Oleh A. FAZLY SAHAR

UNTUK meningkatkan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan para pelajar University Prince of Songkla (PSU), Thailand, Program Peningkatan Penggunaan Bahasa Melayu Musim Cuti 2010 Pelajar PSU pada tahun ini diadakan bagi kali kelapan. Program tahunan yang dilaksanakan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama PSU bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar PSU menghayati dan menggunakan bahasa Melayu yang dipelajari melalui interaksi dengan penutur asli bahasa Melayu di negara ini.

Program selama dua minggu ini bermula dari 28 Mac hingga 10 April lalu telah diisi dengan pelbagai aktiviti meliputi kebahasaan, persuratan, dan kebudayaan Melayu atau cara hidup masyarakat tempatan. Antara kursus bahasa Melayu yang diberi merangkumi sejarah ringkas perkembangan bahasa Melayu, morfologi bahasa Melayu, penulisan berita dan rencana, pengucapan awam dan kesantunan berbahasa. Para pelajar turut didedahkan dengan kesusasteraan Melayu seperti pantun, syair, sajak dan cerpen. Melalui aktiviti penghayatan sastera, mereka dapat menyaksikan pementasan teater Asy-Syura karya Dato’ Johan Jaffar yang dipentaskan di Auditorium DBP.

Pelajar PSU yang seramai 18 orang itu dibawa melawat ke tempat-tempat menarik di Melaka Bandar Raya Bersejarah seperti Perigi Hang Tuah, Muzium Melaka dan Kota A-Famosa untuk menghayati sejarah warisan Melayu. Selain itu mereka juga melawat ke tempat-tempat menarik di ibu kota dan Putrajaya.

Pada majlis penutupan program, pelajar mempersembahkan karya mereka dalam pelbagai bentuk seperti puisi, gurindam dan syair . Program Peningkatan Penggunaan Bahasa Melayu Musim Cuti Pelajar PSU diadakan sejak tahun 2002 dan sebelum ini dikenali sebagai Program Cuti Semester DBP-PSU.

Ceramah kesantunan berbahasa turut disampaikan kepada pelajar PSU.

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1042970
    Visit Today : 834
    This Month : 25569
    Total Visit : 1042970
    Hits Today : 2588
    Total Hits : 4282183
    Who's Online : 9
  • Kategori