OLEH NORSUHAILA IBRAHIM

Berita merupakan jenis penulisan yang biasa kita temui dalam pelbagai majalah dan akhbar. Secara umumnya, berita bolehlah dijelaskan sebagai perkara yang dikhabarkan melalui media cetak atau media elektronik. Berita terdiri daripada fakta-fakta tetapi bukan setiap fakta boleh dianggap berita. Berita biasanya perihal tentang manusia, peristiwa dan hal. Namun begitu, bukan setiap orang mempunyai nilai-nilai berita tentang dirinya yang menarik perhatian orang lain. Berita merupakan apa-apa sahaja yang berlaku dalam dunia ini.

Berita ialah maklumat yang pertama kali diketahui oleh pendengar atau pembaca. Maklumat ini akan menimbulkan minat pembaca. Adre Gide mengatakan bahawa berita “ialah sebarang maklumat yang akan basi esok jika tidak disiarkan pada hari ini”. Berita ialah satu laporan tentang peristiwa atau kejadian yang berlaku, yang baru dan luar biasa sifatnya, yang ingin diketahui umum. Berita juga merupakan unsur penting dalam kehidupan kerana kita selalu menaruh perhatian terhadap sesuatu yang terjadi di sekitar kita.

Terdapat beberapa jenis berita, antaranya Straight News yang merupakan berita langsung dan ditulis secara pendek. Secara umumnya, sebahagian besar bahagian halaman surat khabar diisi dengan berita jenis ini. Terdapat dua jenis berita langsung iaitu hard news dan soft news. Hard news merupakan berita pendukung, berita yang ringan dan nilai beritanya di bawah hard news.Berita soft news pula adalah berita yang dari segi struktur penulisan relatif mudah disesuaikan, dan dari segi isi tidak terlalu berat.

Jenis berita seterusnya ialah depth news yang merupakan berita yang mendalam, dan dikembangkan secara mendalam yang bertujuan untuk lebih mengangkat suatu permasalahan secara lebih mendalam. Manakala investigation news pula merupakan berita yang dikembangkan berdasarkan penelitian ataupun penyelidikan yang dilakukan daripada pelbagai sumber. Seterusnya, interpretative news pula merupakan berita yang dikembangkan dengan pendapat ataupun melalui penelitian yang dilakukan oleh penulisnya. Opinion news pula merupakan berita tentang pendapat seseorang, misalnya pendapat mahasiswa.

Bahagian berita pula terbahagi kepada headline atau judul, deadline, lead dan body. Headline atau dikenal juga sebagai judul umumnya dilengkapi juga dengan anak judul. Fungsi headline ini adalah untuk memudahkan pembaca supaya segera mengetahui tentang peristiwa yang akan disampaikan dan menonjolkan berita tersebut dengan sokongan grafik supaya menjadi lebih menarik. Manakala deadline pula terdiri daripada nama media massa, tempat, peristiwa dan juga masa terjadinya peristiwa. Tujuannya untuk menunjukkan tempat peristiwa dan nama media massa yang menyampaikan berita. Seterusnya, lead pula merupakan unsur yang sangat penting dalam berita kerana dapat menentukan apakah isi daripada berita tersebut akan dibaca atau tidak oleh masyarakat. Lead juga adalah inti suatu berita, yang berfungsi untuk menggambarkan seluruh isi berita tetapi secara ringkas. Biasanya disebut dengan teras berita dan ditulisnya pada paragraf pertama. Manakala body pula merupakan bahagian isi berita, isinya peristiwa-peristiwa yang dilaporkan dengan bahasa yang singkat, jelas dan padat. Body dapat disebut juga sebagai bahagian perkembangan berita.

Kriteria berita adalah seperti berikut:

1) Pembaca (khalayak/penonton).

Sebagaimana rambut yang tidak sama hitam, demikian pula, tidak ada dua pembaca yang sama seleranya. Hal ini dikatakan demikian kerana cerita yang sama boleh jadi terlalu penting atau menarik kepada seseorang pembaca daripada pembaca yang lain.

2) Kesan.

Berapa banyakkah orang mendapat kesan daripada sesuatu peristiwa tertentu dan bagaimana seriusnya peristiwa itu, sehingga merangsangkan mereka supaya menyifatkan peristiwa itu penting sebagai berita?

3) Dekat.

Biasanya peristiwa yang sama merupakan berita lebih penting kalau peristiwa itu berlaku di tempat anda sendiri daripada kalau peristiwa tersebut berlaku 800 km malah 16 km jauhnya dari tempat anda (ruang). Dekat dari segi perasaan atau emosi. Jika saudara kita berada di Afrika, semua berita dari Afrika menjadi minat kita.

4) Baharu.

Berita hari ini akan basi pada hari esok. Walau bagaimanapun, dibandingkan dengan berita yang disiarkan dalam radio atau televisyen, banyak majalah dan akhbar pada hari ini menumpukan perhatian yang lebih untuk memberitahu pembaca bagaimanakah dan mengapakah sesuatu kejadian boleh berlaku dan kurang memberitahu bila kejadian tersebut berlaku.

5) Masyhur.

Nama-nama biasa tidak menjadi berita. Setiap hari kanak-kanak bermain congkak tidak dilaporkan sebab hal itu bukan berita. Tetapi apabila Datuk Seri Najib bermain congkak, peristiwa ini merupakan berita. Hal ini dikatakan demikian kerana beliau merupakan Perdana Menteri Malaysia.

6) Luar biasa.

Kejadian luar biasa atau ajaib menjadikannya berita. Seorang petani berjaya membunuh seekor ular sawa sepanjang 10 m dengan sebatang cangkul merupakan berita. Seorang ibu melahirkan anak kembar lapan juga berita. Kambing menanduk orang bukan berita sebab biasa; tetapi kalau orang menanduk kambing, itu berita!

7) Sengketa.

Kebanyakan pemberita menumpukan banyak masa untuk membuat liputan tentang sengketa, sama ada hal berkaitan peperangan, politik, jenayah atau sukan.

Berita harus merupakan laporan bersifat fakta tentang sesuatu peristiwa. Berita juga harulah yang terkini atau terbaharu, jarak atau waktu kejadian haruslah berdekatan dengan waktu penyampaian berita tersebut. Dalam menyampaikan berita kepada masyarakat, haruslah seimbang, iaitu pembaca atau pendengar dapat memahami dengan baik. Berita berimbang ialah laporan berita yang asli dan objektif termasuk tidak memihak kepada kepentingan kelompok yang tertentu sahaja. Sifat berimbang perlu ada agar tidak menyesatkan pembaca, adil dan telus. Penulis bertanggungjawab dengan apa-apa sahaja berita yang dilaporkannya. Berita harus disusun secara lengkap, supaya jelas saat disampaikan dan dapat difahami serta dapat memenuhi unsur-unsur dari berita. Susunan berita haruslah secara berurutan atau sistematik. Berita yang sangat penting sebaiknya diletakkan pada perenggan awal. Penulisan berita juga haruslah menarik supaya disukai oleh pembaca.

Nilai berita ialah bandingan sesuatu berita dengan berita yang lain sama ada sesuai untuk disiarkan atau tidak. Kejadian yang mempunyai nilai berita yang kecil selalunya diketepikan untuk memberikan laluan kepada kejadian yang mempunyai nilai berita yang tinggi. Oleh itu, seorang penulis perlu bijak menilai berita yang ditulisnya.

Khalayak berita ditentukan oleh pemberita dan editor akhbar tertentu. Berkait dengan apa-apa berita akan disiarkan. Sebagai contoh, kejadian di Sarawak lebih menarik minat pembaca kepulauan Borneo sahaja tetapi tidak di Semenanjung. The Borneo Bulletin pasti mengutamakan kejadian-kejadian di Sabah dan Sarawak bukan The Malay Mail. Pembaca juga mungkin berbeza dari segi latar belakang, keinginan, umur, pendidikan dan tanggapan terhadap alam sekitar.

Terdapat beberapa ciri berita yang baik, antaranya menarik perhatian iaitu dapat menarik perhatian masyarakat sehingga masyarakat ingin segera mengetahui isi berita tersebut. Ciri berita yang baik juga adalah terkini. Jadi, berita harus berisi maklumat atau peristiwa terbaharu atau yang masih hangat dibincangkan. Isi berita harus dapat dipercayai dan bukannya rekaan semata-mata. Isi berita juga haruslah jelas dan menggunakan perkataan yang sederhana, serta tidak berbelit-belit supaya mudah difahami pembaca.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1013192
    Visit Today : 455
    This Month : 32537
    Total Visit : 1013192
    Hits Today : 1484
    Total Hits : 4133589
    Who's Online : 14
  • Kategori