Oleh NURDIANA MOHD KAMAL

persembahan mekmulung berlangsung di bangsal yang terbuka, berlantaikan tanah

Persembahan mekmulung berlangsung di bangsal yang terbuka, berlantaikan tanah.

MEKMULUNG merupakan seni persembahan warisan Melayu yang terkenal di negeri Kedah. Mekmulung berasal daripada perkataan “mek”, iaitu panggilan kepada gadis, sementara perkataan mulung mempunyai dua maksud, iaitu nama hutan Ligor, di Siam, iaitu tempat bermulanya persembahan ini diadakan, manakala maksud kedua ialah sulung, iaitu anak pertama yang memegang watak Puteri Cahaya Bulan.

Persembahan mekmulung pada awalnya mempunyai unsur animistik, iaitu ritual. Ritual ialah upacara menyembah hormat kepada roh nenek moyang yang berperanan melindungi kehidupan daripada anasir jahat. Persembahan mekmulung berlaku di bangsal yang terbuka dan berlantaikan tanah.

Persembahan mekmulung dimainkan oleh pelakon lelaki.

Persembahan mekmulung dimainkan oleh pelakon lelaki.

Sebuah kawasan kecil dan bulat di pusat pentas berfungsi sebagai tempat untuk persembahan manakala penonton duduk di pinggir panggung berhampiran dinding belakang. Pada awalnya, sebelum persembahan ini berlangsung, Pak Mulung akan memainkan lagu untuk membuka bangsal, “Kecik molek yang mengarang lae… yang bunga, namun bunga dikarang yang tidak lae… bertali”.

Mekmulung dimainkan oleh pelakon lelaki kerana kehidupan di kampung tidak menggalakkan wanita tampil beraksi di hadapan khalayak. Oleh itu, watak puteri dan inang digantikan oleh lelaki dalam lingkungan umur 10 hingga 15 tahun yang berpakaian seperti perempuan, iaitu berbaju kurung dan bertudung.

Ahmad Shahdan, ahli kumpulan mekmulung Kampung Baru Wang Tepus.

Ahmad Shahdan

Kebiasaannya, persembahan ini berlanjutan sehingga tiga hari dari pukul 10.00 malam hingga tepat pukul 12.00 malam. Watak raja atau lebih dikenali sebagai Pak Mulung menggunakan seikat rotan yang digelar “Rotan Ketujuh” untuk menakutkan Awang Pengasuh dan rotan ini juga berfungsi untuk merawat pesakit yang terkena rasukan jin dan hantu. Awang Pengasuh pula hanya menggunakan topeng dan golok yang diperbuat daripada kayu yang disebut “Tongkat Wak”.

Menurut Ahmad Shahadan yang merupakan ahli kumpulan mekmulung Kampung Baru Wang Tepus, “Pembukaan kepada persembahan mekmulung ialah lagu instrumental dengan menggunakan alat tradisional, iaitu empat gendang, satu serunai dan satu gong. Persembahan ini akan diteruskan dengan mantera serapah yang dilontarkan oleh Pak Mulung. Kebiasaannya pukulan gendang mesti mengikut rentak nyanyian Pak Mulung, sementara watak puteri dan inang hanya muncul menari pada pembuka dan penutup persembahan sahaja.”

Persembahan mekmulung akan diteruskan dengan penceritaan berdasarkan hikayat. Pada zaman dahulu, mekmulung mempunyai lebih daripada 21 hikayat dan rentak irama setiap hikayat sama walaupun penceritaannya berbeza. Persembahan kumpulan mekmulung Kampung Baru Wang Tepus menceritakan hikayat Raja Cahaya Bulan. Encik Salleh merupakan generasi ke-7 yang mengetuai kumpulan ini. Persembahan ini juga dianggotai oleh ahli keluarga sahaja.

Awang Pengasuh

Awang Pengasuh

Peranan pencerita ini dilakukan oleh Pak Mulung. Ketua atau Pak Mulung merupakan watak utama, iaitu sebagai seorang Raja Cahaya Bulan dalam persembahan ini. Semua pertukaran adegan atau perpindahan suasana dalam cerita akan dilakukan dengan cara nyanyian beramai-ramai. Lagu atau nyanyian ini merupakan lagu tradisi yang diwarisi turun-temurun yang tidak dikenal pasti siapa pencipta irama dan seni katanya.

Pak Mulung juga bertanggungjawab mengendalikan persembahan dan menjaga adab dan tingkah laku diri dan ahli kumpulan. Menurut kepercayaan mereka, sekiranya melanggar pantang larang dan batas susila, nescaya akan berlaku gangguan misteri kepada ketua, ahli keluarga, pemain malah penduduk setempat.

Salleh, generasi ke-7 yang mengetuai kumpulan mekmulung Kampung Baru Wang Tepus.

Salleh, generasi ke-7 yang mengetuai kumpulan mekmulung Kampung Baru Wang Tepus.

Melodi mekmulung yang dihasilkan oleh serunai akan dinyanyikan oleh Pak Mulung dan disahut oleh ahli kumpulan secara berbalas-balas. Sekiranya ahli kumpulan tidak menyahut nyanyian tersebut, maka persembahan itu akan “mati”. Mati bermaksud persembahan itu tidak dapat diteruskan kerana diganggu oleh anasir jahat, iaitu hantu dan jin.

Gaya nyanyian Mekmulung kebanyakannya bersifat silabik iaitu setiap pic yang dinyanyikan mempunyai seni kata lagu dengan hiasan vokal kecil. Buktinya, lagu “Raja Nak Bangkit” mempunyai maksud seni kata tersendiri, iaitu menerangkan identiti seorang raja. Gendang pula menghasilkan nada yang tinggi dan rendah dalam membentuk irama lagu. Gaya bahasa dari segi penyampaian lagu ini juga menggunakan kata seru untuk menyatakan rasa kagum:

                          La amboi duduk melenggong dan di seorang lae…sendiri

                          La amboi ayah dan tidak di seorang lae… sendiri

Setiap tarian memaparkan gerak-geri tangan dan kaki yang spesifik dan diiringi lagu tertentu. Pada permulaan, penari duduk di lantai untuk membuka sembah, kemudian berdiri dan membentuk sebuah bulatan, diiringi pukulan gendang dan gong. Penari mengangkat tangan kiri dan diselangi tangan kanan. Kesemua tangan penari hendaklah dalam keadaan jari yang tegak dan lurus ketika melakukan tarian.

Dialog pula dituturkan secara spontan tanpa menggunakan sebarang skrip. Persembahan ini juga mengandungi kelucuan. Kebiasaannya unsur ini terlihat pada watak Awang Pengasuh yang membangkitkan perkara yang berlaku setiap hari sebagai bahan untuk mencuit hati penonton.

Keadaan jari yang tegak dan lurus ketika melakukan tarian.

Keadaan jari yang tegak dan lurus ketika melakukan tarian.

Persembahan mekmulung juga berkait rapat dengan terapi seni yang digunakan sebagai medium untuk menyembuhkan penyakit seperti gangguan mental, kekecewaan dan kemerosotan kesihatan. Persembahan mekmulung ini dipegang oleh watak Dewa Muda yang bertanggungjawab menyembuhkan pesakit.

Kini, mekmulung lebih dikenali sebagai teater rakyat yang merangkumi dialog, lakonan, tarian, nyanyian dan muzik instrumental. Mekmulung lebih kepada persembahan untuk menghiburkan penonton dan tidak lagi mempunyai unsur spiritual atau ritual. Bahasa pengucapannya ialah bahasa Melayu harian loghat Kedah dan loghat Melayu Patani. Dari segi lakonan, gerak-geri lakonnya masih sama, iaitu bebas dan spontan serta banyak mengandungi unsur harian masyarakat Melayu.

Memang tidak dapat dinafikan bahawa persembahan mekmulung merupakan kisah yang pernah terjadi pada zaman dahulu. Oleh itu, Mekmulung merupakan warisan Melayu yang perlu dipelihara oleh semua lapisan masyarakat.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013715
    Visit Today : 978
    This Month : 33060
    Total Visit : 1013715
    Hits Today : 3338
    Total Hits : 4135443
    Who's Online : 13
  • Kategori