Oleh ATIAH MOHD. SALLEH

(Bahagian Siaran Bahasa Melayu, CRI)

Mukadimah

SAYA menerima tawaran untuk berkhidmat di CRI pada akhir tahun 2007. Ketika itu, saya tidak tahu betapa bertuahnya saya kerana diberi peluang berkhidmat di negara yang akan menganjurkan beberapa acara besar peringkat dunia pada tahun-tahun berikutnya. Hari ini, setelah berada dua tahun setengah di negara “harimau yang baru terjaga dari tidurnya” ini, saya wajar mengucapkan terima kasih kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia (DBP) dan Radio Antarabangsa China (CRI) kerana memberi saya peluang untuk menimba pengalaman yang tidak ternilai ini.

Dalam rencana ringkas ini, saya akan menceritakan sedikit sebanyak pengalaman saya selama berada di Beijing sebagai Penasihat Bahasa Melayu di Bahagian Siaran Bahasa Melayu, CRI. Memang banyak cerita yang mahu saya kongsikan, namun, saya akan memilih beberapa episod yang memberikan kesan yang besar kepada saya.

Memulakan Khidmat di CRI

Walaupun telah beberapa kali berkunjung ke Beijing, namun kedatangan saya kali ini terasa benar kelainannya kerana Beijing yang saya kenali dahulu sudah hampir tiada lagi. Ini ialah Beijing baru, Beijing yang sudah begitu moden. Beca yang berkeliaran mencari penumpang, sudah tiada lagi, basikal bukan alat pengangkutan penting lagi, kereta besar dan menjalar kini sudah memenuhi jalan raya. Beijing juga sudah di ‘lingkari’ oleh enam atau tujuh lingkaran lebuh raya yang begitu moden, lapan sistem “subway” atau kereta api bawah tanah sudah memintas antara satu sama lain di bawah bumi Beijing. Perkembangan dan pembangunan Beijing benar-benar mengagumkan.

 

Penulis (kiri) bersalaman dengan Presiden CRI (kanan) semasa sambutan Tahun Baru China.

  

Penulis (kanan) bersama-sama rakan di Taman Ditan.

 

Saya bertuah kerana dapat menghayati tiga kali sambutan Tahun Baru China yang cukup meriah, iaitu Tahun Tikus, Tahun Lembu dan Tahun Harimau. Sudah menjadi tradisi, CRI turut mengadakan sambutan dengan pelbagai acara yang melibatkan pakar asing setiap tahun. Sambutan dan jamuan yang diadakan mungkin agak sederhana, namun kemeriahannya akan tetap menjadi kenangan yang sukar untuk dilupakan. Bagi saya, keprihatinan pemimpin CRI juga sesekali menyentuh hati saya, lebih-lebih lagi apabila Presiden dan pemimpin tinggi yang lain “turun” untuk menziarah dan mengucapkan selamat kepada kami yang bertugas pada cuti Tahun Baru.

Selain itu, taman-taman di Beijing juga mengadakan sambutan dengan pelbagai pertunjukan dan persembahan, khususnya Taman Ditan yang suatu waktu dahulu menjadi tempat Maharaja China memuja dewa-dewa dan memohon agar negaranya sentiasa sejahtera dan Taman Tiantan.  Suasana perayaan di taman-taman ini memang cukup meriah dengan pelbagai persembahan budaya, seni tradisi seperti opera dan wayang kulit tetapi yang paling mengesankan ialah betapa ramainya warga kota yang datang ke taman-taman ini hingga berasak-asak dan amat sukar untuk bergerak!

Namun, pesta paling besar yang sukar dilupakan ialah temasya sukan dunia yang diadakan di Bejing pada bulan Ogos 2008. Sukan Olimpik ke-27 dan Sukan Paralimpik di Beijing ini membawa perubahan pelbagai rupa kepada kota Beijing. Ia bukan sahaja mendorong perubahan wajah Beijing secara fizikal dengan bercambahnya stadium, kolam renang juga pelbagai pusat sukan dan riadah yang bersifat mega, malah telah mempercepat pembangunan infrastruktur dan perubahan perspektif warga China terhadap “orang asing”.

Walaupun tidak dapat menyaksikan pertandingan sukan ini dari dalam stadium Sarang Burung atau Kubus Air, namun, kerana CRI menjadi satu daripada tiga badan penyiar antarabangsa yang diberi hak membuat berita dan liputan pesta sukan itu, maka kami juga mendapat/membuat berita dan liputan terkini secara langsung sepanjang masa. Suasana di pejabat pada hari-hari semasa musim sukan itu seolah-olah di stadium, riuh rendah dengan sorakan. Keadaan ini masih terbayang dalam ingatan saya hingga ke hari ini.

Penulis bersama-sama Puan Sa’odah Abdullah (kiri), mantan staf DBP di Tembok Besar China.

 

Lawatan dan Liputan ke Luar Kota

Bertugas di CRI juga memberikan peluang saya menimba pengalaman yang pelbagai rupa, termasuk lawatan dan liputan ke Provinsi Guizhou pada bulan April 2008, dan liputan promosi ke sempadan China, Xinjiang-Kazakhstan pada bulan Ogos 2009.

Guizhou yang cukup indah dengan keaslian buminya yang beralun itu seirama dengan budaya tempatan pelbagai etnik minoriti yang menghuni gunung-ganang dan lembah pamahnya. Lawatan ke Guizhou selama lapan hari itu merupakan program promosi pelancongan “Guizhou yang Berwarna-warni” sempena pelancaran Laman webnya.

Pada tahun 2009 pula, saya terlibat sama dalam program promosi wartawan ke sempadan China secara besar-besaran. Kumpulan kami ke Wilayah Autonomi Uygur di Xinjiang, dan program ini telah membawa kami langsung ke sempadan China-Kazakhstan yang penuh sejarah itu.

Pakar Asing juga sering diundang ke upacara dan acara-acara tertentu, sama ada yang dianjurkan oleh CRI atau Kedutaan Besar masing-masing di China. Antaranya ialah sambutan Perayaan Songkran bagi orang beragama Budhha, Hari Raya Qurban, Hari Krismas dan Sambutan Hari Wanita Sedunia yang selalunya diadakan di Dewan Besar Rakyat China, berhampiran Tiananmen.

Kehidupan Di Beijing

Hidup di Beijing saya rasa agak tenang dan selamat. Jalan yang cukup lebar dengan lorong basikal yang lebar, dan lorong pejalan kaki yang berasingan, menjadikan “pengalaman berjalan kaki” amat selamat dan menggalakkan. Begitu juga terdapatnya pengawal keselamatan beruniform hijau yang berwajah serius di setiap “men” atau pintu besar bangunan pejabat, kawasan perumahan dan lain-lain, seolah-olah memberikan jaminan bahawa kebanyakan kawasan di sini adalah selamat.

Selain mengikuti lawatan dana liputan rasmi ke merata tempat di sekitar Beijing dan provinsi-provinsi lain, saya juga menggunakan cuti tahunan untuk berjalan dan melancong ke tempat-tempat menarik, antaranya ke Xian, Shanghai, Hangzhou, Suzhou, Monggolia Dalam dan Tianjin. Di sekitar Beijing, saya juga berusaha menziarahi sebanyak mungkin masjid dan kawasan-kawasan yang banyak didiami oleh warga Islam selain melawat Tembok Besar, Kota Larangan, Istana Musim Bunga, Taman Tiantan dan beberapa tempat istimewa, pelbagai taman dan kebun buah-buahan pada pelbagai musim.

Sesungguhnya, hidup di China memang banyak cabaran dan dugaannya. Ada juga beberapa “tabiat” sebahagian warga China di Beijing yang tidak saya fahami sehingga kini, seperti berludah di mana-mana sahaja, bercakap menggunakan telefon bimbit di khalayak ramai dengan suara yang begitu kuat, dan membiarkan anak-anak membuang air kecil di tepi jalan dan di pangkal pokok! Namun, semuanya ini dapat saya hadapi tanpa perlu memahaminya, dan inilah antara perkara yang mewarnai pengalaman hidup saya di Beijing.

Puan Atiah Mohd. Salleh, mantan staf DBP ialah pakar asing yang bertugas di Bahagian Bahasa Melayu (BBM), Radio Antarabangsa China (CRI), Beijing, China sejak tahun 2007 sehingga sekarang. Beliau juga menulis dalam blog interaktif “Perspektif Saya” yang boleh dicapai melalui laman web CRI di www.cri.cn/http://malay.cri.cn

  1. rohani says:

    Assalamualaikum w.b.t .Salam 1 Malaysia dan Selamat Hari Raya.Saya suka membaca artikel Puan. Untuk pengetahuan Puan, saya bersama-sama kawan akan ke Beijing pada 24 oktober 2011.

    • Klik Web DBP says:

      Terima kasih kerana membaca artikel berkenaan. Untuk pengetahuan saudara, penulis telah pun menamatkan tugasnya di CRI, Beijing dan kembali ke tanah air. Walau bagaimanapun, beliau masih boleh dihubungi melalui alamat e-mel atiah25@yahoo.com.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036799
    Visit Today : 281
    This Month : 19398
    Total Visit : 1036799
    Hits Today : 1189
    Total Hits : 4253544
    Who's Online : 7
  • Kategori