Oleh SALIM MD ZAIN

 

STATISTIK tahun 1997 menunjukkan purata rakyat Malaysia hanya membaca sehelai muka surat buku dalam setahun. Pada tahun 2002 pula, statistik itu dikatakan ‘meningkat’ kepada dua muka surat setahun. Manakala kajian profil membaca pada tahun 2005 oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) mendapati bahawa kalangan rakyat Malaysia hanya membaca dua naskhah buku sepanjang tahun. Purata dua naskhah buku yang dibaca dalam tempoh setahun itu pula adalah bahan bacaan santai berupa komik, majalah dan akhbar. Statistik ini jelas menunjukkan dalam tempoh 1996 – 2005, tidak banyak perubahan yang berlaku terhadap kecenderungan membaca dalam kalangan rakyat Malaysia. Perangkaan tahun 2005 mendapati hanya 10,310 judul buku dalam pelbagai bidang didaftarkan setahun, berbanding 180,000 judul di China, 116,000 judul di United Kingdom, 60,000 judul di Amerika Syarikat dan 45,000 judul di India.

Graf menunjukkan jumlah judul buku yang dibaca oleh rakyat di negara masing-masing pada tahun 2005. (Statistik ihsan Perpustakaan Negara Malaysia).

Di peringkat pengajian tinggi pula, hobi membaca buku dalam kalangan mahasiswa Malaysia juga sangat jauh ketinggalan dibandingkan negara lain. Berdasarkan suatu kajian, jumlah buku yang dibaca oleh pelajar Australia ialah 180 buah buku, Indonesia 94 buah, India 130 buah, Thailand 56 buah dan Brunei 26 buah buku. Seperkara lagi, daripada hampir 600 buah institusi pengajian tinggi (termasuk 20 institut pengajian tinggi awam) yang sedia ada dengan tenaga akademik atau ilmuwan melebihi 20,000 orang, hanya 6.4 peratus yang menyumbang dalam penerbitan buku pada tahun 2005. Penemuan ini adalah hasil perbandingan yang dibuat oleh Dr. Abu Hassan Hasbullah, pensyarah Jabatan Media, Universiti Malaya (UM), mengenai tabiat membaca dalam kalangan pensyarah dan mahasiswa di Malaysia. Kajian itu juga menggambarkan bahawa mahasiswa Malaysia hanya membaca empat buah buku setahun, manakala dalam kalangan pensyarah pula mendapati, rata-rata hanya membaca 20 buah buku untuk tiga tahun pengajian (enam semester).

 

Kajian tabiat membaca dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi.

Dari aspek pembelian bahan bacaan pula mendapati, mahasiswa Malaysia hanya membeli empat buah buku untuk tiga tahun pendidikan (enam semester). Jumlah ini sangat berbeza dengan dapatan kajian jumlah buku yang dibeli oleh mahasiswa di negara lain seperti Australia (160 buah), Indonesia (43 buah), Thailand (31 buah), India (75 buah) dan Brunei (15 buah).

Statistik di atas hanya menyebut mengenai mahasiswa dan pensyarah sahaja. Bayangkanlah apakah statistik untuk mereka yang bekerja dan pelajar sekolah? Statistik yang diberikan meletakkan kita seolah-olah sebagai antara rakyat yang paling malas membaca, hanya empat buah buku setahun. Mungkin ini juga  antara sebab yang menjadikan rakyat kita kurang peka dengan keadaan sekeliling, dan mudah  diperkotak-katikkan kerana kurang berpengetahuan.

Walau bagaimanapun, menurut Presiden Universiti Terbuka PTS, Puan Ainon Mohd., rakyat Malaysia semakin suka membeli dan membaca buku. Buktinya, PNM melaporkan bahawa bagi tahun 2007, jumlah buku yang diterbitkan di Malaysia sudah meningkat kepada 14,000 judul. Pada tahun 2003, jumlah tersebut hanya 6,000 judul. Hal ini bermakna lonjakan jumlah yang amat ketara, iaitu lebih 100 peratus dalam tempoh empat tahun. Perkembangan pesat ini membuktikan bahawa gerakan kempen membaca yang dijalankan oleh PNM selama ini sudah menghasilkan kemajuan ke atas tabiat membeli dan membaca buku dalam kalangan rakyat Malaysia.

Menurut beliau, statistik PNM itu tidak memberi gambaran sebenar judul-judul yang dibeli dan dibaca oleh rakyat Malaysia. Statistik tersebut hanya terhad pada judul buku-buku yang diterbitkan dalam negara dan tidak mengambil kira jumlah judul buku yang diimport dan dijual kepada rakyat Malaysia yang berlipat kali ganda lebih banyak daripada jumlah judul yang diterbitkan dalam negara. Jika rakyat Malaysia masih tidak suka membeli dan membaca buku, tidak mungkin setiap tahun jumlah kedai buku  bertambah banyak. Maklumat yang menyebut bahawa orang Malaysia malas membaca buku boleh memberi kesan negatif ke atas motivasi para penulis dan para penerbit.

Apakah sebenarnya senario tabiat membaca dan budaya ilmu dalam kalangan masyarakat di Malaysia? Adakah semakin menurun, mendatar, atau semakin meningkat? Walau apapun senarionya, tuntutlah ilmu hingga ke liang lahad kerana ilmu itu pelita hati. Obor penyuluh  kegelapan hidup.

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1044749
    Visit Today : 1170
    This Month : 27348
    Total Visit : 1044749
    Hits Today : 4315
    Total Hits : 4289288
    Who's Online : 11
  • Kategori