Oleh NORSUHAILA IBRAHIM

BUDAYA prank semakin menular dalam masyarakat kita pada hari ini. Prank merupakan budaya seseorang merancang untuk melakukan tipu helah atau penipuan terhadap orang lain.

Prank biasanya dianggap sekadar untuk hiburan diri sendiri atau orang lain. Kini, prank semakin menjadi fenomena global, malah dinanti-nanti bukan hanya dalam media sosial, bahkan turut rancak dalam radio dan televisyen. Prank juga boleh dijadikan sebagai tangkal pelaris untuk slot hiburan radio dan televisyen. Mungkin bagi sesetengah orang, prank hanya gurauan semata-mata. Sejauh manakah gurauan itu hanya sekadar gurauan? Adakah gurauan ini masih berada dalam batasnya? Memang tidak dapat dinafikan bahawa ada prank yang lucu, namun sering kali dianggap melangkaui batas dalam budaya masyarakat kita.

Pernahkah kita terfikir bagaimana jika bahan cerita yang ingin kita guraukan itu mampu untuk memberikan reaksi di luar jangkaan kita? Pernahkah kita terfikir tentang sensitiviti orang lain? Bukan semua hal boleh dibawa bergurau dan bukan juga hidup ini perlu sentiasa serius sehingga tidak boleh langsung untuk kita bercanda ria. Namun demikian, biarlah gurauan kita itu bertempat dan berada dalam batasannya. Tidak semestinya jika sesuatu budaya itu diterima secara meluas oleh masyarakat, maka budaya tersebut betul. Adakah industri hiburan mengikut selera penonton atau penonton menghadamkan apa-apa sahaja segala perkara yang disuap oleh industri itu?

Tindakan mengenakan orang dengan amaran palsu ini bukan perkara baharu. Budaya ini sudah lama diungkap dalam sejarah. Kisah budak dengan serigala merupakan satu daripada kisah Aesop’sFables atau Aesopica yang merujuk legasi Greece purba antara tahun 620 hingga 560 S.M. Kisah ini dikaitkan dengan ajaran Aristotle yang menegaskan bahawa orang yang berbohong mendapat habuan, iaitu apabila mereka bercakap benar, mereka tidak akan dianggap benar (tidak dipercayai)”. Budaya ini seiringan dengan mentaliti “loyar buruk” yang semakin meraih keberanian untuk berkembang. Budaya ini bukan sekadar perkataan, tetapi dizahirkan melalui perbuatan. Tarikh 1 April menjadi hari “ibadah” untuk budaya prank ini.

Budaya ini merupakan budaya rendah yang menjadi kebiasaan masyarakat hedonisme Hollywood, lalu tersebar untuk diterima sebagai hiburan oleh golongan yang bermentaliti rendah. “Bergurau tidak kena tempat”. Jika pada suatu ketika dahulu gurauan ini menjadi bahan ketawa, seperti siri America’s Funniest People sekitar tahun 1990-an dan Just for Laugh (Juste Pour Rire), lama-kelamaan gurauan ini berubah menjadi versi yang agresif, seperti Jackass,menjelang milenium baharu.

Dengan jati diri yang rendah, apa-apa sahaja yang datang ke sini dari negara lain ditelan dan diterima, dan menjadi budaya kita. Budaya prank dan seiringan dengannya, seperti parodi, menjatuhkan harga diri kita. Biarpun prank dan parodi kini menjadi begitu popular dan digilai ramai, kita seharusnya mengambil maklum bahawa parodi yang sifatnya membodohkan diri, menjatuhkan maruah diri sendiri (sebelum menjatuhkan maruah orang lain), dan melakukan perbuatan lain yang mengaibkan, batas pemisahnya hanya satu – ada rasa “malu” atau “tidak ada rasa malu”. Jika ada rasa malu, tandanya ada iman. Jika tidak kisah untuk memalukan diri sendiri dan mangsa kita dengan prank itu, tepuk dada tanya iman.

Rancangan panggilan hangit atau yang seumpamanya, yang dilakukan oleh stesen radio tertentu yang mengejutkan orang dipanggil, menakutkan, mempersendakan, dan memalukan mereka menjadi sesuatu yang haram dari segi agama, apatah lagi rancangan itu didengar oleh banyak pendengar dan menimbulkan rasa malu atau kejutan kepada mangsa. Rancangan seperti itu hanya memperbodoh mangsa dan menjadikan mangsa bahan untuk ditertawakan oleh orang ramai secara yang memalukan. Secara tidak langsung, perbuatan ini sering mendedahkan aib peribadi mangsa yang tidak sepatutnya. Kisah 1 dan Kisah 2 di bawah merupakan contoh prank yang berlaku dalam masyarakat kita.

Kisah 1:

“Ingatkan betul dapat sponsor”, demikian luahan seorang lelaki baru-baru ini yang menerima panggilan prank dari sebuah stesen radio swasta. Dia betul-betul menyangka bahawa ada pihak yang sudi untuk menaja misinya menjelajah Semenanjung Malaysia dengan berbasikal, melawati 320 buah masjid dan mengumpulkan derma untuk disampaikan kepada pihak yang memerlukannya. Ahmad (bukan nama sebenar) terpaksa akur dengan kehendak penyampai radio yang memintanya melakukan perkara yang dipinta.

Namun demikian, alangkah sedihnya Ahmad apabila mendapati bahawa panggilan telefon dari stesen radio berkenaan hanya sekadar gurauan. Perkara itu mendapat perhatian rakannya, Mohd. Affandi (bukan nama sebenar), yang terkilan dan menganggap tindakan stesen radio berkenaan sebagai tidak sensitif. Dia berkata bahawa sahabatnya itu sehelai sepinggang dalam ekspedisi ini. Basikal yang digunakan juga hasil sumbangan orang awam. Dengan dana yang terhad, Ahmad meneruskan ekspedisi itu dengan ditemani seorang lagi sahabatnya yang menaiki motosikal.

Kisah 2:

Hafiz (bukan nama sebenar) baru-baru ini berkongsi kisah mengenai budaya prank yang sedang menular dalam kalangan masyarakat kita dalam laman sosialnya.

Ada sekali tu semasa saya tengah scroll Facebook, saya ternampak status seorang sahabat Facebook perempuan saya. Dia tulis bekas kekasih dia telefon dia. Punya la bermadu kasih yang sudah lama terpendam di hati. Siap luah rindu dan sayang. Perempuan ini pula cakap yang dia pun rindu kepada bekas kekasih dia juga. Tetapi “eh … bukan perempuan ni isteri orang ke?” Ya Allah! Mengucap panjang saya.

Saya malas nak habiskan membaca status dia sebab panjang sangat. Saya sudah mula bersangka buruk kepada dia. Hampir saya nak block sahabat Facebook saya itu, tetapi disebabkan saya kasihankan suami dia, maka saya baca la juga sampai habis cerita dia. Mana tahu saya boleh nasihatkan si suami kalau saya tahu kisah sebenar kan?

Ya Rabbi! Rupanya pada status bawah dia menulis lebih kurang macam ini. “Masa nak pergi honeymoon dengan bekas kekasih rupanya ada dua bilik hotel “

Hotel yang sama, bilik yang sama… 

Tetapi, dua harga yang berbeza… 

Kenapa bayar lebih? 

Anda boleh mencari hotel ideal anda di Trivago… 

Trivago membandingkan lebih daripada 200 laman web.. 

Anda boleh mencari hotel ideal anda dengan harga terbaik.. 

Hotel? Trivago!

Terkedu saya. Saya tidak mampu hendak gelak walaupun saya tahu ini cuma prank. Cuma saya rasa sedih. Saya tidak tahu apa perasaan suami dia selepas membaca status isteri dia ini? Macam mana kalau suami dia terlafaz cerai disebabkan prank dia ini?Saya tidak tahu apa akan jadi kalau saya cuma membaca sekerat jalan sahaja tadi. Mesti saya akan memandang buruk kepada sahabat Facebook wanita saya ini sampai bila-bila.

Inilah antara tulisan Hafiz mengenai status prank rakan Facebooknya itu. Kita perlu beringat bahawa dalam 1000 orang rakan Facebook kita, mungkin hanya 100 orang yang suka membaca sekerat jalan sahaja cerita kita. Maka maruah kita akan tercemar di mata 100 orang itu sekiranya kita prank rakan-rakan kita itu (hanya kita menganggap cerita kita itu sekadar gurauan semata-mata, tetapi sebenarnya ada yang menganggap cerita kita itu benar). Kita seharusnya lebih peka terhadap sebarang cerita atau status yang hendak dimuat naik dalam media sosial. Jangan sampai ada rumah tangga yang hancur hanya kerana satu prank.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1015014
    Visit Today : 1043
    This Month : 34359
    Total Visit : 1015014
    Hits Today : 5594
    Total Hits : 4142396
    Who's Online : 7
  • Kategori