OLEH SITI SUHANA MOHD AMIR

Penutup tahun 2017 menyaksikan pelaksanaan program pengiktirafan dan penganugerahan kepada para karyawan, penulis, rakan organisasi dan pihak media massa. Rasa keakraban dan sokongan yang diberikan oleh pelbagai pihak terhadap usaha dan kegiatan yang telah dilaksanakan sepanjang tahun 2017 dizahirkan melalui Majlis Anugerah Tinta Kenyalang dan Malam Lestari Bahasa anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sarawak dan berlangsung pada 29 November 2017, pukul 8.00 malam di Hotel Pullman, Kuching. Majlis berbesar hati menerima kehadiran Yang Berhormat Dr. Annuar Rapa’ee, Menteri Muda Pendidikan, Sains dan Teknologi Penyelidikan, Menteri Muda Perumahan dan Kesihatan Awam Sarawak sebagai tetamu kehormat dan perasmi majlis.

Ucapan Perasmian oleh Yang Berhormat Dr. Annuar Rapa’ee.

Ucapan Perasmian oleh Yang Berhormat Dr. Annuar Rapa’ee.

Majlis ini yang bermula pada tahun 2008 dan dahulunya dikenali sebagai Majlis Penyampaian Hadiah Penulisan dan Penerbitan DBP Cawangan Sarawak dan tiga tahun berikutnya telah ditukar nama sebagai Majlis Anugerah Tinta Kenyalang dan diadakan bersekali dengan Malam Lestari Bahasa. Usaha ini merupakan inisiatif DBP Cawangan Sarawak bagi mewujudkan sebuah majlis yang dapat dijadikan sebagai penanda aras dan prestij buat penulis dan karyawan Bumi Kenyalang. Apatah lagi usaha dan wibawa berterusan untuk menggalakkan minat menulis karya kreatif mahupun bukan kreatif, seterusnya mampu melahirkan penulis baharu mahupun mapan negeri Sarawak.

Usaha pada peringkat awal dengan menganjurkan pertandingan menulis puisi, cerpen dan esei melalui Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak dengan menguar-uarkan penyertaan pada peringkat sekolah menengah di seluruh bahagian di Sarawak. Pihak sekolah akan menghantar majalah sekolah tahunan semasa untuk dinilai di samping mengetengahkan karya-karya pelajar untuk dinilai oleh pihak penganjur. Begitu juga dengan Anugerah Citra Buletin Jabatan Negeri Sarawak yang memberi peluang kepada jabatan kerajaan di seluruh Sarawak untuk menghantar penyertaan mereka. Kedua-dua usaha ini sudah pastinya untuk menggalakkan mereka peka dan cakna untuk mendaulatkan bahasa kebangsaan, iaitu mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu (lebih 70 peratus) dalam penerbitan majalah sekolah mahupun buletin jabatan.

Ucapan alu-aluan oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.

Ucapan alu-aluan oleh Dr. Hazami Jahari, Pengarah DBP Cawangan Sarawak.

Pengiktirafan pada peringkat penulis mapan diteruskan pada tahun semasa dan diberi penghargaan melalui Hadiah Sastera Penulis Sarawak. Setiap karya yang dihasilkan sepanjang tahun 2016 akan dinilai dan dipilih berdasarkan kategori puisi, cerpen mahupun esei kritikan, iaitu daripada akhbar Utusan Malaysia, Utusan Sarawak, Utusan Borneo dan majalah keluaran DBP. Usaha pengiktirafan ini sudah pastinya sebagai usaha untuk menghargai kegiatan penulisan dalam bahasa kebangsaan agar bermutu dan berkembang mekar di Sarawak. Menariknya lagi, DBP Cawangan Sarawak menyambut ulang tahun ke-40 penubuhannya pada tahun ini dan pelbagai kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan dengan melibatkan kerjasama agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan yang lain. Ditambah dengan sokongan daripada Kerajaan Negeri Sarawak yang percaya dengan kemampuan dan wibawa DBP Cawangan Sarawak dan membawa nama dan hubungan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan Sarawak ke pelosok negeri mahupun luar Sarawak.

Setiap usaha yang ditunjukkan pengkarya dan karyawan perlu terus disokong dan diberi pengiktirafan agar mereka dapat meneruskan kelangsungan dalam berkarya di Sarawak sehinggalah ke peringkat nasional. Penulis muda juga wajar menanggapi setiap perubahan dan konteks cabaran yang perlu ditangani dengan bijak. Mereka juga perlu menggariskan dan memetakan perjuangan serta bersedia menghadapi cabaran sebagai penulis agar dapat bergerak seiring dengan penciptaan karya bahasa mahupun sastera yang bermutu tinggi. Hasil karya yang tercetus daripada jiwa yang tulus dapat memberi manfaat kepada diri penulis malah mampu menyumbang ke arah pembentukan generasi kreatif dan berilmu. Apatah lagi bumi Sarawak yang kaya dengan elemen budaya dan kearifan tempatan dapat memberi peluang kepada penulis untuk menyerlahkan keunikan, keharmonian dan ketinggian budaya dan nilai hidup masyarakat setempat.

Antara pemenang Hadiah Sastera Penulis Sarawak.

Antara pemenang Hadiah Sastera Penulis Sarawak.

Melalui Hadiah Sastera Penulis Sarawak bagi kategori puisi, pihak juri telah memilih pemenang, iaitu hasil karya daripada Zainal Abidin Suhaili (Abizai) (Bahasa Diam: Mingguan Malaysia, 31 Januari 2016), Haji Jais Sahok (Impian: Mingguan Malaysia, 4 September 2016), Zaini Bilong (Manifesto: Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo, 25 April 2016), Mohamad Faizal Jamil (Embun Berbisik, Bahasaku Tercalar Lagi: Dewan Bahasa, Ogos 2016) dan Halimatus Sa’adiah Yahya (Menelusuri Warkah Terakhir Rosli Dhoby: Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo, 19 September 2016). Manakala, bagi kategori cerpen menobatkan Haji Jais Sahok (Ale: Pelita Bahasa, Mac 2016), Abang Median Abang Said (Sebuah Negeri di Dalam Telinga: Mingguan Malaysia, 25 September 2016), Mohd. Ali Salim (Lelaki Lindungan: Dewan Sastera Oktober 2016), Frankie Latit (Dianosa: Reaksi Alergi: Mingguan Malaysia, 20 November 2016) dan Niziah Naziri (Tuyah Tuyak Pupor Amoi: Mingguan Malaysia, 27 November 2016) sebagai pemenang.

Penyampaian Hadiah Sastera Penulis Sarawak (Esei Kritikan) kepada pemenang

Penyampaian Hadiah Sastera Penulis Sarawak (Esei Kritikan) kepada pemenang.

Berikutnya, bagi pemenang kategori esei kritikan diungguli oleh Haji Jali Kenoi (Peringatan Abizai melalui Sajak “Lorong Riuh” dan “Denai Teduh”: Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo, 11 Januari 2016), Benyamin Matussin (Ranah Kearifan Tempatan sebagai Wacana Pengkaryaan dan Penyelidikan: Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo, 30 Mei 2016), Mohd. Aziz Abidin (Hikayat Hang Tuah sebagai Karya Epik dan Kepahlawanannya: Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo, 27 Jun 2016), Dilah Tuah (Menelusuri Kearifan Tempatan dalam Melati Sarawak sebagai Teks Peradaban Bangsa: Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo, 11 Julai 2016) dan Mohamad Faizal Jamil (Taqarrub Liaiiah: Nilai Insaniah dalam Kumpulan Puisi “Aku Masih Cinta” Karya Ja’afar Hamdan: Yang Indah Itu Bahasa, Utusan Borneo, 28 November 2016).

Penyampaian Hadiah Anugerah Citra Buletin Jabatan Negeri Sarawak (Emas) kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak

Penyampaian Hadiah Anugerah Citra Buletin Jabatan Negeri Sarawak (Emas) kepada Jabatan Tanah dan Survei Sarawak.

Pada tahun ini juga, melalui Anugerah Citra Buletin Jabatan Negeri Sarawak (yang telah berlangsung selama lima tahun) pula telah memberi pengiktirafan kepada organisasi terpilih yang memenuhi kriteria penyertaan sehingga disahkan kemenangan mereka. Organisasi yang terpilih ialah Jabatan Tanah dan Survei Sarawak bagi kategori Emas (buletin LENSA Vol.7 Edisi 2), Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) Cawangan Sarawak bagi kategori Perak (buletin MAMPU Sarawak Bil.1/2017) dan Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Sarawak bagi kategori Gangsa (buletin Randau Kenyalang Edisi 1/2016). Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak turut berbesar hati memberi hadiah sagu hati kepada Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak (buletin Pejabat Setiausaha Persekutuan Sarawak Bil.1/2017) dan Jabatan Tenaga Kerja Sarawak (buletin JTK Sarawak Edisi 15 Bil.2/2016) bagi menyokong usaha dan penyertaan mereka.

Penyampaian Hadiah kepada penulis muda untuk Anugerah Citra Majalah Sekolah Negeri Sarawak.

Penyampaian Hadiah kepada penulis muda untuk Anugerah Citra Majalah Sekolah Negeri Sarawak.

Pihak juri juga telah sepakat memberi kemenangan kepada peserta yang terdiri daripada pelajar sekolah menengah yang menghantar karya mereka melalui Anugerah Citra Majalah Sekolah Menengah Negeri Sarawak. Bagi kategori puisi dimenangi oleh Randy Gardaffy (Tempat Pertama – Akrab: SMK Dato Permaisuri, Miri), Isaac Anderson Wat (Tempat Kedua – Kisah Rumah Panjang: SMK Merbau, Miri), Fadillah Mohammad Amin (Tempat Ketiga – Katarsis Perjuangan: SMK Agama Igan, Mukah) dan Hazasofia Salleh (Sagu Hati – Mengejar Kecemerlangan: SMK Asajaya, Kota Samarahan). Bagi kategori cerpen pula dimenangi oleh Ahmad Shafiee Mohd Apendai (Tempat Pertama – Kadir: SMK Tun Abang Haji Openg, Kuching), Nur Annisha Khalida Bujang (Tempat Kedua – Kerana Seorang Guru: SMK Asajaya, Kota Samarahan), Rebecca John Ne’dek (Tempat Ketiga – Jika Tidak Dipecahkan Ruyung, Di Mana Boleh Mendapat Sagu: SMK Petra Jaya, Kuching) dan Aiman Basyir Wahid (Sagu Hati – Awan Kasih: SMK Dato Permaisuri, Miri).

Penyampaian Hadiah Utama Majalah Terbaik kepada SMK Subis, Miri untuk Anugerah Citra Majalah Sekolah Negeri Sarawak.

Penyampaian Hadiah Utama Majalah Terbaik kepada SMK Subis, Miri untuk Anugerah Citra Majalah Sekolah Negeri Sarawak.

Seterusnya, bakat-bakat muda ini diberi pengiktirafan bagi kategori esei dan dimenangi oleh Sylviana Fiona Elivis (Tempat Pertama – Jangan Abai Ibu Bapa: SMK Subis, Miri), Dayang Siti Norhaliza Abang Ahmad (Tempat Kedua – Bahasa Melayu Bahasa Perpaduan: Kolej Vokasional Matang, Kuching), Theng Kang Foo (Tempat Ketiga – Perkembangan Teknologi Maklumat Komunikasi: SMK Asajaya, Kota Samarahan) dan Mark Sim Boon Hao (Sagu Hati – Malaysia Berpotensi Menjadi Destinasi Pelancongan Di Rantau Ini: SMK Bintulu, Bintulu). Bagi memberi pengiktirafan untuk kategori Majalah Sekolah Terbaik, majalah Persada Niah Jilid ke-47/2016 daripada SMK Subis, Miri yang memenangi Hadiah Utama (dua tahun berturut-turut memenangi kategori ini) dan bagi Majalah Sekolah Terbaik (Bahasa) dimenangi oleh SMK Asajaya, Kota Samarahan melalui majalah Seri Gemilang 16, 2016.

Penghargaan kepada organisasi luar.

Penghargaan kepada organisasi luar.

Perasmi turut berbesar hati untuk menyampaikan penghargaan berupa sijil penghargaan dan buku terbitan DBP kepada organisasi dan agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, agensi swasta, persatuan dan pihak media massa yang banyak memberikan komitmen dan kerjasama dalam menjayakan pelaksanaan program yang telah dilaksanakan. Pihak DBP Cawangan Sarawak sentiasa mengharapkan upaya dan komitmen pihak media massa untuk bersama-sama menguar-uarkan setiap kegiatan kebahasaan, kesusasteraan dan kebudayaan demi melestarikan peradaban bangsa dan kedaulatan bahasa kebangsaan melalui perpaduan kaum khususnya di Sarawak.

Penghargaan kepada pihak media massa.

Penghargaan kepada pihak media massa.

Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak sentiasa siap siaga mendukung dasar kerajaan dan bergerak cekap dalam melaksanakan setiap perubahan berdasarkan keperluan rakyat dengan sokongan berterusan daripada semua pihak. Hal ini selaras dengan usaha DBP agar gelombang baharu bahasa Melayu terlaksana menjelang tahun 2020, agar bahasa Melayu diletakkan pada kedudukan yang tinggi berdasarkan Perlembagaan Negara, menjadi bahasa ilmu dan bahasa perpaduan negara bangsa Malaysia dalam mencapai taraf negara maju. Pihak kerajaan juga sentiasa mengalu-alukan sebarang bentuk aktiviti yang menjurus kepada proses pemugaran budaya pengkaryaan dalam kalangan masyarakat setempat. Pelbagai sayembara dan bengkel penulisan perlu digiatkan untuk membimbing bakat muda dalam membina generasi pelapis kepada karyawan mapan sedia ada yang mewarnai persada penulisan Bumi Kenyalang. Majulah bahasa, makmurlah negara.

 

 

 

Sila Beri Pandangan

You must be logged in to post a comment.

  • Arkib

  • Statistik

    1014666
    Visit Today : 695
    This Month : 34011
    Total Visit : 1014666
    Hits Today : 2691
    Total Hits : 4139493
    Who's Online : 12
  • Kategori