Oleh SALIM MD. ZAIN

Surat Pekeliling Am Bil.1 Tahun 2006

PERKARA 152, Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67, memperuntukkan bahawa bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan hendaklah digunakan sebagai bahasa rasmi dalam pentadbiran negara. Bahasa rasmi yang dimaksudkan ialah bahasa yang digunakan dalam semua urusan rasmi yang meliputi wacana lisan dan tulisan di peringkat kerajaan persekutuan, kerajaan-kerajaan negeri, badan-badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan. Wacana lisan rasmi termasuklah mesyuarat, taklimat, ucapan, ceramah, syarahan, perbincangan pentadbiran dan yang seumpamanya. Wacana tulisan rasmi pula meliputi urusan surat-menyurat pentadbiran, minit mesyuarat, memo, laporan, kertas cadangan, pekeliling dan sebagainya. Bahasa yang digunakan di tempat awam seperti pada papan iklan, papan tanda dan premis perniagaan juga terangkum sebagai bahasa yang digunakan dalam urusan rasmi. Bagi melaksanakan dan memantau penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul, kerajaan telah menubuhkan sebuah jawatankuasa, iaitu Jawatankuasa Penyelarasan Pelaksanaan Bahasa Kebangsaan dalam Perkhidmatan Awam yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara.

Pada 22 Disember 2005, Surat Pekeliling Am Bilangan 1 Tahun 2006 telah ditandatangani oleh Ketua Setiausaha Negara dan diedarkan kepada semua kementerian, jabatan persekutuan, pengurusan badan berkanun persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan. Surat pekeliling ini bertujuan untuk memaklumkan langkah-Iangkah yang perlu diambil untuk memperkasakan penggunaan bahasa kebangsaan yang baik, betul dan santun, serta memperluas penggunaannya secara menyeluruh dalam perkhidmatan awam, sesuai dengan perkembangan dan kemajuan negara yang semakin pesat kini.

Menerusi pekeliling ini semua ketua jabatan hendaklah mewujudkan mekanisme di organisasi masing-masing untuk menjayakan dan memantau pelaksanaan surat pekeliling. Ketua jabatan diminta memastikan semua pegawai dan kakitangan kerajaan menggunakan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dalam semua urusan rasmi, sama ada secara tulisan mahupun lisan, dengan rakan sekerja dan apabila berurusan dengan pelanggan (kecuali urusan yang melibatkan negara asing dan untuk tujuan melatih pegawai dan kakitangan supaya fasih berkomunikasi dalam bahasa asing).

Selain itu, penggunaan bahasa kebangsaan yang baik dan betul dari segi ejaan, sebutan, istilah dan tatabahasa dalam hal-hal seperti mesyuarat, surat-menyurat, arahan pada papan tanda dan papan kenyataan, iklan, dokumen rasmi, penamaan tempat awam seperti nama jalan, kawasan perumahan, dan premis perniagaan adalah diwajibkan. Bahasa-bahasa lain boleh digunakan berdasarkan pada keperluan dan hendaklah kurang menonjol dari segi saiz, warna dan sebagainya.

Pekeliling ini juga menggariskan arahan agar latihan dan penganjuran aktiviti yang bertujuan meningkatkan kemahiran dalam bahasa kebangsaan dalam kalangan pegawai dan kakitangan hendaklah dijalankan secara berterusan. Setiap pengurusan pentadbiran awam juga dikehendaki memastikan buku, bahan rujukan atau risalah pedoman bahasa kebangsaan terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dalam edisi terkini disediakan untuk kegunaan semua pegawai dan kakitangan, seperti Kamus Dewan, Kamus Inggeris-Melayu Dewan, Tesaurus Umum Bahasa Melayu, buku-buku istilah dalam pelbagai bidang ilmu, E-kamus, Daftar Kata Bahasa Melayu: Rumi – Sebutan – Jawi, dan lain-lain, serta mendapatkan khidmat nasihat DBP melalui talian atau laman web DBP, http://www.dbp.gov.my

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1036495
    Visit Today : 1273
    This Month : 19094
    Total Visit : 1036495
    Hits Today : 6153
    Total Hits : 4252243
    Who's Online : 9
  • Kategori