masyarakat dahulu kepada kanak-kanak yang malas apabila disuruh mengaji pada waktu malam.

Masyarakat Melayu juga mengaitkan lalat dengan masa. Waktu lalat terbang dari pukul 5.30 pagi hingga 6.30 petang (Norhasnah Adam, 2004). Lalat akan bangun awal pagi dan akan berehat apabila waktu menginjak senja. Jarang-jarang kita menemukan lalat terbang pada waktu malam, kecuali lalat sesat. Peribahasa “belum terbang lalat” menggambarkan masa yang disebut itu terlalu awal pagi. Peribahasa ini biasanya diungkapkan apabila seseorang merungut perihal sesuatu perkara yang ingin dilakukan pada awal pagi.

Waktu pagi juga dikaitkan dengan burung murai. Sudah menjadi kelaziman bagi “murai berkicau pada siang hari” yang merujuk hari yang akan cerah. Kicauan burung murai menandakan matahari sudah mula terbit dan bermulanya rutin harian untuk mencari rezeki. Biasanya murai berkicau pada awal pagi tetapi peribahasa “murai pun belum berkicau”menjelaskan pagi yang masih awal kerana murai masih belum terbang untuk mencari rezeki.

Jika murai dan lalat dikaitkan dengan waktu pagi, gajah pula menggambarkan suasana pagi yang sudah cerah, seperti dalam peribahasa “subuh gajah”. Gajah mempunyai deria bau yang amat baik tetapi mempunyai deria pelihatan yang amat buruk (WatikIdeo, 2017). Hal ini menunjukkan bahawa pelihatan gajah tidaklah seperti haiwan lain yang mempunyai pelihatan yang terang. Oleh sebab badan gajah besar, haiwan ini akan keluar mencari makanan apabila cuaca sudah betul-betul cerah. Kelemahan dari segi pelihatan menyebabkan haiwan ini terdedah kepada risiko kecederaan, seperti terjatuh ke dalam lubang dan gaung. Oleh itu, “subuh gajah” menggambarkan hari yang sudah siang dan waktu untuk solat subuh sudah berakhir.

Pemerhatian masyarakat Melayu terhadap sepatung mencetuskan peribahasa yang mengaitkan haiwan ini dengan masa. Contohnya, “bagai sepatung mandi”,selama sepatung cebok”dan“bagai sepatung menjilat air”. Sepatung atau sibur-sibur ialah serangga yang boleh terbang. Nama saintifiknya odonata, bertubuh ramping dan panjang. Sesetengah tempat menyebutnya dengan nama cakcibur atau pok idem. Biasanya serangga ini hinggap di pokok kecil dan daun lalang. Haiwan ini seakan-akan belalang kerana mempunyai sayap dan memakan serangga kecil, seperti semut.

Peribahasa yang berkaitan dengan sepatung menggambarkan waktu yang amat singkat. “Bagai sepatung mandi” menunjukkan keadaan yang amat sekejap, iaitu mengambil masa beberapa saat sahaja. Sepatung mandi hanya dengan mencelup sebahagian daripada badannya, tidak seperti haiwan lain yang mandi dan berendam berjam-jam lamanya. Begitu juga “bagai sepatung menjilat air”, datang dan kemudian pergi lagi.

Keakraban masyarakat Melayu dengan alam sekeliling, khususnya fauna, telah mencetuskan pelbagai ungkapan dalam peribahasa yang menggambarkan masa. Pembahagian masa, seperti pagi, petang dan malam, menunjukkan bahawa mereka cenderung untuk menggunakan alam haiwan sebagai rujukan bagi menentukan masa. Sesungguhnya masyarakat Melayu mempunyai pemerhatian yang tajam dan menjadikan alam sebagai guru yang amat bermakna bagi meneruskan kehidupan.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1035926
    Visit Today : 704
    This Month : 18525
    Total Visit : 1035926
    Hits Today : 2747
    Total Hits : 4248837
    Who's Online : 16
  • Kategori